B AB - 1. IMBAUAN SILAM
Sudah beberapakali dia membelek-belek dan meneliti sehelai demi sehelai kertas catatan yang telah disiapkan dua tiga hari yang lalu. Setelah itu ,sebatang pensil dan sebuah buku tulis kosong yang mempunyai ketebalan tiga ratus muka dengan tiga puluh enam garisan diambil lalu diletakkan dihadapannya.
“ Buat apa tu ? ” Tanya Zaki sambil berdiri dengan lagaknya seperti seorang mandor yang sedang mengawasi perkerja di ladang kelapa sawit.
“ Nak menulislah ni ! ” Dia menjawab pendek sambil menutup buku dengan membiarkan pensil steadler belang kuning itu tersepit di dalamnya.
“ Tulis apa pulak ? ” Soal Zaki lagi.
“ Novel .” Dia menjawab soalan kedua dari Zaki sambil menyandarkan badan di kerusi.
“ Novel pulak! Bukan buku teknikal? ” Zaki menambah bilangan soalannya.
“ Aku nak cuba menulis novel pulak. Aku sudah tidak ada idea lagi nak tulis buku-buku teknikal. Kalau ada pun samar-samar saja. Kalau novel, rasa-rasanya sudah ada.” Dia menjelaskan kepada Zaki dengan menunjukkan kertas catatannya itu.
Kring ! Kring !
Perbualan mereka terhenti setakat itu kerana Zaki bergegas ke penjuru bilik tenaga pengajar untuk menjawab panggilan telefon yang berdering kemudiannya hilang entah ke mana.
Dia menarik nafas panjang. Jari telunjuk dan ibu jari tangan kirinya mengurut-urut di kedua keningnya.Dia seperti kesal kerana tidak dapat mencoret walaupun sebaris ayat sejak dari mula dia menghempaskan punggungnya dikerusi itu. Sudah berkali-kali dia cuba dengan sedaya upaya untuk menulis namun semua usahanya itu terganggu . Tidak menjadi. Ada sahaja di antara kawan-kawannya yang datang berbual. Sedangkan itu lah masa terluang buatnya jika tidak terlibat dengan kuliah .
Mereka tidak boleh dipersalahkan. Mereka tidak pernah merasa betapa seksanya, betapa peritnya mencari idea untuk bahan-bahan penulisan. Mereka juga tidak pernah terlibat secara langsung dengan penulisan. Namun merekalah juga penyuntik semangat kepadanya selama ini. Tanpa komen dan cadangan daripada mereka, mungkin dua buah buku teknikal yang telah terbit sebelum ini tidak akan terhasil. Dia merungut sendirian. Di dalam hatinya, dia juga berterima kasih kepada kawan-kawannya itu.
Matahari yang tadinya bersinar garang telah lenyap di ufuk barat. Dia mendongak ke arah jam yang melekat di dinding kamar tidurnya. Sudah jam sembilan. Dia sekali lagi memerhatikan kertas-kertas catatan yang dilihatnya pada siang tadi. Inilah ketikanya yang sesuai, bisiknya di dalam hati. Lalu memulakan tulisannya tanpa gangguan.
Azlan menongkat motor vespa AG 3677 dengan kemas di bahu jalan. Sambil menarik nafas panjang, sebatang rokok dinyalakan di antara kedua bibirnya. Asap yang disedut itu dihembusnya perlahan-lahan dari mulutnya lalu hilang bersama tiupan angin yang menggegarkan dedaun kayu di sekelilingnya.
Kalau dulu Bukit Tok Keramat cukup terkenal. Di situlah tempat pilihan bagi orang-orang yang ingin membayar nazar atau bersedekah. Boleh dikatakan yang datang itu bukan sekadar orang-orang yang berdekatan malah terdapat juga mereka dari cerok - cerok bandar yang lain. Kononnya di tempat inilah Tok Keramat Serban Hijau pernah bertapa pada satu ketika dahulu. Azlan menyelingkap lagi sejarah silam dari kotak ingatannya. Cerita-cerita yang telah lama dipungut dari orang-orang tua di kampungnya semasa berbual-bual di hari kenduri kahwin.
Selalunya hidangan pulut kuning dengan daging lembu atau daging kambing adalah merupakan hidangan kemestian. Budak-budak kampung sudah terbiasa dengan senario seperti itu. Mereka seperti terpanggil untuk ke situ sekiranya ada kenduri. Selain dari mendapat makanan, kalau ada rezeki dapat pula duit untuk berbelanja ke sekolah. Kalau kenduri diadakan Haji Nordin tidak pernah dilupakan.Dia seorang yang dihormati kerana ilmunya.Dia seorang imam masjid dan juga guru Quran di kampung itu. Dialah yang akan dipanggil untuk membaca doa selamat atau doa tolak bala.
Deruman bas merah tua yang kadangkala semput-semput semasa mendaki bukit itu memecahkan suasana. Azlan menoleh ke arah bunyi enjin bas yang kasar seakan mahu mencakar permukaan tar yang pecah-pecah itu. Jalan di situ sudah tidak berturap semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Matanya melirik panjang ke arah bas yang melimpasi belahan dua bukit berbatu di kiri kanan jalan. Dia melihat kalau-kalau ada penumpang yang membaling duit syiling di hadapan pondok singgahan yang tiada berdinding di hadapannya. Tidak ada lagi aksi seperti dulu. Tidak ada lagi yang berkeinginan untuk mencampakkan duit syiling di situ. Benarlah masa telah berubah. Tidak seperti di zaman kecilnya dahulu. Kanak-kanak yang berjalan kaki atau berbasikal untuk ke sekolah akan menjadikan Bukit Tok Keramat sebagai tempat singgahan. Kadang-kadang mereka akan berebut-rebut apabila ada penumpang yang membaling syiling dari bas dan kereta. Dia memerhatikan gelagat kanak-kanak itu. Dia tersenyum sendirian kerana di antara yang ramai itu, dia seakan-akan mengenali pula seorang budak yang bertubuh kurus, tinggi dan berambut kerinting seperti wajahnya.Dia tersenyum lagi.
Tiba-tiba, lamunannya yang terlayang jauh beberapa minit itu terhenti lagi dengan bunyi derapan dahan kayu patah yang benar-benar terjatuh tidak beberapa jauh dari dia berdiri. Dia terloncat seperti seorang pendekar. Pendekar dari persilatan Kuntau Jawa lagaknya.
Azlan mengurut-urut dadanya. Mujur dahan itu tidak menghempap vespa biru bapanya yang masih berkilat dan baru pula dicat seminggu yang lalu. Kalau itu terjadi, sudah tentulah bapanya dengan secara spontan pula akan menunjukkan sifat kesingaannya. Selain dari bersifat garang, bapanya juga cukup terkenal dengan ketegasannya di dalam apa juga perkara. Cakap-cakapnya kadangkala penuh mengandungi erti. Idea-idea yang diberikan di dalam sesuatu perbincangan di kampung itu selalunya payah untuk disangkal oleh sesiapa. Dia seorang pejuang kampung.Apa juga masalah dapat diselesaikan dengan baik. Dia juga bolehlah dianggap sebagai bapa pembangunan di kampung itu. Sebagai ketua kampung dia dikenali ramai. Daripada budak pejabat sehinggalah kepada Pegawai Daerah semua mengenalinya.
Azlan seperti sedang mengkaji sifat-sifat yang terdapat pada bapanya sama ada yang baik mahupun yang tidak digemarinya.
“ Ingat, sekiranya kita hendak berpergian atau berhijrah ke sesuatu tempat dengan berpakaian biru, pastikan pula bila pulang warna baju yang akan dipakai bukan lagi dengan warna yang sama.Warna yang dulu perlu ditukar dengan warna yang lebih menarik.” Kata-kata itu senantiasa terngiang-ngiang di telinga dan seperti melekat pula di dalam ingatannya. Telah diselami dan dihayati betapa ucapan ringkas dari bapanya yang mencecah usia enam puluh tahun itu cukup bermakna dan mengandungi seribu erti.
Akan aku jadikan panduan di hari mendatang. Bisik hati kecilnya. Tengkok vespa ditolak ke kiri dan dikunci sementara suis di bawah sisi tempat duduk pula dicabut dan dimasukkan ke dalam
kocek seluar hitamnya. Dia melangkah perlahan ke arah sebatang pokok angsana sebesar pemeluk tidak jauh dari tempatnya berdiri sebentar tadi. Diperhatikan tektur pada kulit pokok tersebut. Dia masih ingat. Di situlah dia mengeluarkan sebilah pisau lalu mengukirkan nama mereka berdua……..Azlan + Astela. Luka akibat torehan pada kulitnya itu telah sembuh, namun luka di hatiku belum lagi terubat hingga kini.Keluh Azlan sendiri.
Dulu Siti Astela adalah pendorong baginya. Dialah penguat semangat untuk sama-sama ke menara gading selepas menamatkan pelajaran menengah. Dialah segalanya. Tiada yang lain. Gadis manis berkulit putih kuning dengan rambut ikal itu selalu sahaja membayanginya ketika dia diselimuti kesedihan. Rekahan dua ulas bibirnya yang merah itu sudah cukup untuk mententeramkan jiwa yang kusut. Kini semua itu sudah tiada. Dia sudah pergi. Pergi dengan meninggalkan secebis parut kelukaan yang menyiksakan. Kusut jiwanya entah bila pula akan dapat sembuh. Azlan merintih di dalam hati kerana penawar jiwanya yang telah hilang.


No comments:
Post a Comment