
BAB – 6. PINDAH Kontrak untuk mendiami flat percutian itu tinggal beberapa hari sahaja lagi. Mereka terpaksa mencari tempat tinggal yang lain. Pihak universiti tidak dapat membantu kerana hostel yang ada telah penuh diisi. Ikhlan demi ikhlan di dada akhbar The Advertiser dijelajahi namun apabila dibuat pertanyaan tempat-tempat tersebut didapati terlalu mahal dan tidak sesuai untuk mereka. Yang agak sesuai hanya ada sebuah sahaja untuk tiga orang. Atas persetujuan ramai rumah tersebut telah diberikan kepada Musa, Helmi dan Rizal tetapi dengan syarat Azlan dan kawannya yang lain dapat menumpang buat sementara sebelum menemui rumah baru.
Jam 10.00 pagi Azlan hanya keseorangan ketika itu untuk menghantar kertas tugasannya kepada pensyarahnya. Khalid dan Affendi masa ditinggalkan masih tidur dan sukar untuk dibangunkan. Selesai menyerahkan tugasan bertajuk Adult Learner itu kepada Barry Hobart dia menyusuri kawasan kafeteria untuk berjumpa dengan Kent Chanok presiden persatuan pelajar-pelajar universiti yang dikenali pada malam persembahan mereka dulu.
“Hello, Kent !” Azlan menyapa presiden pelajar yang bertubuh besar beranting- anting di telinga.
“Helo, gang ! Apa khabar ? rata-rata pelajar di sini menyukai irama Malaysia yang saudara nyanyi tempoh malam,” sahut Kent senang dengan kehadiran Azlan di situ.
“Oh terima kasih.” Balas Azlan penuh bangga.
“Saya kira kamu cukup gembira belajar di sini, tetapi jika perlu bantuan, pihak persatuan pelajar boleh membantu.” Kent menambah perbualan.
“ Sebenar saya dan rakan-rakan tidak punya masalah, cuma buat masa ini kami memerlukan bantuan untuk perpindahan 6 orang dari West Beach ke Hardy Boy’s Road.
Untuk menyewa van kosnya agak mahal. Jadi bolehkah pihak persatuan membantu kami dalam hal ini, asalkan sewanya berpatutan ?” Ujar Azlan.
“ Kalau sekadar itu, tidak ada masalah , nyatakan tarikh dan masa, kita akan selesaikan masalah kamu semua.” Sahut Kent beria-ia untuk membantu.
“Kosnya berapa?” Tanya Azlan.
“Dua puluh dollar sahaja untuk duit tabung persatuan.” Balas Kent.
“Okay, apa kata besok petang jam enam lepas kuliah ” Celah Azlan.
“Setuju,” sahut Kent sambil menyambut tangan Azlan.
Kafetaria yang penuh sesak dengan pelajar ditinggalkan untuk mengejar bas Bee Line yang menuju West Beach, sampai di flat, percutian itu, dia mendapati Affendi dan Khalid telah mula berkemas-kemas.
“Ada nasi ke?,” tanya Azlan.
“Ada,”
“Engkau masak ke ?,”
“Tidak!,”
“ Habis?,”
“ Aku beli dari kedai Kak Nah tadi ” Kata Affendi.
“ Engkau punya di atas meja tu, kami dah makan. Harganya, biasalah empat dollar,” ujar Affendi sambil memasukkan buku tebal dan bajunya ke dalam kotak dan beg..
“ Aku baru telefon, engkau orang dah mengemas ? ” Ujar Azlan.
“ Habis nak tunggu bila ? ” Celah Khalid.
“ Kebetulan pula aku berjumpa dengan Kent, kalau tidak terpaksalah kita guna teksi, bergilir-gilir mampus nak bayar,” Kata Azlan
“Engkau memang ok lah!” Sambung Affendi.
“Eh, aku dah tolong kau orang kurangkan kos pengangkutan tu, apa kata empat dollar tu dikira hangus, boleh ke ? ” Tanya Azlan.
“Ok….ok lah! ” Fendi dan Khalid bersetuju.
Azlan menjamah makanan dengan lahapnya . Dia lapar dan berselera dengan lauk pauk masak lemak cili api dari Restotan Bunga Raya itu. Itulah satu-satunya restoran Melayu di Adelaide.
Perjalanan dari rumah baru yang akan mereka tumpangi hanya memakan masa sepuluh minit untuk sampai ke kampus dengan berjalan kaki. Walaupun berjalan, kepenatan tidaklah begitu terasa kerana mereka melalui rumah-rumah kediaman yang cantik dengan pelbagai bentuk dan hiasan bunga dan dapat pula menyedut udara yang nyaman di waktu pagi. Sewaktu ada kuliah mereka tidak perlu tergesa-gesa lagi seperti dahulu mengejar bas. Kini semuanya mudah dan cepat apalagi bila hendak ke perpustakaan yang dibuka hingga ke jam 9.00 malam.
“ Lan, aku ada berita baik untuk kita.Ilias dari Flinders University ada menawarkan kita sebuah bilik kosong di apartmen nya denagn sewaan yang muarah , engkau nak tak? ” Tanya Khalid ketika Azlan sibuk bersiap-siap untuk keluar bandar. Sejak pulang dari bandar tadi dia hanya sibuk dengan petikan gitarnya. Dia banyak bersendiri di dalam bilik.
“ Aku rasa rasa engkau orang berdua sajalah yang ke sana dan aku akan menyusul kemudian.” Jawab Azlan.
“ Tak syok lah macam tu ” Kata Affendi.
“ Nantilah aku fikirkan dulu. Aku tak dapat fikir sekarang kerana aku nak keluar. Nanti kita cerita lain.” Balas Azlan sambil beredar meninggalkan mereka berdua. Dia menahan sebuah teksi untuk ke bandaraya Adelaide. Hari itu banyak duit. Duit biasiswa yang baru dikeluarkan dari Australian And New Zealand Bank pagi tadi.
Sejak pertemuan di malam perpisahan di universiti dulu hanya dua ke tiga kali sahaja dia berhubungan dengan Sheryn melalui telefon. Sudah dua kali pula dia menolak jemputan Sheryn untuk ke rumahnya kerana sibuk dengan tugasan yang perlu disiapkan segera sehinggalah mereka terserempak di luar ANZ Bank pagi itu.
“ Hai Komang ! ” Sapa Sheryn sambil menepuk bahu kanan Azlan.
“ Hai Sheryn apa khabar ?.” Spontan Azlan menjawab kerana dia tahu tiada orang lain yang pernah memanggilnya dengan nama sebegitu.
“ Baik .” Balas Sheryn pendek.
“ Mahu ke mana ?
“ Saya cuma mahu ke perpustakaan memulangkan buku.”
Jawab Sheryn sambil menunjukkan buku tersebut kepada Azlan.
“ Hidup sesudah mati .” Buku karangan Bey Ariffin dari Indonesia. Apakah engkau memahaminya ? Tanya Azlan .
“ Tidak semua.” Kata Sheryn.
“ Adakah engkau pernah membaca buku ini ?” Soal Sheryn pula.
“ Tidak. Tetapi dari judulnya aku fikir ianya tentu mengisahkan darihal manusia selepas mereka mati.” Kata Azlan yakin.
“ Engkau memang hebat .” Balas Sheryn pula.
“ Aku bukan hebat tetapi cuma dapat mengagak.” Ujar Azlan.
“ Oh ya , apa kata kita pergi makan pancake di hujung sana ? ” Pelawa Sheryn.
“ Engkau ada banyak duit ? ” Tanya Azlan .
“ Tidak banyak tapi rasanya cukup untuk membesarkan perut engkau tu.” Balas Sheryn sambil menyucuk perut Azlan. Kemudian menarik tangan Azlan ke Mama’s Café tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
Suasana di dalam , memang cantik dengan hiasan bunga di setiap mejanya. Semua kerusi di situ diperbuat dari rotan dan keliahtan agak antik sesuai dengan namanya.
“ Engkau suka dengan tempat ini ?”
“ Suka dan gembira. ”
“ Apa yang menyukakan engkau? ”
“ Banyak, antaranya ialah hiasannya, kerusinya, ”
“ Selain dari itu ?.”
“ Gadis cantik ”
“ Maksud kau ? Sheryn memandang ke arah seorang gadis pelayan di kaunter bayaran.
“ Bukan dia , tetapi gadis yang berada di sisi ku ini.” Azlan senyum sambil mencubit pipi Sheryn yang kemerahan sementara Sheryn begitu cepat pula bertindak balas dengan mencubit paha Azlan.
Azlan menghirup cuppucinno yang digemarinya dan memakan pancake yang telah dipesan.
“ Untuk pengetahuan mu aku sekarang sudah berpindah dari West Beach ke Hardy Boys Road menungpang di rumah kawan-kawan sementara mencari rumah yang sesuai untuk kami bertiga.
“ Kenapa berpindah ? ”
“ Kerana kontraknya telah tamat.”
“ Engkau perlukan rumah ? tetapi ianya hanya untuk seorang sahaja.”
“ Ya. Tapi… kami bertiga.”
“ Tawaran hanya untuk seorang ,” Tegas Sheryn .
“ Di mana ? .”
“ Di rumah aku dekat North Terrace.”
“ Aku seorang? ”
“ Ya, hanya untuk engkau seorang. ”
Azlan agak terkejut dengan pelawaan itu. Dia sama sekali tidak menyangka akan diberi tawaran begitu . Mereka baru berkenalan dan belum cukup mengenali hati masing-masing.
“ Saya tidak memaksa, hanya sekadar membuat tawaran. Engkau fikirkanlah dahulu.” Kata Sheryn merenung ke mata Azlan.
“ Biarlah aku aku fikirkan dahulu ”
“ Baik, nanti petang kita berjumpa lagi di depan sana tu ” Sheryn menunjukkan ke arah bangunan di seberang jalan.
“ Aku akan menunggu mu di dalam sana jam 6.00 petang nanti . Jangan lupa.” Ulang Sheryn. Mereka bangun lalu keluar dari Mamas Café menuju ke perhentian bas. Kemudian keduanya menaiki bas yang berbeza mengikut haluan masing-masing.
***********************************
Dalam perjalanan menemui Sheryn, fikirannya menjadi bertambah kacau apabila teringatkan pelawaan Sheryn pagi tadi. Otaknya mula berserabut dengan pelbagai persoalan. Apa kata kawan-kawannya bila dia menerima pelawaan Sheryn?. Adakah mereka akan berkecil hati kerana dia tidak mahu mengikut mereka berpindah ke apartmen Ilias?. Semua pertanyaan itu terpaksa dijawabnya sendiri. Jawapan yang tidak pernah memuaskan hatinya. Malah kesemua itu telah menyusahkan fikirannya. Dia buntu seketika.
Sampai di tempat yang dituju Azlan menghulurkan lima dolar kepada pemandu teksi. Dia tidak terus masuk. Malah matanya galak memerhatikan lalulintas dan orang ramai yang bergerak pantas tanpa menghiraukan orang-orang di sekeliling mereka. Ramai pula di antara mereka yang menuju ke bangunan Gramphell Tavern . Sebuah bangunan untuk beristirehat dengan jualan minum-minuman untuk memanaskan badan di cuaca yang agak sejuk. Azlan merhatikan gelagat itu .Kalau di kampung waktu-waktu begitu tentu ramai yang akan ke surau atau ke masjid untuk menunaikan solat maghrib tetapi di sini ianya amat berbeza. Dia sendiri sudah terlupa sementara kakinya sudah menuruni tangga dan melangkah masuk ke ruang yang penuh dengan orang ramai. Bau asap rokok begitu kuat menyucuk lubang hidungnya. Dia menyelit di antara orang banyak mencari kelibat Sheryn. Dalam kekaburan asap rokok itu, dia terpandang Sheryn yang sedang minum keseorangan di suatu sudut. Azlan terus duduk. Musik rancak yang bising membuatkan dia terpaksa bercakap agak kuat.
“ Maafkan aku kerana terlewat sampai.”
“ Tidak mengapa ,aku juga baru lima minit berada di sini.Engkau mahu minum apa ?”
“ Minum kopi panas.”
“ Maaf di sini tidak ada minuman itu”
“ Habis apa yang ada ?”
“ Minuman keras .”
“ Aku tidak biasa dengan minuman sebegitu”
“ Kalau begitu baik engkau minum sky juice sahaja tidak perlu bayar ”
“ Ok ! Asalkan dapat minum.” Balas Azlan sambil mengetuk-ngetuk meja mengikut irama musik yang sedang berkumandang. Sheryn bangun lalu pergi ke kaunter minuman dan kemudiannya kembali dengan segelas air sejuk buat Azlan.
Mereka tidak banyak bercakap tetapi banyak memerhatikan perilaku pelanggan-pelanggan di situ yang asyik
menari dan ketawa dengan pelbagai ragam.
“ Engkau tidak sukakan tepat ini kan ? Tanya Sheryn .Apabila mendapati Azlan tidak banyak berbicara. Selepas meneguk minumannya, Sheryn mengajak Azlan keluar berjalan-jalan di luar. Mereka beriringan seperti sepasang kekasih menuju ke Festivel Theatre yang tidak ramai dikunjungi orang ramai kerana tidak ada apa-apa pertunjukkan di dataran itu. Walaupun tubuh mereka dibaluti baju tebal, namun kesejukan malam itu makin terasa.
“ Engkau belum pernah berkesempatan mengunjungi rumah ku, apa kata kita ke sana ? Sekali lagi Sheryn mengajak Azlan untuk pulang ke rumahnya . Azlan hanya menurut tanpa bangkangan. Mereka menahan sebuah teksi untuk ke North Terrace. meredah kesunyian malam yang dingin.
Kunci rumah banglow sederhana setingkat itu dibuka dan Azlan dipelawa masuk. Serentak pula pintunya ditutup rapat kerana angin malam yang bertiup seakan mahu menyelinap sama masuk ke ruang tamu . Azlan terjelepuk di sofa panjang.Matanya liar memerhatikan keadaan dalam rumah yang dihias dengan sederhana. Sheryn menghidupkan alat pemanas dan terus ke ruang dapur untuk membuat air minuman.
“ Inilah rumah tempat aku tinggal terdapat tiga bilik tidur dengan dua darinya dilengkapi dengan tempat mandi serta tandas dan sebuah lagi bilik bacaan.” Sheryn menerangkan keadaan rumah itu kepada Azlan. Mereka melihat-lihat bilik yang di ceritakan itu dari sebuah ke sebuah. Kemudiannya kembali duduk di sofa dekat ruang tamu.
“ Di mana bapa engkau tinggal ?”
“ Dia sekarang menetap di Port Augusta kira-kira beberapa jam sahaj dari sini. Dia juga seorang pengajar. Rumah ini telah disewakan sebelum ini. Dan apabila aku ditawarkan belajar di sini, dia tidak lagi menyewakannya malah medesak agar aku mendiami rumah ini supaya senang pula dia menziarahi
aku bila ada kelapangan waktu.”
“ Dia mengambil berat tentang diri mu, tetapi kenapa pula tidak kembali mengajar di sini? ”
“ Sebenarnya dia lebih sayang dan lebih suka untuk tinggal bersama isteri mudanya seorang pegawai bank.”
“ Ibu mu ?
“ Dia sudah lama meninggal setelah terlibat di dalam satu kemalangan kereta lapan tahun yang lalu. Dan aku sudah tidak punya ibu. ” Sheryn menjawab pertanyaan Azlan dengan nada yang agak sedih.
“ Maafkan aku kerana soalan yang menyentuh perasaan mu”
“ Semua itu sudah berlalu ” Balas Sheryn .
Azlan meneguk kopi panas yang disediakan oleh Sheryn. Kopi yang tidak semanis orangnya.
“ Kalau engkau setuju dengan tawaran aku, engkau boleh tinggal di sini secara percuma. Semua bil seperti bil eletrik, air dan telefon kita kongsi membayarnya . dan satu lagi kita tidak perlu risau dengan bayaran hutang rumah, kerana rumah ini telah mempunyai apa-apa hutang lagi dengan bank. Semua nya telah langsai.” Sheryn menyakinkan Azlan yang hanya diam mendengar penerangannya.
“ Bapa aku hanya akan kem,bali melawat jika aku mempunyai masalah. Dia lebih suka berhubung melalui telefon sahaja….. bagaimana ? ” Tanya Sheryn sambil berlutut mengadap Azlan yang tersandar di sofa . Mata hitam Azlan dan mata biru Sheryn bertentangan. Azlan payah dengan keadan sebegitu. Dia menjadi serba salah perasaannya tidak keruan. Sheryn merapati Azlan sambil meletakkan kedua tangannya di atas lutut anak muda.
“ Setuju tak dengan perlawaan ku ? ” Tanya Sheryn seperti mengharap.
“ Baiklah aku setuju tetapi dengan satu lagi syarat tambahan.” Kata Azlan.
“ Katakan lah ” Pinta Sheryn seperti tidak sabar.
“ Engkau tidak akan menghalau aku keluar dari rumah ini bila sudah tidak menyukai aku lagi.” Ucap Azlan.
“ Itu tidak akan terjadi ” Kata Sheryn sambil mencium pipi Azlan. Seketika kemudian mereka hangat dalam dakapan malam di sofa yang empuk dengan membiarkan televisyen di hadapan mereka tidak ditonton oleh sesiapa.
Hari sabtu Azlan dan Sheryn tidak kemana-mana. Mereka hanya berkurung di dalam rumah. Membersihkan bilik yang akan dijadikan tempat tinggalnya. Aksi mereka sudah seperti sepasang suami isteri yang berpindah ke rumah baru. Mereka bebas melakukan apa sahaja. Tiada siapa yang akan mengganggu. Dia senang dengan layanan Sheryn terhadapnya.Walaupun mereka baru hendak mengenali hati budi sesama sendiri.Sesekali terlintas juga di fikirannya perkara-perkara yang mencurigakan. Apa muslihat dan tujuan Sheryn sehingga sanggup membenarkan dia tinggal di situ dengan percuma. Mahu saja ditanyakan kepada Sheryn namun setiap kali untuk bersuara dirasakan seolah kerongkongnya tersekat. Ahhh! Persetankan dengan semua itu. Bisik hati kecilnya.
Keesokan harinya, Azlan memohon untuk pulang mengambil beg-beg pakaian serta buku-bukunya di rumah Musa. Mendengar itu Sheryn segera menelefon kawan karibnya Wendy. Lebih kurang setengah jam kemudian sebuah van Toyota Torago buatan Jepun sampai di perkarangan rumah itu. Mereka bertiga lalu berangkat ke Hardy Boys Road.
Kepulangan Azlan dengan van diiringi oleh dua gadis comel itu mengejutkan Khalid dan Affendi serta kawan-kawannya yang lain. Setelah memperkenalkan Sheryn dan Wendy kepada mereka, Azlan terus ke biliknya untuk mengambil barangan kepunyaannya. Affendi turut membantu mengangkat beg-beg dan kotak-kotak penuh dengan buku.
“ Nak kemana Lan?.
“ Pindah. ”
“ Nak Pindah ? ”
“ Nampaknya begitulah Fendi ”
“ Rumah mana ? ”
“ Rumah Sheryn di North Terrace.”
“ Engkau nak tinggal berapa orang di sana ? ”
“ Dua orang ”
“ Siapa yang seorang tu ? ”
“ Sheryn ”
“ Boleh tambah orang lagi ke ?”
“ Tak boleh. Dia cuma mahukan aku seorang sahaja.”
Jawab Azlan kepada Affendi sambil mengangkat barangannya menuju ke van yang tidak dimatikan enjinnya sejak sampai.
“ Tak apalah Lan, tetapi kalau ada apa-apa masalah nanti jangan lupa beritahu kami di sini.” Kata Khalid.
“ Jangan risau , aku pergi dulu dan kita berjumpa lagi di kampus besok.Terima kasih semua. ” Kata Azlan lalu menutup pintu van dan bergerak meninggalkan perkarangan rumah itu menuju semula ke North Terrace.
Sudah berbulan dia bersama Sheryn. Dan pada malam itu Azlan sibuk pula mengemas dan menyusun kertas-kertas tugasannya yang telah siap berhampiran meja tulis di bilik tidurnya. Dia mengambil sepucuk surat yang terselit di dalam sebuah buku nota yang sudah seminggu tidak dibuka kerana terlupa dengan kesibukan kerja. Surat dari Yahaya. Kawan sepermainannya di kampung dulu. Sudah sekian lama lama tiada berita daripadanya. Poskad yang telah dikirimkan juga tidak berbalas. Begitu juga dengan Idrus. Tiada khabar mengenainya walaupun sedikit. Dia tidak pasti sama ada mereka masih di kampung atau pun sudah pergi ke mana-mana. Semua itu mengingatkan dia kepada kampungnya. Apa pun dengan kedatangan surat dari Yahaya membuat hatinya gembira kerana
Semua persoalannya mungkin terjawab apabila membacanya isi kandungannya nanti. Dia tidak sabar lagi untuk membukanya.
Sheryn yang meniarap berlapikan bantal di lantai berkapet tebal itu tidak mengendahkan apa yang sedang dilakukan oleh Azlan di meja tulis. Dia sibuk sekali membelek-belek beberapa buah majalah Mastika dan Gila-Gila yang dibawa oleh Azlan dari Malaysia dulu walaupun keluarannya telah berbulan lamanya.
Yahaya bin Ahmad,
Blok A-2 Bilik no.13,
Maktab Perguruan Kinta,
Ipoh,
Perak Darul Ridzuan.
Menemui saudara Azlan. Salam sejahtera dari ku di Ipoh. Aku penuh berharap agar dirimu di sana sentiasa di dalam sihat dan gembira. Bagi aku di sini alhamdullillah seperti biasa sahaja cuma agak sibuk dengan tugasan demi tugasan sebagai seorang guru pelatih. Aku kira engkau juga mungkin sesibuk sepertimana aku di sini sekarang.
Bagaimana dengan cuaca di sana? Tentu engkau sekarang sudah beku disaluti salji dan angin dingin. Sementara aku di sini tetap panas di bawah mentari dengan tekad serta semangat yang membara untuk menjadi seorang guru yang baik insyaallah.
Apapun, aku memohon kemaafan kerana kelewatan membalas poskad yang telah engkau kirimkan berbulan yang lalu. Sehinggalah kedatangan poskad mu yang
kedua berlatarbelakangkan Opera House yang cantik itu. Terima Kasih di ingatan yang tidak putus-putus. Poskad yang engkau kirimkan itu pun baru saja ku kutip di dalam
laci meja tulis di rumah ku kerana sudah empat bulan aku berada di maktab . Kebetulan pula aku baru sahaja pulang ke kampung untuk bercuti.
Untuk makluman mu, kawan kita Idrus juga sudah ke Maktab perguruan Keningau di Sabah. Dia berangkat dua hari sebelum aku melaporkan diri di Maktab Perguruan Kinta Ipoh.
Aku Juga tidak mendapat apa-apa berita daripadanya setakat ini. Mungkin dia juga sibuk seperti kita.
Semasa di kampung aku sempat juga menziarahi kedua orang tuamu. Mereka masih sihat seperti sebelum engkau meninggalkan kampung dulu. Mereka juga meminta aku mengirimkan salam mereka kepada engkau dan berharap engkau akan menjadi seorang yang baik serta pandai menjaga diri di tempat orang. Mereka juga berpesan agar engkau selalu mengutuskan berita buat mereka di kampung. Selain dari itu tidak banyak perkembangan baru yang dapat ku cerita kepada mu.
Lan, Aku kira engkau sudah putih sekarang. Maklumlah di sana badanmu selalu dibungkus dengan pakaian-pakaian yang tebal. Tidak seperti di kampung. Dulu berlengging tanpa baju adalah perkara biasa bagi kita semua tambahan pula di waktu musim kemarau.
Apapun Lan, usah dilupakan orang tua kita di kampung, bangsa dan agama kita walaupun di mana kita berada. Dunia yang kita diami ini penuh dengan keindahan tetapi di perlu juga diingat bahawa ia juga penuh dengan tipu
dan muslihat. Untuk itu kita harus berhati-hati agar tidak terjebak dan leka dalam menjalani kehidupan yang sementara. Kita sama-sama akan menjadi pendidik bangsa satu hari nanti. Cuma ilmu yang kita perolehi dan kutip itu adalah dari tempat yang berbeza. Pun begitu yang baik, tetap dipandang mulia dan begitulah sebaliknya walaupun kita berada dan ditempatkan di serata corok dunia.
Sudah lama kita tidak berbicara begini Lan, apa pun aku ucapkan terima kasih kerana kesudian engkau meluangkan sedikit waktu membaca surat aku yang agak panjang ini.
Sedikit berita yang mungkin engkau nantikan. Berita mengenai Siti Astela. Aku sama sekali tidak menjangkakan bahawa akan bertemu dengan Siti Astela semasa pihak maktab kami berkunjung ke Maktab Perguruan Ilmu Khas di Ceras dua bulan yang lepas bagi mengadakan perlawanan sukan di antara maktab-maktab se Malaysia. Dia juga terkejut apabila mendapati aku berada di tepi padang bersorak memberi sokongan kepada pemain bolasepak pasukan kami.
Dalam perbualan petang itu, kami banyak bercerita tentang kawan-kawan kita yang telah berjaya. Dan dia sendiriagak terkejut apabila aku mengatakan bahawa emgkau sekarang berada di Australia. Dia hanya diam dan air mukanya berubah seketika. Tetapi dia kelihatan gembira semula, mungkin berpura-pura untuk menyorok perasaan kesalnya kerana telah memutuskan perhubungan dengan engkau dulu. Setahun lagi dia sudah tentu akan menjadi seorang guru. Dan dari percakapannya dia berminat sekali untuk mengajar di kampung.
Sebelum kami berpisah, dia meminta alamat mu dari ku dan aku memberikannya mengikut alamat dari poskad mu yang pertama. Alamat kampus. Aku harap engkau tidak akan memarahi aku kerana itu. Apa yang aku ceritakan ini , bukanlah untuk mengungkit cerita-cerita lama antara dai dan engakau tetapi anggaplah ia sebagai satu berita gembira dari Malaysia.
Terlalu banyak aku berceloteh, cukuplah setakat ini sehingga kita ketemu lagi di lain waktu. Salam sejahtera buat kau di perantauan.
Yahaya.
Selesai membaca surat itu, Azlan menarik nafas panjang. Sheryn yang memerhatikan reaksi sebegitu rupa terus bersuara.
“ Berita dari Malaysia ? ”
“ Ya, dari seorang kawan lama.”
“ Kawan lelaki atau perempuan ?”
“ Lelaki , kenapa ? ”
“ Kalau daripada seorang perempuan, tentu dia juga sedang menanti kiriman surat dari engkau, siapa tahu ?”
“ Aku tidak punya kawan perempuan di Malaysia .”
“ Masakan begitu ! apa di sana tidak ada orang perempuan ? hairan.! ”
“ Bukan itu maksudku. Cuma aku mahu engkau tahu bahawa aku tidak mempunyai kawan perempuan yang istimewa.”
“ Jadi engkau tidak pernah jatuh cinta? ”
“Err, ada. Tetapi hubungan kami telah berakhir kerana dia telah meninggalkan aku .”
“ Salah siapa ? ”
“ Mungkin salah diriku sendiri kerana pada masa itu, aku tidak mempunyai apa-apa yang boleh diharapkan.”
“ Hanya kerana itu? ”
“ Ya, itulah sebab yang dapat aku fikirkankan ”
“ Kesian !”
“ Perempuan selalunya akan bertindak demikian . Mereka akan cepat berubah hati apabila mendapati pasangannya tidak dapat memberikan mereka kebahagian yang berupa material.”
“Hebat sekali kupasan engkau mengenai hati seorang perempuan. Tetapi engkau juga harus ingat bahawa tidak semua perempuan akan bersikap demikian rupa.”
“ Walaupun tidak semua tetapi yang segelintir itu pun sudah cukup untuk membinasa perasaan seseorang.”
“ Apakah engkau serik untuk bercinta lagi ? ”
“ Ya , aku serik.”
“ Apakah engkau sudah tidak percaya kepada takdir dan ketentuan? ”
“ Masih percaya .”
“ Siapa kah yang menentukan pertemuan itu ? ”
“ Yang Maha Besar.”
“ Bagaimana pula kalau aku katakan bahawa aku telah jatuh cinta kepada mu sejak dari mula pertemuan kita, adakah itu juga ketentuan.?
“ Ya. kalau itu benar-benar ketentuan aku tidak bisa mengelak.”
“ Baiklah, aku sebenarnya memang telah jatuh cinta dengan mu. Sudikah engkau menerimanya ?”
“ Tetapi aku sudah tidak percaya kepada sebutan cinta.”
“ Kenapa pula ?”
“ Kerananya perasaan ku telah terguris.Bagi ku hubungan anatra kita hanyalah didasarkan kepada perasaan kekawanan yang penuh dengan nafsu dan bukannya dari cinta yang tulus.”
“Apa kah perbezaan di antara cinta dan nafsu yang telah engkau katakan itu ?”
“Bagi ku, cinta itu tulus. Ia tidak ada cacat dan celanya. Seperti cinta dan sayang seorang ibu kepada anak-anaknya. Sementara nafsu pulak ialah kehendak-kehendak yang tidak
pernah cukup dan hanya terjadi pada akal manusia yang belum sempurna sifatnya dan sentiasa mahukan sesuatu dan ianya juga tidak pernah berakhir. ”
“ Adakah di antara kita yang ada hanyalah nafsu dan tidak pula cinta ?.”
“ Aku kira itu lah jawapannya. Kerana cinta sebenarnya tidak terucap. Ia adalah perasaan dalaman bukan luaran .”
“ Bukan kah yang diucapkan itu telah bermula dari dalam diri ? Dan terbatal kah ucapan cinta seseorang kepada yang lain kalau ianya sudah dilafazkan ? ”
“ Tidak semestinya, semua itu hanya pandangan peribadi ku sahaja.”
“ Berbalik kita kepada soalan aku yang belum berjawab”
“ Soalan apa ? ”
“ Mengenai cinta ku kepada mu?” Sheryn memegang tangan Azlan seeratnya. Soalannya bukanlah soalan yang main-main. Dia seperti telah benar-benar menyintai Azlan.
“ Sudah kah anda memikirkan semasak-masaknya ? Dan tidak akan menyesal ?” tanya Azlan.
“ Tidak saya tidak menyesal walau apapun yang terjadi. ”
“ Kalau begitu , berikan lah peluang untuk aku pula memikirkan. Engkau boleh datang semula selepas jam 12.00 nanti.Setelah aku menulis surat dan poskad buat ibu , dan kawan-kawan ku di kampung, aku akan berikan jawapannya. ” Kata Azlan sambil mengambil beberapa keping poskad di dalam laci meja tulisnya. Sheryn menghilangkan diri dan berubah pula ke ruang tamu untuk menonton televisyen.
Banyak juga berita yang ditulis untuk ibunya dan tak kurang pula kpepada Yahaya. Tapi dia teragak-agak untuk mencatitkan sesuatu di poskad yang ditujukan khas kepada Siti Astella. namun digagahi juga . Dia cuma menulis : Salam sejahtera. Daripada : Aku yang sepi di perantauan. Azlan.
“ Sudah sediakah dengan jawapannya Azlan ? ”
Azlan sedikit tersentak. Sheryn melenyapkan ingatannya kepada Siti Astella. Dia datang tepat pada waktunya. Azlan sebenarnya masih kabur dengan jawapan yang akan diberikan. Dia sendiri kurang pasti. Masa berlalu juga detik demi detik tanpa henti. Dia agak tertekan dengan permintaan Sheryn yang tidak disangkannya itu.
“ Engkau tentu sudah bersedia untuk mendengarkannya, dan aku berharap apa juga yang akan aku katakan nanti tidak akan membuatkan engkau bertindak menghalau aku keluar dari rumah ini di dalam kesejukan. ” Pinta Azlan. Dia melabuhkan punggungnya di bucu katil. Diam seketika.
“ Cepatlah Azlan ! ” Seru Sheryn lembut tetapi tidak sabar.
“ Errr! ……” Azlan teragak-agak.
“ Cepatlah ! ” Rayu Sheryn lagi seperti merenget.
Azlan memerhatikan Sheryn yang berdiri di hadapannya. Dia sudah bertukar pakaian. Kalau tadi dia memakai seluar jean berwarna biru tetapi kini cuma sehelai baju tidur berwarna ungu muda. Jantungnya berdegup kencang . Dan dia dapat merasakan debaran di dadanya yang semakin kuat. Akalnya sudah tidak berfungsi. Dia jadi tidak keruan dengan keghairahan yangberada di depan matanya.
“ Hey ! Azlan cepatlah cakap! ” Sheryn bersuara keras tetapi lembut. Memang dia sudah tidak sabar dengan aksi Azlan yang begitu. Dia makin merapati Azlan.
“ Errr!…… aku terima .” Ucap Azlan.
Mendengar jawapan yang menggembirakan itu, Sheryn dengan sepantas kilat menerkam ke tubuh Azlan. Dan dalam keadaan sebegitu mereka hanyut diulit kehangatan malam tanpa ada apa-apa halangan.

No comments:
Post a Comment