
Hari itu Azlan memohon untuk pulang lebih awal daripada Barry
Hobart seorang pemudah cara dalam latihan yang sedang diikutinya di
Gilles Plains Community College. Fikirannya hari itu tidak begitu
tenteram. Ada dua perkara yang sedang bermain di kepalanya. Pertamanya
ialah tentang surat daripada Siti Astella yang baru diterimanya. Surat itu
sedikit sebanyak telah membuatkan dirinya terkenang kembali akan gadis
yang pernah dipujanya. Setelah membaca isi kandungannya itu dapat
Azlan membayangkan hasrat di sebalik yang tersirat. Bila dikenang-
kenangkan kembali, memanglah hatinya telah terguris. Telah patah dan
musnah. Tetapi semua itu telah sembuh, disembuhkan oleh semangat dan
keazamannya untuk terus menjelajahi kehidupan yang lebih sempurna.
Kehidupan yang tidak terjangka, selari dengan ketetapan masa dan
persekitaran yang beraneka. Patutkah aku memaafkannya ? Atau
membiarkan sahaja perkara itu berlalu dan tidak akan mengungkit-ungkitkannya lagi di masa hadapan? Adakah dengan tidak memaafkannya
aku akan dianggap sebagai seorang yang pendendam? Seorang yang tidak
cukup ilmu agamanya? Manusia apakah aku ini sehingga tidak dapat
memaafkannya ? Siapakah aku yang sebegitu keras hatinya ? Dan
layakkah aku berbuat demikian? Ah, terlalu banyak soalan yang harus
dijawab. Dan untuk menjawab pelbagai soalan yang rumit itu,sudah tentu a
akan menambahkan lagi kebuntuan di fikirannya. Hatinya berbisik.
Kalau nak diikutkan, aku juga bukanlah seorang yang baik dan
sempurna dalam semua hal. Aku juga sama seperti dengan manusia-
manusia yang lain,bila terantuk baru tengadah. Walau apa sekalipun aku
mesti memaafkannya. Kerana tidaklah mukmin seseorang itu jika tidak
memaafkan saudaranya. Lantaran terkenangkan kata-kata itulah aku
bersedia maafkan segala kesalahanmu terhadapku selama ini. Semua itu
aku lakukan hanyalah kerana kepentingan kita berdua juga. Biarlah kita
berdua tidak menanggung dosa hanya kerana keangkuhan diri sendiri.
Semoga kita tidak dipersoalkan lagi dihadapan-Nya. Iaitu di sebuah
mahkamah akhirat yang maha adil lagi saksama. Kata hatinya berulang
kali.
Selesai perkara pertama, timbul pula perkara yang kedua. Ia adalah
sesuatu yang lebih merusingkan benak Azlan. Kartika akan berangkat
pulang ke kampung halamannya esok pagi. Disebabkan perkara itulah dia
mencari alasan agar dia dapat menemui Kartika pada petang itu juga.
Walaupun dia baru mengenali anak gadis dari Indonesia itu walaupun
belum sampai setahun namun hatinya benar-benar telah tertawan. Dia telah
jatuh hati. Kerana bantuan dan bimbingan daripada Kartika lah dia
bertambah gigih dan barjanji untuk menjadi seorang manusia yang
berguna kepada agama,bangsa dan tanahair. Bagaimanalah rasanya hidup
ini tanpa Kartika? Dia bertanya dengan dirinya sendiri. Wajarkah aku
membiarkan dia pergi tanpa mendapatkan janji yang benar-benar
menyakinkan? Masa semakin singkat dan ianya tidak akan berhenti
mahupun mengundur. Aku mesti menemuinya sekali lagi sebelum dia
berangkat pulang. Aku mesti menyatakan apa yang sedang aku rasakan
selama ini. Walaupun sebelum itu mereka telah sama-sama berjanji namun
pengakuan kali terakhir ini amat perlu diperolehi daripada Kartika.
Tanpa membuangkan masa dia menahan sebuah teksi yang secara
kebetulan melalui jalan keluar dari kolej itu untuk terus ke rumah Ibu Yuyi
bertemu dengan Kartika.
Ding dong! ding dong ! Azlan menekan loceng yang terlekap kuat
di dinding berhampiran dengan pintu masuk ke rumah itu. Bererapa saat
kemudian, pintu rumah itu dibuka dari dalam. Mereka berpandangan.
“ Selamat sore Bu Yuyi,”
“ Selamat sore Azlan, tentu mahu ketemu dengan Kartika kalau
tidak masakan mahu ke mari dengan percuma,”
“ Benar Bu, apa dia ada di dalam?”
“ Ada. Masuklah dulu, kan enggak enak menunggu di luar dalam
kesejukan begini, nanti ibu dapatkan dia mungkin dia repot mengemaskan
barang-barangnya yang akan dibawa pulang, sebentar ya,” ujar Ibu Yuyi
berlenggang menuju ke bilik Kartika. Azlan tidak duduk di sofa berwarna
kebiruan itu. Dia hanya berdiri. Matanya tertumpu kepada beberapa keping
gambar yang tergantung di dinding. Wajah-wajah ceria paman Kustino dan
Ibu Yuyi semasa zaman muda jelas terpancar di gambar-gambar yang
tergantung itu. Azlan terkejut apabila dia disapa dari belakang.
“ Sudah lama menunggu Azlan?”
“ Baru beberapa minit,”
“ Mahu ngomong diluar atau di sini saja?”
“ Rasanya lebih senang dan bebas di luar sana,”
“ Kalau begitu,yok kita ke sana,”
“Maafkan aku kerana membantutkan persiapan akhirmu di sore-
sore begini,”
“Enggak apa-apa sih,semuanya sudah beres,”
“Ika, hari ini adalah hari yang terakhir kita bisa begini. Besok
engkau akan tiada lagi di sisiku. Berat benar rasa hatiku untuk melepaskan
engkau berangkat pergi, tetapi engkau juga ada tanggungjawab yang mesti
disempurnakan.Kerana itulah aku tidak bisa menghalangnya. Sebelum
engkau pulang, sekali lagi aku mahu menyatakan bahawa tanpamu aku
akan kesepian dan dengan ketiadaanmu akan longlailah hidupku jadinya.
Ika, aku benar-benar menyayangimu. Apakah engkau juga begitu?
“ Apakah engkau masih sangsi dengan kata-kataku tempoh hari
Azlan,?”
“ Bukan sangsi malah aku tidak pernah meraguimu walaupun
sedikit, tetapi aku mahukan engkau menyebutnya buat kali yang terakhir
untuk aku jadikan segalanya itu sebagai penawar yang dapat
menyembuhkan aku di kala sepi menyelubungiku dengan izin-Nya,”pinta
Azlan sambil menggenggam erat tangan Kartika.
“Azlan, aku takut untuk menyebut perkataan cinta di depanmu.
Kerana cinta yang agung dan mulia hanyalah untuk Dia yang Maha Besar.
Memadailah jika aku katakan bahawa aku juga amat mengasihimu
sepenuh jiwa dan ragaku.Tanpamu aku juga akan sengsara dan akan
menanggung derita selamanya. Percayalah Azlan,” ujar Kartika dengan
linangan airmata. Genggaman tangan mereka semakin erat
Ibu Yuyi memerhatikan gelagat mereka itu dengan perasaan yang
sayu. Dia sedar bahawa antara mereka telah tumbuh perasaan cinta
mencintai.Dan kerana cinta dan kasihlah dia telah sanggup untuk
meninggalkan keluarganya di kampung. Dia lebih rela untuk bersama-
sama Kustino berhijrah ke Australia walaupun mendapat tentangan yang
hebat daripada keluarganya satu masa dulu. Moga-moga apa yang mereka
berdua impikan itu akan tercapai. Pintanya di dalam hati.
“ Untuk kalian, ini ibu bawakan kopi panas, minumlah untuk
menghilangkan kesejukan,”
“ Terima kasih,”
“ Besok bolehlah kita sama-sama ke Adelaide Airport menghantar
Kartika,”
“ Tapi saya enggak bisa berbuat demikian kerana terpaksa
menghadirkan diri di Concrete Association of South Australia. Ada
seminar. Dan kerana itulah saya ke mari untuk memaklumkan agar Kartika
tidak terkejut dengan ketiadaan saya nanti, ” kata Azlan sambil melirikkan
matanya ke arah Kartika.
“Apakah ibu tidak ingin pulang ke sana ?” Tanya Azlan. Ibu Yuyi
hanya tersenyum mendengar pertanyaan itu.
“ Tentu sekali ibu kepingin untuk pulang, tetapi masanya belum
tiba. Ibu sebenarnya sedang menunggu,” balas Ibu Yuyi dengan senyuman
yang penuh bererti……..
“ Menunggu Bu? ” Soal Azlan.
“ Ya, sedang menunggu, menunggu saat-saat bahagia yang kalian
impikan. Sekiranya itu terjadi, insyaallah ibu dan paman akan pulang
untuk meraikannya. Itu pun jika kami dijemput,” ujarnya dengan ketawa
kecil tetapi penuh harapan.
“ Moga saat-saat yang ibu nantikan itu dipercepatkan Allah,” balas
Azlan yang faham dengan maksud kata-kata Ibu Yuyi itu.
“ Sudah lama ngomong-ngomong diluar ibu khuatir kalian akan
menjadi beku, masuklah ke dalam sana, kerana ibu juga telah menyediakan
makanan untuk kita sama-sama menikmatinya. Paman juga akan pulang
sebentar lagi. Ibu cuma menyediakan masakan kampung dan anggaplah ia
sebagai jamuan malam perpisahan yang sementara buat kalian. Yok kita ke
dalam,” arah Ibu Yuyi. Azlan dan Kartika berpandangan dan sejurus itu
mereka membuntuti ibu Yuyi masuk ke dalam rumah. Setengah jam
kemudian paman Kustino pulang dari tugasnya. Dia kelihatan gembira
dengan kedatangan Azlan. Pelbagai perkara telah mereka bualkan. Dan
ada kalanya ruang tamu itu menjadi gamat dengan hilai tawa mereka
berempat.
Itulah kali pertama Azlan berbual panjang dengan ibu Yuyi dan
paman Kustino. Mereka begitu mesra dengannya malam itu. Dan sebelum
pulang Azlan dan Kartika telah bertukar-tukar alamat. Azlan membelek-
belek alamat yang diberikan oleh Kartika kepadanya yang tertulis:
Kartika Panelo Badjuri,
No.23, Gang Baiduri 5,
Kota Madya Pontianak,Kalimantan Barat,
Republik Indonesia.
Dan e-mailnya pula:
kartika panelo@ hotmail.com.
Sementara menunggu teksi yang dipanggil melalui telefon tiba,
Azlan mengeluarkan sebuah bungkusan dari beg sandangnya.
“ Tiada apa lagi yang hendak aku katakan di saat-saat begini.
Namun aku ada sesuatu untukmu. Terimalah ini sebagai tanda kasih kita.
Dan yang selebihnya sama-samalah kita berharap agar ianya menjadi satu
kenyataan,” kata Azlan sambil menghulurkan bungkusan itu kepada
Kartika di luar pintu tanpa disaksikan oleh paman Kustino dan ibu Yuyi
yang sibuk mengemaskan meja makan.
“ Terima kasih Azlan,” ucap Kartika tatkala menerima bungkusan
itu. Hatinya menjadi hiba. Sekali lagi airmatanya berlinangan dan tanpa
disedari, dia telah pun berada di dalam pelukan Azlan.
“ Usahlah menangis lagi. Kerana tangisanmu akan menambahkan
lagi sayu hatiku,” ucap Azlan sambil mengesat airmata yang minitis di pipi
Kartika.
“ Aku pergi dulu,” pintanya lagi apabila teksi telah sampai di
perkarangan rumah itu. Dia pulang dengan pernyataan cinta yang
menyakinkan.
* * * * * * *
Keadaan di Central Arcade tengah hari itu begitu sesak dengan
orang ramai. Inilah tempat yang banyak menjual barang-barang kraf
tangan yang beraneka jenis untuk dijadikan sebagai cenderahati dari hasil
kerja orang tempatan. Antara barangan yang menjadi tarikan kepada
pembeli yang terdiri daripada kalangan pelancong ialah boomerang, kulit
kambing biri-biri, kulit kangaroo dan barangan-barangan lain seperti beg dan tali pinggang yang diperbuat daripada kulit buaya dan ular serta
pakaian berupa baju-t yang berlambangkan peta dan corak kebudayaan
benua tersebut. Memandangkan hari untuk kembali ke tanah air sudah
hampir tiba, Azlan dan Khalid turut membeli barang-barang yang
difikirkan sesuai untuk diberikan kepada sanak saudara mereka di
kampung nanti.
Tiga hari sebelum pulang, Azlan banyak menghabiskan masanya di
cyber café. Tiada apa lagi yang hendak difikirkan. Di situ dia tidak jemu-
jemu meneliti baris demi baris perkataan dari mesej-mesej yang
diterimanya. Kadang-kadang dia tersenyum sendiri. Dan adakalanya dia
kelihatan sedih. Begitulah dia setiapkali ke Cyber Cafe di Hindley Street.
Sudah lima e-mail yang diterima sejak Kartika pulang. Dan ke semuanya
telah dibalas.Kerana itulah sahaja penghiburnya akhir-akhir ini. Lagi dekat
dengan harinya, terasa bertambah lambat pula masa berlalu. Azlan sudah
tidak sabar-sabar untuk pulang.
Dia klik semula inbox hotmail di paparan komputer untuk e-mail
yang kelima. Kali ini, Isi kandungannya lebih ceria dari selalu. Semuanya
penuh dengan kegembiraan. Kartika ditawarkan sebagai seorang pensyarah
bahasa Inggeris di Politeknik Negeri Pontianak, Kalimantan Barat.Itulah
perkara yang menggembirakannya. Azlan turut gembira dengan berita itu.
Setelah membalas e-mail dan mengucapkan tahniah kepada Kartika, Azlan
terus melayari internet dengan menaipkan Indonesia Tourism Board.
Berbagai-bagai artikel dan maklumat yang boleh diperolehi di laman web
tersebut.Yang lebih diutamakan ialah tentang Kalimantan Barat. Dia
berharap akan menemui sesuatu yang menarik tentang Kota Pontianak itu.
Kota yang dikaitkan dengan Kuntilanak pada zaman silamnya.
Daripada maklumat yang diperolehi, Kota Pontianak ialah sebuah
Ibu Negeri bagi Kalimantan Barat, Indonesia dengan jumlah penduduk
yang ramai sekitar 4.7 juta orang dengan keluasan tanahnya 146,760 km
persegi. Penduduk-penduduknya terdiri daripada 56.3 peratus beragama
Islam,30 peratus beragama Kristian dan selebihnya daripada penganut-
penganut Buddha dan Hindu. Hasil utama negeri itu diperolehi daripada
sektor pertanian,dengan penanaman padi,kelapa sawit,pembalakan dan
perlombongan seperti emas,perak,platinum,tembaga dan arang batu.
Penangkapan ikan tidak hanya terhad di Laut Jawa dan sempadanannya
malah meliputi sungai-sungai seperti Sungai Kapuas, Landak, Sambas,
Melawi dan Pawan. Selain daripada penternakkan lembu,kambing dan
binatang-binatang yang lain, Kalimantan Barat juga terkenal dengan hasil
kerja kraf tangan yang diperbuat daripada rotan, tembikar penenunan dan
ukiran-ukiran kayu yang halus.
Kalimantan Barat bersempadan dengan Malaysia Timur iaitu
Negeri Sarawak. Wilayah itu juga dikukuhkan lagi dengan adanya paku
bumi seperti Gunung Niut,Lawit dan Saran. Semuanya mempunyai fungsi
yang tersendiri begitu juga dengan tasik-tasiknya seperti Tasik Luar,
Belida dan Sentarum. Keunikan dan kecantikan flora seperti orkid yang
pelbagai,palma, pokok meranti dan sebagainya begitu menawan hati
terutamanya bagi pencinta-pencinta alam dengan kehidupan fauna yang
menakjubkan seperti orang utan, beruang, rusa dan spesis-spesis lain.
Semua itu memang menarik untuk diketahui dengan lebih lanjut.
Azlan seperti sudah berada di Kota Pontianak bersama-sama
Kartika menjelajahi segenap pelosok negeri itu. Negeri yang asing
baginya. Internetlah cara terbaik untuk dia berhibur dan berhubung dengan
Kartika di akhir ini.
Musim beralih silih berganti mengikut pusingannya.Kalau dulu dia
datang pada musim bunga kini dia akan meninggalkan negara kanggaroo
itu pada musim bunga juga. Akan tinggallah segala-galanya. Kecantikan
permandangan di musim bunga, musim gugur , keadaan musim panas yang
melampau dan musim sejuk yang merimaskan di benua itu. Akan
tersimpan semua kenangan dan akan terpahatlah di hati segala ilmu yang
telah dikutip selama ini untuk dibawa pulang. Dalam semua itu terdapat
pula di antaranya kenangan pahit dan manis yang akan terus menjadi
sesuatu yang berharga sebagai contoh dan teladan buat dirinya sendiri dan
khusus buat generasi bangsanya yang akan datang.
Pihak universiti telah pun mengadakan Conferal Ceremony untuk
mereka. Pengajian mereka sudah berakhir. Kesemuanya telah
berjaya dengan cemerlang. Gambar masing-masing yang lengkap berjubah
telah diperolehi untuk disimpan sebagai memori. Kerana selepas itu, entah
bila mereka akan kembali lagi atau mungkin itu adalah kali terakhir
mereka menjejakkan kaki di bumi Australia. Semuanya adalah sesuatu
yang tidak pasti.Satu kemungkinan yang boleh terjadi atau sebaliknya.
Walau bagaimanapun, tarikh untuk penerbangan pulang telah diketahui.
Surat pemberitahuan kepada ibu bapa dan poskad kepada kawan-
kawannya seperti Idrus dan Yahya telah dikirimkan oleh Azlan. Kartika
juga telah diberitahu melalui e-mail. Dia hanya menunggu saat-saat untuk
berlepas. Kalau dulu kedatangan mereka hanya disambut oleh pensyarah-
pensyarah dari University of South Australia sahaja, tetapi pada hari itu
bilangannya telah bertambah dengan adanya kenalan-kenalan yang telah
mereka kenali semasa sama-sama belajar di situ.
Dalam kesibukan bersalaman dengan pensyarah-pensyarahnya
Azlan di kejutkan dengan kedatangan Sheryn Ann Mewette. Tanpa
disedari oleh Azlan, Sheryn menerpa ke arahnya dengan satu ciuman di
pipi kanan. Semua mata tertumpu kepada mereka dan selepas itu mata-
mata di lapangan terbang itu beralih pula kepada babak sedih antara
keduanya.
“ Azlan, saya tetap akan merinduimu, dan sebagai kenangan ketika
bersamamu, ini ada hadiah daripadaku dan hendaklah dibuka apabila
engkau telah berada di Malaysia,”
“ Terima kasih kerana sudi datang,”
“ Adakah kita dapat bertemu lagi?”
“ Semua itu terserah kepada ketentuan Sheryn,”
“Sekurang-kurangnya aku sudah memahami apa itu takdir dan
ketentuan,” Sheryn sekali lagi memeluk Azlan dengan ciumannya yang
terakhir. Azlan bergerak masuk ke balai berlepas dengan melambaikan
tangan kepada semua.
“ Hari demi hari usia kita akan terus meningkat daripada muda
kepada tua. Minda kita juga akan berkembang pesat selari dengan
perubahan itu. Apa yang dibuat dan dilihat kebanyakannya adalah berbeza
daripada yang sudah. Persekitaran turut berubah. Manusia semakin matang
dan dari-Nyalah kita mengenal erti kehidupan. Daripada kurang, sesuatu
itu akan menjadi banyak, daripada yang banyak sepatutnya ia akan
menjadi berlebihan. Itulah yang terjadi kepada penimba ilmu dari masa ke
semasa. Oleh yang demikian janganlah disiakan ilmu yang telah diperolehi
tanpa dikembangkan kepada yang memerlukan. Memberi ilmu yang
berfaedah tidak sama dengan memberikan sesuatu berupa barangan kepada
seseorang. Barangan akan habis dan akan berkurangan. Tetapi ilmu tidak
akan habis walaupun dicurahkan kesemuanya,” kata Dr. Norman Thomson
mengakhiri ucapannya di majlis perpisahan mereka yang sederhana empat
malam yang lalu.
Azlan membetulkan kedudukannya yang kurang selesa ketika
pesawat sedang membelah awan yang tebal. Gegarannya kadangkala
mengecutkan hatinya. Perjalanannya masih jauh. Dan untuk
menghilangkan rasa bosan dia membuka kotak hadiah yang diberikan oleh
Sheryn tadi. Dia tidak sabar untuk mengetahui apa yang terdapat di
dalamnya. Sebaik dibuka, Azlan sekali lagi tersentuh dengan beberapa
keping gambar yang dirakamkan ketika mereka hidup bersama dahulu.
Dalam kesempatan mengimbau saat-saat manis bersama gadis itu. Dia
cepat-cepat pula menggantikan semua kenangan itu dengan bayangan
wajah Kartika yang sedang menanti kehadirannya. Kemudian, dia terlelap
sehinggalah pesawat MH 60 Boeng 747 mendarat di Lapangan Terbang
Sultan Abdul Aziz, Subang. Jam 9.00 malam waktu Malaysia.
* * *
“ Dah tahu dekat mana nak bertugas lepas ini Lan?” Tanya abang
Omar ketika sedang memandu kereta Fiat 132 yang digemarinya untuk
membawa mereka balik ke kampung.
“Dah,” jawab Azlan singkat sambil memandang keluar
menyaksikan pembangunan yang pesat di sekelilingnya.
“ Dekat mana?” Soal abang Omar ingin tahu.
“ Kalau ikut surat tu, saya kena ke Sarawak,” balas Azlan.
“ Sarawak?” Soalnya lagi agak terkejut.
“ Di Bandaraya Kuching, kenapa bang?” Tanya Azlan apabila
mendapat reaksi yang sebegitu daripada abangnya.
“ Hai nampaknya, makin jauhlah perjalanan kau Lan,” sahut abang Omar menggelengkan kepalanya.
“ Nak buat macamana,kita nak bekerja, terpaksalah ikut arahan,”
ujar Azlan sambil melekatkan api rokoknya diikuti oleh abang Omar.
“ Kawan-kawan yang lain?” Tanya abangnya lagi.
“ Ke Sarawak cuma saya seorang, yang lain-lain tu ada yang di
Sungai Petani,Alor Setar, Melaka dan di Ibu Pejabat Unit Kurikulum,”
terang Azlan.
“ Kenapa kakak tak ikut bang? Azlan mengubah topik perbualan.
“ Kalau dia ikut si Azwan pun nak ikut juga, dekat mana kita nak
letakkan barang-barang engkau yang banyak tu? Silap-silap kena sewa
teksi pula,” kata abang Omar sambil memberhentikan keretanya di
Restoran Sedia Menanti untuk membasahkan tekaknya yang sudah kering.
“ Ya tak ya lah bang, tak perasan saya,” balas Azlan pula sambil
menoleh pada tiga kotak buku yang diletakkan di atas tempat duduk
belakang kereta itu.
Kring!Kring!Kring! Abang Omar cepat –cepat mengeluarkan
telefon bimbit dari dalam kocek seluarnya.
“ Hello, mualaikum salam. Kami dah sampai dekat Ipoh ni , dalam
sejam lagi sampai lah…,” kata abang Omar sambil mengangguk kepala
mendengar pesanan daripada Juriah isterinya.
“ Mak ke bang?” Soal Azlan.
“ Bukan. Kak Juriah engkau,” katanya sambil menghirup teh tarik
yang dipesan.
“ Dia orang sedang masak untuk kita tengah hari nanti. Mungkin
nak menjamu kau sampai muntah lah tu ….,”gurau abang Omar.
“ Muntah pun tak apa bang asalkan dapat makan sambal belacan
dan gulai talang masakan mak tu,” kata Azlan menelan air liur
mengenangkan semua itu.
Perjalanan dari Ipoh ke Taiping melalui Lebuh Raya Utara Selatan
mengambil masa selama empat puluh lima minit sahaja. Dan setengah jam
kemudian mereka telah pun sampai di depan halaman rumah.
Azlan meluru mendapatkan emaknya yang sedang menunggu di
kerusi panjang di bawah rumah dua tingkat itu. Tidak ada ayat yang
terucap dari mulutnya. Tubuh ibunya dipeluk dan dicium. Mereka
berpelukan melepaskan rindu.
“ Selamat…anak aku,” kata ibunya sambil mencium pipi anaknya
itu dengan lelehan airmata gembira.
* * *
Hari ketiga di kampung, Azlan berjalan-jalan di Bandar Taiping. Bandar yang terkenal dengan hujannya. Selepas meletakkan kereta berhampiran dengan pasar ikan, Azlan melangkah masuk ke kedai makanan Islam, Bismillah Restoran. Ketika duduk bersendirian di sebuah meja, Azlan tiba-tiba disapa oleh Cikgu Wan. Seorang guru disiplin yang paling ditakuti di sekolahnya dulu. Sebagai seorang pengawas sekolah Azlan begitu mesra dengan Cikgu Wan. Sudah hampir enam tahun mereka tidak pernah berjumpa. Sehinggalah pada hari itu.
“ Apa khabar engkau sekarang?”
“ Baik saja Cikgu,”
“ Katanya baru balik dari Australia?”
“ Baru tiga hari Cikgu, tapi bagaimana Cikgu dapat tahu?”
“ Semalam saya terserempak dengan Idrus, dialah yang memberitahu saya. Apa pun baguslah kerana engkau dah berjaya,”
“ Itupun hasil daripada dorongan Cikgu juga,”
“ Oh ya, petang nanti pihak Persatuan Alumni sekolah akan mengadakan perjumpaan di Dewan Muzaffar Shah jam 3.00. Saya ingat ada baiknya engkau dan Idrus turut sama,boleh juga berjumpa dengan kawan-kawan lama,”
“ Insyaallah Cikgu ,”
“Baiklah Azlan, saya minta diri dulu,banyak lagi hal yang perlu saya selesaikan,” ucap Cikgu Wan sambil bersalaman dengan Azlan dan berlalu pergi setelah menghabiskan minuman tongkat Ali yang digemarinya.
Setelah membayar harga minuman dan roti canai kosong di kaunter Azlan pulang mendapatkan Idrus yang pada ketika itu sedang membersihkan motosikalnya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk ke majlis tersebut petang nanti.
Petang itu walaupun hari nampak mendung dan hujan telah mulai turun namun hasrat mereka diteruskan juga. Sampai di perkarangan sekolah, hujan turun mencurah dengan lebatnya. Tempat letak kereta telah dipenuh oleh kenderaan yang lain. Azlan meletakkan kereta yang dipinjam daripada abangnya lebih kurang lima ratus meter dari pintu masuk dewan. Mereka menunggu di dalam kereta tersebut sehinggalah cermin tingkap kereta itu diketuk dari luar.Dua orang perempuan sedang menanti untuk memayungkan mereka di tengah-tengah hujan yang lebat itu.Tanpa membuangkan masa Idrus bergegas keluar dikuti oleh Azlan. Mereka dipayungi oleh dua orang anak gadis. Di dalam lebat hujan itu, dia langsung tidak memandang ke arah gadis yang memayunginya sehinggalah sampai di pintu masuk dewan.
“ Eh! Engkau Azlan?”
“ Engkau Siti Astella?”
Masing-masing terkejut dengan insiden yang tidak terjangka itu.
“ Masyaallah, sorrylah saya tak perasan tadi,”
“ Tak apa, kami pun tak sangka juga,” kata Siti Astella sambil memandang ke arah Cikgu Hasnah. Idrus mengikut Cikgu Hasnah masuk ke dalam dewan. Sementara Azlan dan Siti Astella mencari tempat di bahagian belakang jauh dari majlis yang sedang dijalankan.Mereka duduk di kerusi tanpa diganggu oleh sesiapa.
“ Bila pulang Azlan?”
“ Pulang dari Mana?”
“ Janganlah pura-pura buat tak tahu,”
“ Kalau pulang dari Taiping lebih kurang pukul 11.00 pagi tadi, makan roti canai,”
“ Bukan itu, maksud Siti,”
“ Habis tu?”
“ Dari seberang laut!”
“ Oh, baru tiga hari,”jawab Azlan pendek sambil memandang ke arah pentas jauh di hadapan.
“ Dah lama mengajar dekat sini?”
“ Baru setahun,”
“ Baguslah dekat dengan kampung,”
“ Dah memang pilihan Siti di sini,”
“ Kenapa tak pergi jauh sikit dari kampung?”
“ Dekat sini lebih selesa, dan kalau kat Bandar tu susahlah sikit. Banyak pula yang tak baik daripada yang baik,”
“ Kan banyak berjalan banyak pula pengalaman?”
“ Itu memang benar, tetapi kalau banyak berjalan banyak pula yang tak baiknya, yang menyedihkan lebih banyak daripada yang menyenangkan baiklah kerja dekat kampung saja, boleh juga tengok-tengok mak bapa yang sudah tua,”
“ Tapi, apa pula yang sedih dan apa pula yang tak baiknya di bandar tu?”
“ Tak adalah, Siti sekadar membuat andaian sahaja, tak ada apa-apa,”
“ Kenapa nak berandai- andaian pula? Kalau ianya bersifat positif tak apa, tapi apa akan jadi kalau andaian itu mengakibatkan perkara-perkara yang negatif ? Aku rasa sebab itulah sikap prejudis menebal dalam diri kita dan akhirnya menyalahkan keadaan persekitaran atas kesilapan yang telah kita lakukan. Dan ianya sungguh tidak adil, bukan begitu ?” Soal Azlan cuba mencari jawapan daripada Siti Astella yang hanya memandang ke lantai.
“ Memang benar kata-katamu itu Azlan,” Siti Astella mengiakan.
“ Ada engkau terima surat dari Siti tempuh hari?”
“ Ada,”
“ Kenapa tak balas?”
“ Tak perlu balas sebab aku dah ada di sini,”
“ Tak mengapalah Lan, tapi lepas ni engkau kena bertugas dekat mana?”
“ Di Sarawak,”
“ Jauhnya,”
“ Lagi jauh lagi baik, boleh tengok negeri orang, dekat sini pun tiada apa yang nak ditunggu. Biarlah jauh tetapi dekat daripada dekat tetapi tak kesampaian,”
“ Aku faham dengan apa yang engkau maksudkan tapi berilah aku peluang untuk menebus dosaku terhadapmu,”
“ Dosa ? aku pun pernah buat dosa. Dan kerana takutkan dosa-dosa itulah aku anggap hubungan kita yang dulu itu, hanya seperti mimpi yang akan berakhir apabila kita terkejut dari jaga,”
Siti Astella sudah mula mendiamkan diri. Dia tidak berkata apa-apa lagi. Dia cuma mendengar luahan yang sedang diucapkan oleh Azlan. Dia sedar harapannya akan musnah.
“ Sebenarnya telah lama cerita kita aku simpan dalam lipatan sejarah. Dan aku rasa tidak akan ada pengkaji sejarah yang akan menyingkapnya kembali. Jadi usahlah diungkit-ungkit.Anggaplah semua itu tidak pernah terjadi,”
“ Aku cuma berharap, tetapi kalau semua itu tidak berhasil, maka aku tidak punya daya dan upaya. Walau bagaimanapun aku senang jika engkau telah memaafkan diriku.”
Tanpa disedar-sedar majlis telah pun berakhir. Lama benar mereka berbual hingga tidak sedar bahawa bahawa Idrus sedang menunggu di luar untuk ke tempat jamuan.
“ Baiklah Siti, nanti kalau umur panjang kita akan berbual lagi. Lupakan yang lepas-lepas itu. Marilah kita ke tempat minum nanti apa pula kata kawan-kawan yang lain,” pinta Azlan. Mereka melangkah longlai mendapatkan Idrus. Selepas minum Azlan memohon diri untuk pulang kerana hujan telah mulai reda. Siti Astella hanya memandang tanpa bicara. Dia hanya mampu mengukir senyuman paksa. Harapan nya telah berkecai sebagaimana berkecainya hati Azlan dahulu.

No comments:
Post a Comment