CONFERENCE CENTRE , NIOKA
Berdegup-degap jantung Azlan ketika tayar pesawat Boeng 747 milik penerbangan Malaysia, Mas MH 5232 mula mencecah landasan. Dalam keadaan tegak tangannya memegang tempat penyandar penumpang di hadapannya. Hatinya kecut. Inilah kali pertama dia menaiki pesawat. Takutnya disimpan sendiri sehingga pesawat tersebut berhenti. Mereka dikehendaki singgah sebentar di lapangan terbang antarabangsa Melbourne kerana tidak ada penerbangan terus menerus ke Adelaide.
Sebaik sahaja melangkah memasukki ruang laluan penumpang-penumpang yang singgah sementara di lapangan terbang itu , Azlan dan rakan-rakannya disambut pula oleh seorang pegawai wanita Melayu dari Konsulat Malaysia ke Australia dengan mesra. Di tangannya terdapat sekeping kertas. Sambil meneliti kertas tersebut dia memulakan tuturnya.
“ Sepuluh orang sahaja ? ” Tanya Puan Nora. Dia memanggil nama setiap orang dan menandanya dengan pen untuk mempastikan senarai nama yang tertulis di kertas itu betul.
“ Perempuan empat orang dan lelaki …enam orang.” Ujarnya lagi. Semua yang mengerumuninya mengangguk-angguk.
“ Kamu semua cuma singgah di sini selama lebih kurang dua jam sahaja. Dalam masa satu setengah jam dari sekarang bolehlah kalau nak jalan-jalan sekejap di sekitar lapangan terbang ni. Manalah tahu ada yang nak berbelanja atau ambil gambar dan sebagainya. Tapi empat puluh lima minit sebelum berlepas pastikan semua ada di sini. Kamu semua akan menaiki pesawat domestik Ansett untuk ke Adelaide selepas itu. ” Terangnya lagi .
Dia banyak bercerita mengenai kebudayaan dan cara hidup masyarakat Australia. Banyak juga maklumat yang telah diperolehi daripadanya. Maklumlah telah berada di Melbourne selama enam tahun mengikut suaminya yang berkerja di tempat yang sama. Dia juga kelihatan begitu gembira mendapat tahu perkembangan di Malaysia.
Azlan dan Affendi tidak kemana-mana mereka berdua sekadar bergilir-gilir mengambil gambar-gambar untuk kenangan peribadi sahaja. Khalid , Musa dan yang lain-lain sibuk bertanyakan sesuatu kepada Puan Nora, terutamanya Neng seperti mahukan semua maklumat dalam jangka masa yang singkat.
“ Saya sebenarnya ke sini sekadar untuk memastikan bahawa kamu semua selamat sampai dan nama yang difak oleh Wisma Putra adalah betul. Bukan apa… takut kalau-kalau ada kesilapan dan masalah. Setakat ini semuanya baik dan tak perlu risau apa-apa, yang penting bila sampai di sana nanti, mesti belajar bersungguh-bersungguh. Jangan hampakan Mara dan juga ibubapa di kampung.” Pesan Puan Nora di saat akhir sebelum Azlan dan kumpulannya masuk ke balai berlepas sambil melambai-lambaikan tangan.
Penerbangan dari Melbourne ke Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide hanya mengambil masa lebih kurang tiga puluh lima minit untuk mendarat. Dalam penerbangan tadi peramugarinya terdiri daripada anak-anak gadis dan teruna dari Malaysia tetapi dengan penerbangan Ansett ini pramugari dan peramugaranya terdiri daripada rakyak Australia yang cantik-cantik dan tampan. Susun kata dan senyum manis mereka dalam memberi layanan yang singkat sudah cukup untuk kita menilai etika kerja mereka yang baik. Secawan oren segar dan sekeping potongan kek buah-buahan diberikan kepada semua penumpang dan ianya memadai bagi satu penerbangan yang singkat.
Azlan sesekali memandang keluar melalui tingkap kecil di sebelahnya. Cuaca terang dan yang jelasnya pada pemandangannya ialah keputihan awan yang berlapis- lapis seakan berarak ditiup angin. Kadang-kadang terasa juga kecut hati apabila terjadi gegaran ketika pesawat melanggar dan menembusi awan yang tebal.
“ Lan ! aku memang tak menduga dan seperti tidak percaya yang kita akan sama-sama ke mari ” Ujar Affendi mencetuskan perbualan.
“ Aku pun sama macam engkau ”
“ Macamana muka dan perangai macam kita ni mereka pilih. Hairan aku.”
“ Itulah baiknya Mara. Dan yang sebetulnya muka kita ni muka rezeki….! Mereka sama-sama ketawa.
“ Kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Adelaide sebentar lagi. Sila tegakkan tempat duduk dan pasangkan tali pinggang keledar anda.” Suara ketua peramugari memberikan arahan dari arah hadapan sementara yang lain-lain seramai tiga orang berjalan ke hulu ke hilir untuk mempastikan arahan itu diikuti sepenuhnya oleh para penumpang sebelum mendarat.
“ Kalau pesawat ni terhempas bagaimana Lan…? ” Affendi tiba-tiba mengeluarkan soalan yang agak menakutkan hati Azlan . Soalan yang bodoh dan tidak sepatutnya dikeluarkan itu tidak dijawab malah Azlan hanya mendiamkan diri.
“ Jangan risau Lan, kalau jadi pun keranda kita ni harganya mahal..! Affendi menambahkan keceluparan mulutnnya. Dia ketawa kecil apabila mendapati tidak ada respon baik dari Azlan.
Kali ini pesawat mendarat dengan hanya sedikit gegaran. Azlan lega ketika melangkah menuruni tangga pesawat. Rambut afronya tersenget dan tali lehernya terlibas ke kiri dan ke kanan ditiup angin dingin musim bunga dengan suhu 16 darjah celsius
seperti yang diumumkan oleh juruterbang semasa di dalam pesawat tadi.
“ Selamat datang ! selamat datang !” Laungan ucapan selamat datang dari arah hadapan mereka kedengaran. Di situ juga terdapat sehelai kain rentang bertulis : Selamat datang pelajar-pelajar Malaysia tajaan Mara Ke Adelaide. Dua orang gadis comel tersenyum-senyum sambil melambaikan tangan namun tiang kain rentang itu tetap dipegang mereka kuat. Mereka disambut pula oleh salah seorang pensyarah yang memperkenalkan nama sebagai Di Shearer. Azlan dan rakan-rakannya di perkenalkan pula kepada ketua wakil pelajar di situ sebelum ke tempat bagasi.
“ Fasih betul dia berbahasa Malaysia ? ” Ujar Afendi kepada Azlan.
“ Entah berapa bulan dia menghafal perkataan tu…! ” Sahut Azlan dengan ketawa berderai.
Selepas mengambil beg pakaian, mereka menaiki bas yang telah sedia menunggu di laluan keluar penumpang. Sunliner Coach berbelang kuning dan putih bergerak perlahan seakan-akan kenyang dengan muatan beg-beg dan pengisian para penumpangnya menuju ke destinasi yang telah dirancang oleh pihak universiti. Masing-masing kelihatan tersandar di kerusi tidak bersuara.
Mereka keletihan kerana telah hampir lapan jam di dalam pesawat dan kini berada di dalam bas pula . Azlan melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Kelihatan suasana pada ketika itu agak sibuk. Jam di tangannya menunjukkan pukul 2.00 petang waktu Australia. Pergerakan kenderaan di bandar Adelaide kelihatan seperti di bandar Ipoh sahaja. Kebanyakan bangunannya rendah-rendah belaka yang mana ianya dibina tidak melebihi empat tingkat. Setakat yang dapat dilihat tidak ada lagi
bangunan pencakar langit seperti di Melbourne. Lama-kelamaan perjalanan semakin jauh meninggalkan kawasan pusat bandar dengan menempuhi kawasan-kawasan pinggir bandar dengan hidangan pemandangan yang lebih menarik. Di kiri kanan jalannya terdapat pokok-pokok liar berbunga berwarna kuning. Kekuningan dari bunya-bunga pokok tersebut bolehlah diibaratkan seperti permaidani yang indah berlapikan hamparan hijau daun-daunnya sehingga keperbukitan yang saujana mata memandang. Terdapat juga berpuluh-puluh ekor kambing biri-biri dan lembu yang berkeliaran tidak jauh di kaki bukit-bukit kecil di sepanjang perjalanan itu. Inilah kecantikan yang mula memukau hatinya dan rakan-rakannya yang lain.
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang empat puluh minit itu tiba-tiba terhenti. Kesemua mereka tertoleh ke kiri dan kanan seperti kehairanan. Musa yang berada di tempat duduk tengah memanjangkan lehernya seperti zirafah untuk meninjau keadaan di hadapan mereka.
“ Baik, sekarang kita dah sampai di Presbyterian Conference Centre, Nioka. Selepas ini bolehlah anda semua berehat. Anda semua akan berada di sini selama tiga hari sebelum mengikuti program yang diatur oleh pihak universiti seterusnya.” Di Shearer memberi penerangan ringkas.
Khalid yang sebulat suara telah dilantik sebagai ketua kumpulan memperkenalkan kesemua rakannya kepada beberapa orang pensyarah yang sedia menunggu ketibaan mereka di situ.
Tidak jauh dari tempat bas yang mereka naiki tadi kelihatan pula hampir dua puluh orang pelajar-pelajar sedang sibuk mengangkat barangan dan beg masuk ke perut bas.Dari apa yang diberitahu oleh salah seoarng pensyarah di situ, mereka adalah pelajar-pelajar dari Eropah dan Asia yang mengikuti program suaikenal selama tujuh hari lalu. Selepas ini mereka
akan dihantar ke kolej dan universiti-universiti tempatan untuk meneruskan program pertukaran pelajar.
Azlan dan rakan-rakannya telah diberikan sebuah bilik khas untuk dua orang. Semua keperluan asas di situ cukup lengkap dengan alat pemanas eletrik. Kawasan persekitaran tersebut begitu sepi sekali. Ia dikelilingi oleh pokok-pokok gum dan coniferus .Ketika berada di dalam bilik atau di dewannya , tiada siapa akan menyedari bahawa dinding-dinding di luarnya adalah diperbuat dari batang-batang pokok bergarispusat seratus hingga ke enam ratus milimeter Ia lebih dikenali dengan panggilan log house oleh penduduk-penduduk Australia. Ia disusun menggantikan dinding-dinding papan atau batu bata untuk menampakkan ciri-ciri tradisional masyarakat kulih putih yang membuat penempatan awal di benua itu. Selain dari itu log house ini merupakan rumah-rumah yang didiami oleh kaum orang-orang asli atau Abo singkatan baginya ketika zaman kependudukan Inggeris.
“ Makan malam jam 7.30 malam , pukul 8.10 malam pula ada taklimat dan majlis perkenalan antara pelajar Mara dengan pensyarah-pensyarah universiti 9.30 malam bersurai dan berehat……! ” Affendy membaca satu persatu kertas aturcara untuk aktiviti yang perlu diikuti pada malam itu.
“ Makan saja yang engkau ingat …. yang lain tak pulak ….! ” Kata Azlan.
“ Aku lapar lah…!” Balas Affendi.
“ Lapar ke…apa ke sabar sajalah ….” Azlan menyabarkan kawannya.
“ Oii dah sehari semalam tak jumpa nasi . Mana boleh tahan ! ” Affendi mengeluh.
“ Kalau dah lapar sangat pergilah beli nasi kandar di kedai mamak Maidin di seberang jalan tu !” Kata Azlan agi sambil menunjukkan jarinya di luar tingkap.
“ Hai perli nampak ! Ucap Affendi seperti meradang.
“ Eh ! eh ! kawan aku ni dah tak boleh bergurau pulak sejakmenyeberang laut tadi.” Ujar Azlan.
“ Aku kalau lapar macam-macam boleh jadi…” Sahut Affendi pula.
“ Jom kita pergi ke dewan mungkin yang lain-lain tu ada di sana…! ”
Azlan mengajak Affendi keluar dan bergerak ke ruang makan yang mana sudah ada yang lain-lain sedang mengambil makanan . Mereka dihidangkan dengan sphegetti, roti bakar ,pai dan lain-lain yang dirasakan sesuai olek pihak pembekal di situ. Tiada yang membuat sebarang komen pada ketika itu kerana masing-masing sedang lapar. Dari apa yang dilihat tidak ada satupun dari makanan yang dihidangkan di situ yang dirasakan tidak halal. Oleh kerana itulah merek makan secukup-cukupnya pada malam itu.
“ Kalau ada nasi dan sambal belacan kan bagus ! ” Ayu memulakan bicara di sebelah Azlan.
“Silap-silap selama di sini kita semua tak akan jumpa nasilah….!.mnnn kalau macam ni teruklah kita nanti …badan kurus melidilah nampaknya….! ” Sahut pula Maimunah yang agak kurus berbanding dengan perempuan-perempuan yang berempat itu.
“ Tu ..! semua dia orang orang tu tak makan nasi pun kenapa tak kurus melidi pun ? ” Tanya Azlan dan terhenti kerana dihampiri oleh Geoff Penhall koordinator program yang akan mereka ikuti nanti. Dia seorang yang tinggi dan kepalanya sedikit botak tetatpi kering dengan senyuman.
“ Mana yang lain-lain? ” Soal Geoff kepada Azlan.
“Mereka mungkin di luar sana melepaskan gian” Balas Azlan.
“ Oh ya ! saya faham tabiat orang yang merokok walaupun saya bukan perokok. ” Balasnya lagi tersenyum.
Lebih kurang jam 8.10 malam mereke semua dijemput masuk ke dewan ceramah untuk mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh Geoff Penhall. Mereka akan mengadakan lawatan di sekitar bandar Adelaide, Cleveland Park dan sekitarnya pada sebelah pagi dan pada sebelah petang. Dan di sebelah malam pula mereka dikehendaki mengadakan persediaan kerana kumpulan mereka akan mengadakan pertunjukan kebudayaan dari Malaysia bersama-sama pertunjukkan dari pensyarah-pensyrah yang ada pada malam ketiga di situ sebagai acara kemuncak program. Selepas berkenal-kenalan dengan pensyarah-pensyarah mereka kembali ke bilik masing-masing.
Bagi sesiapa yang ingin menonton television mereka bolehlah ke ruang tamu yang agak luas dan selesa. Kebayanyakan mereka tidak terus kebilik malah Azlan dan Affendi tiga empat orang kawannya terus melekat di ruang tersebut. Mereka menunggu untuk menyaksikan tayang filem dari channel nine yang hanya sesuai untuk tontonan orang-orang dewasa sahaja atau dipanggil Adult only singkatannya A.O. Di dalam keadaan terkuap-kuap menahan mengantuk, Affendi selalu sahaja menjadi operator menekan butang untuk mencari saluran yang dikehendaki sementara yang lainnya menjadi pemerhati. Mereka berbual dan berbual sehingga ke pukul satu pagi untuk menanti tayangan filem yang tidak pernah kedapatan di saluran television Malaysia. Mata mereka semakin cerah kerana ianya bermula selepas itu. Ianya berlarutan hingga ke pukul 2.00 pagi. Azlan dan Affendi memasukki bilik mereka lalu merebahkan badan di katil bujang sehingga ke siang hari kerana kepenatan.
Bergegar daun pintu bilik mereka diketuk dari luar.
Azlan bingkas bangun lalu menerpa ke arah pintu dan membukanya.
“ Apahal Musa ? ” Tanya Azlan sambil membetulkan pakaiannya.
“ Kitakan nak ke bandar dan Cleveland Park pagi ni ! Tak ingat ke ? Balas Musa.
“ Nasib baik engkau ketuk bilik ni ,kalau tidak lambatlah jadinya. Aku bersiap sekarang ! ” Azlan menggoyang-goyangkan kaki Affendi yang tidur mati di katil sebelahnya.
Mereka tidak mandi pagi itu cuma menggosok gigi sahaja kerana mengejar waktu yang pasti tidak akan menunggu sesiapa. Dalam keadaan yang bergelut-gelut itu sempat juga mereka bersarapan dengan bijirin gandung dicampur dengan susu kotak , telor goreng , kek dan oren segar. Apa sahaja makanan yang boleh dimakan disuapkan kemulut tanpa segan atau malu walaupun diperhatikan oleh pensyarah-pensyarah yang masih berada di situ. Yang penting bagi mereka ialah perut tidak lapar.
Di luar , Azlan menggosok kedua belah tapak tangannya kerana kesejukan.Haba badan yang keluar setiap kali bernafas dari lubang hidungdan mulut kelihatan seperti asap rokok yang dihembus. Pagi itu sungguh segar walaupun tidak sempat mandi. Mendengar injin bas Sunliner coach dihidupkan, mereka terus menaiki bas tersebut diikuti oleh pensyarah –pensyarah yang turut serta di dalam lawatan itu.
“ Kita akan ke Cleveland Park dahulu . Ianya mengambil masa lebih kurang empat puluh minit perjalanan dari sini. ” Terang Di Shearer seperti seorang pemandu pelancung .
“ Apa yang ada di sana ? “ Tanya Neng .
“ Kamu semua akan saksikan nanti bagaimana seekor kanggaro melompat dengan mengendong beg pakaiannya berisi anak kecil .” Sahut Di Shearer. Semua tertawa denagn cara gurauannya.
“ Saya kira binatang ini belum lagi terdapat di zoo Malaysia dan juga di tempat-tempat lain di asia.” Tegasnya lagi.
“ Bagaimana anda tahu semua ini ? ” Soal Khalid.
“ Saya telah ke merata negara termasuk negara kamu ” Balasnya selamba.
“ Jangan tipu …….! ” Guraunya lagi.
Keadaan sekeliling yang nyaman dengan deretan pokok-pokok gum begitu menarik hati. Terasa seperti di kampung dengan hutannya yang masih tebal tetapi berbela. Apa yang berbeza ialah keadaan cuacanya yang sejuk. Bunga-bunga kuning dari pokok-pokok liar tetap menarik perhatian. Kenderaan yang lalu lalang tidak banyak kelihatan. Ini kerana tempat yang akan dituju itu menghala ke pinggir bandar. Sesekali pemandu bas akan memperlahan dan memberhentikan basnya untuk memberi laluan kepada kuda liar yang laju merentasi jalanraya tanpa signal atau amaran bahaya terlebih dahulu. Sebagai langkah berjaga-jaga , papan tanda menunjukkan perkataan Awas Kuda Menyeberang ! didirikan di tepi-tepi jalan untuk memudahkan pemandu mengetahui tempat-tempat yang menjadi kebiasaan kuda melintas.
Tidak banyak kelebihan yang terdapat di situ jika nak dibandingkan dengan apa ada di zoo Taiping atau Hulu Klang. Yang berbeza hanyalah spesis beruang koala, kanggaroo yang diceritakan oleh Di Shearer, dan burung-burung unta yang kuat berlari. Sementara binatang yang lainnya adalah sama semuanya. Apa pun tiap orang yang ke situ tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan pemandangan yang baru dan menarik disekitarnya.
Hampir dua jam di situ, mereka bertolak pula ke arah pusat bandar Adelaide yang kira-kira mengambil masa dua puluh lima minit sahaja dari Cleveland Park. Semasa di pusat bandar yang agak sibuk tetapi teratur itu , mereka ditunjukkan tempat-tempat untuk membeli barangan seperti buah-buahan, serta keperluan dapur di Royal Arcade dan gedung-gedung membeli belah yang berhampiran. Mengetahui bahawa pelajar-pelajar
tajaan Mara terdiri daripada orang-orang Melayu beragama Islam salah seorang pensyarahnya telah mengarah pemandu melalui jalan ke Adelaide Mosque dan seterusnya berpusing melimpasi bahagian timur bandar itu untuk memerhatikan perjalanan tram dari jauh kemudiannya menghala ke University of New South Wales .
Sampai di Jalan Holbrooke bas berhenti sebentar untuk membeli makanan segera yang terdapat di restoran berdekatan. Masing-Masing turun dari bas mendapatkan minuman dalam tin dan membeli snek untuk melapik perut yang sudah terasa lapar. Sunliner Coach bergerak semula perlahan-lahan menjalar melepasi bahagian luar bangunan yang agak moden dengan lanskap yang cantik di kelilingnya . Ianya bertambah cantik dengan adanya sebatang sungai yang mengalir perlahan lebih kurang lima ratus meter dari bangunan universiti tersebut.
Bas kian meluncur laju menuju Nioka untuk persediaan aktiviti selanjutnya. Tambah-tambah lagi ramai yang sudah bersugut kelaparan. Kadang-kadang terasa lapar hilang seketika apabila bas melalui tempat-tempat yang dipenuhi dengan beranika bunga yang menghiasi perkarangan rumah-rumah kediaman dan bangunan-bangunannya serta permandangan yang indah. Azlan melayani matanya dengan permandangan yang indah itu. Jiwa seninya tersentuh. Inilah lukisan alam penuh dengan keunikan daripada penciptaNya. Bisik hati kecilnya.
Pada petang itu mereka sekadar berkumpul untuk merancang bentuk persembahan yang akan dipersembahkan keesokan harinya. Oleh kerana bilangan mereka yang kecil mahu tidak mahu semua dikehendaki mengambil bahagian. Untuk tujuan itu latihan dan raptainya akan dimulakan selepas makan malam di dewan ceramah yang disediakan. Boleh dikatakan bermula dari petang hinggalah ke malam mereka begitu sibuk dengan perancangan yang telah diatur.
Kelengkapan telah disediakan seada yang mungkin. Mujurlah sebelum berangkat dahulu seorang pegawai semasa menghadiri sesi penerangan menasihati mereka supaya membawa baju batik atau pakaian tradisional kerana katanya apabila terdapat pelajar-pelajar yang berkumpulan ke luar negara selalunya mereka dikehendaki mengada pertunjukan kebudayaan dari negara masing-masing sebagai satu aktiviti awal sebelum bermulanya program yang diikuti. Oleh kerana maklumat sebelum berangkat telah diperolehi maka tidaklah terdapat banyak masalah di dalam mendapat pakaian yang sesuai untuk malam yang dinantikan itu. Walaupun di dalam keadaan keletihan yang belum reda latihan pada malam itu tetap diteruskan dengan lancar tanpa gangguan dari pensyarah-pensyarah yang sesekali datang menjengok. Lebih kurang jam 11.00 malam semua telah berada di bilik masing-masing berbual sambil berehat. Mereka seperti lupa untuk menonton filem-filem menarik di telivision tempatan yang selalunya menayangkan cerita-cerita menarik untuk orang-orang dewasa apabila malam semakin larut.
Azlan hanya berbaring di biliknya dengan Affendi. Perbualan mereka berkisar mengenai cerita-cerita lama semasa sama-sama berlajar dan tinggal sebumbung dahulu. Satu persatu kenangan silam diselak dan diulas. Kenangan yang penuh bererti. Ada suka dan duka. Penuh dengan kelucuan dan keperitan alam pelajar masa itu. Semua itu adalah merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan selagi memori ruang ingatan dapat berfungsi dengan baik dan waras. Affedi sudah mula memejamkan matanya sambil berbual. Dia sudah mengantuk sejurus selepas itu yang kedengaran hanyalah dengkurannya yang seperti injin bot sangkut. Azlan pun mencuba sedaya upaya untuk memejamkan kelopak matanya namun dengkuran di sebelahnya menyebabkan dia tidak dapat lelap walaupun sekejap. Banyak perkara yang mula menerpa di ingatannya. Dia teringatkan bagaimana ibunya ketika hendak berangkat memeluk
dan mencium pipinya dengan lelehan air mata perpisahan. Sementara bapanya cuma memerhatikan dengan bersahaja ketika dia melangkah masuk ke balai berlepas kerana penerbangan ke Melbourne dijangka berlepas pada jam 9.30 malam waktu Malaysia. Lambaian tangan dari keluarganya itu menyebakkan dadanya. Airmatanya mula bergenangan.
“ Kalau Lan nak menyambung belajar, agak-agak di mana kah negara yang Lan suka?” Soal Siti Astela ketika mereka sedang berdua-dua di Taman Tasik Taiping suatu masa dahulu . Itulah kali pertama mereka berjalan sambil bersiar-siar selepas menyaksikan pameran berkaitan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.
“ Oh…! Itu? setakat ini belum lagi terfikir tetapi kalau nak pergi tu, mungkin ke Jerman… ke Amerika ,Autralia atau negeri Jepun. Belajar tu belajar juga tapi yang pentingnya kita boleh melihat keindahan negeri orang, adat resamnya dan teknologi yang telah mereka capai berbanding dengan apa yang kita ada di sini. Sekurang-kurangnya boleh pula ilmu dan pengalaman itu dibawa balik untuk dikembangkan untuk generasi kita nanti.” Balas Azlan dengan panjang lebar.
Azlan tiba-tiba sahaja tersedar dari lamunannya yang tersorot kembali ke zaman ketika mana dia dan Siti Astela sedang dilamun percintaan oleh Affendi yang terbatuk-batuk di katil bersebelahannya kerana kesejukan dan kerana banyak merokok sehari dua ini. Sekali lagi dia terganggu . Tayangan filem kenangan masa dia di kampung bersama kawan-kawan-kawan sesekali menjengok pula di pintu ingatannya. Namun yang kerap menjengah tidak lain dan tidak bukan adalah bayangan wajah gadis yang dipujanya duhulu Siti Astela. Dia bangun dan duduk menyandar di kepala katil.Kini Siti Astela sudah tiada lagi. Dia telah memutuskan ikatan kasih yang telah mereka simpulkan dahulu. Simpulan yang dikiranya begitu teguh pada masa itu rupanya terlucut juga oleh keadaan. Dia begitu kecewa dengan apa yang terjadi.
“ Lan , maafkan Siti kerana terpaksa memutuskan hubun-gan kita. Siti akan lebih tenang jika tidak terikat kasih dengan sesiapa buat masa ini. Di sini Siti terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada kursus perguruan yang telah diambil. Lan mungkin kecewa dengan tindakan ini namun itu adalah pilihan hati Siti sendiri. Ianya tidak ada kena mengena atau dipengaruhi oleh sesiapa. Lupakanlah Siti. Maafkanlah Siti kerana melukai hati mu. Selamat tinggal !. dan semoga Lan akan mendapat pengganti yang lebih setia di masa akan datang……dan berjaya dalam hidup.” Itulah kata-kata yang terakhir dari warkah yang dikirimkan oleh Siti Astela kepadanya.
Dia sendiri tidak menyangka perkara seperti itu akan menimpa dirinya. Apa pun, semua itu telah berlaku. Sejak dari hari itu rindu dan sayangnya telah berkurangan. Walaupun ingatan masih ada tetapi ianya hanyalah seumpama adunan perasaan benci dan rindu.
Dia mengeluh di dalam mencari sesuatu cara untuk tidak mengingati semua itu. Ia cukup membebankan. Yang pasti , dia sebenarnya tidak mampu mengharungi dugaan yang sedang melanda jiwanya.
“ Lupakan dia walaupun semua itu tidak dapat dikikis dengan mudah. Apa sahaja yang terjadi punya hikmahnya yang tersendiri dan kita sebagai makhluk tidak mempunyai ilmu untuk mentafsirkannya. Kenangan akan silih berganti datangnya kepada kita manusia. Ianya adalah sesuatu yang tidak tertepis. Cuma terpulanglah kepada kita untuk membatasi ingatan-ingatan yang merosakkan diri kita itu dengan benteng iman yang sempurna. Aku bukanlah seorang yang sempurna . Kita berkawan , bermain, suka duka kita kongsikan bersama. Sebagai kawan aku sekadar boleh menasihati. Lupakanlah dia….. lupakan segala ingatan yang melampau itu. ” Itulah kata –kata pesanan dari Yahaya ketika dia bersiap-siap untuk berangkat ke Kuala Lumpur. Sungguh dia tidak menduga kawannya mampu untuk menasihatinya dengan begitu baik. Dengan ayat yang begitu simbolik tetapi meninggalkan kesan mendalam di ingatannya. Perasaannya lega seketika. Dia merapati meja tulis di sudut bilik itu dan menulis sepucuk surat untuk ibu dan bapanya di kampung.
Azlan , South Australia
Menemui ayahanda dan bonda semoga berada di dalam kesejahteraan dan dipelihara Allah tiap ketika.
Anakanda di sini dalam keadaan baik-baik sahaja seperti biasa cuma diselimuti oleh keadaan yang berbeza kerana cuacanya yang kesejukan di musim bunga. Kalau dulu anakanda tidak gemar memakai baju di rumah tetapi di sini semuanya terpaksa dibungkus untuk menghangatkan badan.
Alangkah seronoknya jika ayahanda dan bonda dapat bersama-sama di sini. Di musim bunga beginilah pelbagai jenis bunga akan berkembangan dari halaman rumah membwa pula ke perbukitan dengan bunga-bunga liar yang berwarna-warni. Akan anakanda kirimkan gambar untuk tatapan ayahanda dan bonda nanti. Tentu bonda akan menyukainya kerana di kampung pun bonda memang minat dengan taman bunga.
Untuk makluman, buat masa ini anakanda masih lagi terikat dengan aktiviti suaikenal dengan pihak universiti sebelum mengikuti program selanjutnya. Kami sepuluh orang sahaja yang terlibat dengan program Mara di sini. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan tidak usahlah bonda risaukan anakanda di sini. Anakanda akan menulis dengan alamat yang lengkap apabila sudah ditempatkan di rumah yang sesuai nanti.
Akhir kata kirimkan salam anakanda kepada semua orang di kampung terutamanya Pak Su Jan , Pak Ngah Din, Mak Lang Enson dan Kak Besah.
Sekian dahulu dari anakanda di perantauan.
Azlan.
Tepukan dan sorak sorai hadirin di majlis persembahan malam itu amat memberansangkan. Mereka sendiri merasa puas dengan apa yang telah ditunjukkan berbaloi sekali dengan latihan yang dibuat berulangkali itu. Keindahan seni tari dan lagu joget Pahang begitu mendapat sambutan. Pensyarah-pensyarah dengan ahli keluarga mereka seperti terkena hysteria. Mereka turut sama terlonjak –terlonjak menari joget walaupun tidak diundang ke pentas. Azlan dan Khalid ligat dengan petikan gitar yang dipinjam dari salah seorang pensyarah di situ Affendi pula riang dengan persembahan boria ala Sungai Pinangnya. Persembahan pada malam itu diselang seli pula dengan tiupan seksafon hadirin dan wakil universiti. Terdapat juga yang menunjukkan bakat seorang ahli silap mata dan menyanyi.
Helmi dan Musa tidak ketinggalan mempersembahkan kehebatan silat bersenjata di atas pentas itu. Permainan menggunakan keris dan parang ketika bertarung kadangkala menakut penonton. Pun begitu, flas kamera bagaikan kilat memancarkan cahayanya di dewan tersebut. Mujurlah Musa membawa keris yang dibelinya di Melaka bersama-samanya, kalau tidak mungkin dia terpaksa pula mencari kayu sebagai ganti.
“ Saya berbangga dengan kamu semua…! kamu ialah kumpulan pertama pelajar-pelajar Malaysia tajaan Mara terbaik yang pernah kami jumpa di sini.. hebat, kamu semua memang hebat. Kamu semua begitu kreatif, responsif serta komited
dengan tugas yang diberikan walaupun dalam jangka masa yang singkat. Saya berkeyakinan kamu semua ada potensi untuk melangkah lebih jauh dan berjaya dalam program yang akan diikuti di universiti nanti. Terima kasih ” Ucapan ringkas dari Goeff Penhall sebaik sahaja pertunjukkan selesai dengan tepukan gemuruh hadirin.
“ Saya juga sebagi wakil pelajar dari Malaysia ingin mengucapkan rasa terima kasih yang tak terhingga kepada pihak universiti dan pensyarah-pensyarah yang telah sama-sama memberikam sumbangan tunjuk ajar sejak kami menjejaki bumi
Australia yang akan kami sukai nanti. Terima kasih ” Ucapan balas daripada Khalid.
Malam – malam terakhir di situ dihabiskan dengan mengemas pakaian . Tapi ramai juga yang masih berada di hadapan televisen semata-mata untuk menanti program larut malam yang menarik dan sensasi. Neng dan Salmah turut sama tidak berganjak dari tempat duduk mereka bersahaja dan tidak mempedulikan usikkan kawan-kawannya. Adegan-adegan ranjang dan panas itu tidak dapat menolong Azlan dan Affendi dari terus berada di hadapan layar kaca itu. Kelopak mata Azlan seperti digam. Sukar untuknya membuka. Affendi melihat sahaja gelagat kawannya yang seperti orang yang separuh mati dengan dadanya yang berombak-ombak.
“ Jangan lupa matikan suis apabila selesai menonton nanti ” Kata pengawal yang bertugas membuat rondaan waktu malam hari di bangunan itu .
“ Jom Lan…. siaran dah tamat ” Ucap Affendi sambil menarik tangan Azlan.
“ Pergi mana ni….? ” Tanya Azlan . Dia nampak seperti mengigau danmenggeliat-ngeliatkan badannya.
“ Mana lagi masuk biliklah ! ” Tegas Affendi seperti marah-marah.
Sampai di bilik matanya yang tadinya tersangat mengantuk telah segar kembali.Affendi terus menyelinap masuk ke dalam kain selimutnya yang tebal.
“ Kenapa engkau kacau aku ni…. ! aku nak tidurlah……! “ Bentak Affendi kepada Azlan pula.
“ Tadi engkau ganggu aku boleh…!.engkau tahu ke….! aku kalau dah terjaga mana boleh lena semula dengan cepat…! ” Jawab Azlan.
“ Itu mana aku tahu ….! Lagipun dah lama kita tak duduk sekali. Lainlah enam tahun dahulu… ! Ujarnya lagi sambil menutup mukanya dengan selimut.
Azlan terlentang di atas tilam. Matanya yang terkebil-kebil beberapa lama tanpa bicara itu kemudiannya tewas juga kerana kepenatan. Dia banyak berfikir mengenai perkara-perkara yang acapkali mengganggu emosinya. Kedinginan malam di luar tempat penginapannya sudah tidak dipedulikan lagi. Yang kedengaran hanyalah dengkuran kedua-dua mereka yang silih berganti memecahkan keheningan malam di bilik itu.


No comments:
Post a Comment