Tuesday, October 23, 2012

BAB 07 PERCUTIAN DI MELBOURNE




 


















BAB - 7.  PERCUTIAN DI MELBOURNE
                 DAN CANBERRA

Tepat jam 10.00 pagi mereka bertolak memulakan perjalanan ke destinasi yang telah dirancangkan sejak dua minggu lepas. Perjalanan yang begitu menyakinkan. Semua bahagian injin telah diperiksa dan diservis bagi memastikan perjalanan yang akan mereka tempuhi itu tidak terbantut di tengah jalan.

Van Toyota Torago kepunyaan Wendy dengan plat nombor ADY-996 meluncur laju dipandu Affendi. Wendy di sebelahnya adalah kawan karib Sheryn semasa sama-sama belajar di High School, Adelaide. Dia mempunyai sebuah salon kecantikan di bandar Adelaide. Semasa ketiadaannya salon tersebut diurus oleh adiknya. Dia sudah lama tidak melancung. Dia juga mahu berehat dan menghilangkan penat setelah berkerja melayani tetamu yang datang untuk membersihkan rambut dan mendandannya mengikut trend terkini. Peluang untuk melancung bersama Sheryn dan Azlan tidak dilepaskan. Affendi baru sahaja  diperkenalkan kepada Wendy dua minggu lalu. Walaupun begitu mereka seperti sudah biasa. Mereka kelihatan cukup gembira diganding bersama.

Wendy  pada pagi itu tidak henti-henti bercakap dan mengarahkan Affendi untuk memperlahankan vannya di selekoh yang merbahaya atau untuk melajukan vannya itu bila keadaan mengizinkan. Dia juga seperti seorang penunjuk arah yang penuh dengan pengalaman. Sebagai seorang anak yang telah kematian bapa, Wendy bebas untuk kemana-mana. Ibunya sudah berkahwin lain dan dia cuma tinggal bersama adiknya Edward Ramsey yang juga berminat dalam bidang solekan.  Dan salon itu telah dikongsi bersama adiknya dan mereka mempunyai empat orang pekerja. Dia hanya bersetuju untuk mengikut perancangan Sheryn setelah diberitahu bahawa perjalanan mereka itu tidak melebihi tujuh hari.

Van terus bergerak laju di lebuh raya 31. Tidak ada lagi selekoh yang tajam dan bahaya. Jalan rayanya lurus.Di kiri kanan nya hanya kelihatan rumput-rumput dan dedaun yang menghijau dihiasi dengan bunga-bunga liar kekuningan yang mententeramkan pandangan. Tidak ada kertas-kertas terbuang bertaburan di tepi-tepi lebuh raya itu. Kebersihan amat dititikberatkan. Sesuatu yang baik untuk rakyat Malaysia mencontohinya. Mereka hanya sesekali sahaja berselisih dengan kenderaan berat dan beberapa kereta kecil.

Setiap kawasan yang terdapat penduduk, akan tercatit pula jumlah populasinya di papan tanda sebelum melepasi kawasan itu. Pendek kata banyak maklumat yang boleh diketahui di sepanjang jalan. Di suatu kawasan yang lain , penduduknya hanya lima ratus orang. Mereka berkerja sebagai petani  di ladang-ladang epal. Dan ada juga setengahnya berkerja sebagai penternak lembu dan kambing biri-biri. Pokok-pokok epal dapat di lihat dari jauh di ladang yang keluasannya sayup mata memandang. Walaupun jumlah penduduk yang kecil bilangannya tetapi kerja mereka cukup pantas dengan adanya teknologi moden. Kambing dan lembu berselerak di kaki - kaki bukit dengan kawan masing-masing. Semua itu adalah sesuatu yang baru dan menyeronokan.
Setelah dua setengah jam perjalanan tanpa henti, mereka berhenti di kawasan rehat yang telah tersedia dengan bangku yang diperbuat dari batu marmar dan tempat memasak atau memanggang daging. Azlan bergegas ketandas di ikuti Affendi. Sheryn dan Wendy membuka bekalan yang telah mereka sediakan dari awal. Roti dengan baked beans dan sandwitch sardin masih terasa panasnya kerana ditempatkan di dalam alat pemanas. Begitu juga minum seperti kopi dan teh yang kelihatan berasap segar untuk diminum di dalam cuaca yang agak sejuk begitu.
Untuk sampai ke Yaas, mereka memerlukan  lebih kurang tiga jam memandu tanpa henti. Pemanduan mestilah mengikut had laju yang dibenarkan iaitu 115 kilometer sejam. Jika lebih dari itu dan terserempak pula dengan kereta peronda polis , alamatnya mereka akan disaman.
Setelah makan dan berehat lebih kurang setengah jam, mereka meneruskan perjalanan. Azlan pula mengambil alih tempat pemandu sementara Sheryn duduk pula di sebelahnya sebagai penunjuk arah. Affendi dan Wendy duduk di belakang dan tertidur setelah bercekang mata sepanjang perjalanan tadi. Azlan memandu van tersebut dengan menggunakan lesen pemanduan dari Malaysia. Oleh kerana Malaysia adalah terdiri dari negara-negara Commonwealth maka lesennya  itu adalah sah digunakan di Australia.

Sheryn banyak menyebut tentang kariernya. Telah tiga borang permohonan diisi. Semua nya sebagai  pensyarah bahasa Indonesia di universiti tempatan. Kesemua permohonannya setakat ini belum berbalas walaupun sudah hampir sebulan dia menanti jawapan dengan sabar. Azlan hanya dapat mendengar keluhan daripada Sheryn. Dia memandu dengan cermat dan berhenti pula untuk mengisi minyak di kios berhampiran dengan lebuh raya itu. Hanya terdapat sebuah sahaja kios minyak setelah memandu hampir seratus dua puluh kilometer.


Minyak diisi sepenuhnya. Affendy dan Wendy lena dan senyap di belakang. Muzik bercorak country banyak diputarkan di stesen-stesen Austaralia. Sheryn sangat meminati dengan alunan muzik tersebut dia lebih banyak menyanyi dari berbual dengan Azlan. Apa pun Azlan turut terhibur mendengar Sheryn yang mempunyai suara yang merdu.
Mereka tidak terus ke Melbourne tetapi terpaksa bermalam di pertengahan jalan kerana hujan sudah mulai turun. Cuma tinggal 150 kilometer sahaja lagi untuk sampai ke Melbourne. Memandangkan hari sudah beransur gelap dan hujan makin mencurah-curah mereka mengambil keputusan untuk berehat dan bermalam di kawasan on-site van yang dipenuhi dengan berpuluh-puluh buah caravan untuk disewakan kepada pelancung yang ingin bermalam di kawasan itu. Setiap caravan dapat memuatkan enam orang dengan kemudahan selengkapnya. Sewanya  cuma  lima puluh dolar sahaja. Ianya cukup selesa dengan tempat masak serta katil yang boleh dilipat ke dinding bila tidak diperlukan. Tandas pula disediakan di kawasan khas di bahagian luar caravan tidak jauh dari mereka. Dan ianya di dirikan untuk kegunaan ramai. Sementara van mereka boleh diletakkan berhampiran dengan caravan sewaan mereka sebaai langkah keselamatan.
Semalaman itu mereka hanya berbual kosong . Sheryn menyediakan burger telur dan Wendy menyediakan minuman panas. Selepas makan semua mereka berada di tempat tidur masing-masing.sambil mengadap ke arah peti televisyen. Wendy memecahkan suasana sepi apabila ikhlan yang ditunjukkan agak membosankan.
“ Aku banyak mendengar tentang Malaysia. Sebuah Negara membangun yang indah dipenuhi dengan pulau-pulau yang menarik seperti di Langkawi dan Tioman.”


“ Siapa yang menceritakan kepada mu semua itu ? ” Tanya Azlan.
“ Aku setiap hari dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan. Dari merekalah aku banyak mengumpul maklumat bukan setakat Malaysia sahaja tapi negara-negara lain juga. Dari cerita-cerita sebegitu aku terasa kepingin untuk ke sana di suatu hari nanti. Terutamanya di Pulau Pinang.” Kata Wendy yang berbaring dengan sebahagian dari badannya berada di dalam sleeping bag.
“ Itu semua taklah susah, kan engkau ada Affendi yang kebetulan pula berasal dari Pulau Pinang.Tentu tidak keberatan untuk menjadi pemandu pelancung jika engkau ke sana nanti” Kata Sheryn.
“  Benar kata Sheryn tu tetapi akan lebih mudah jaika dia sanggup menjadi isteri aku.” Balas Affendy denagn gaya serius.
“ Isteri?” Soal Wendy seperti terkejut.
“ Ya , isteri !” Kata Affendi lagi.
“ Kalau bukan isteri tak boleh ke?” Soal Wendy lagi sambil menoleh ke arah Azlan.
“ Boleh! tetapi tidaklah dalam keadaan sebegini. Di sini semuanya bebas tanpa halangan. Walaupun duduk serumah tanpa berkahwin tiada siapa yang peduli. Lain pula di Malaysia. Keadaan begini sudah menjadi satu kesalahan dari segi hukum syarak. Terutamanya bagi yang beragama Islam.” Ujar Azlan.
“ Kalau dekat sana kita semua sudah kena tangkap basah.” Sambung Affendi.
“ Tangkap basah ?” Wendy kehairanan dengan sebutan itu.
“ Ditangkap semasa masih basah selepas mandi” Kata Sheryn seperti tahu benar dengan kata-kata itu.
“ Bukan itu maksudnya, tetapi ianya ditujukan kepada pasangan-pasangan yang belum berkahwin dan  mereka akan didapati telah melakukan kesalahan berkhalwat atau berada di tempat-tempat sunyi dengan tujuan melakukan sesuatu yang


sumbang. Dan apabila tertangkap mereka akan didakwa di mahkamah syariah mengikut undang-undang di Malaysia. ” Jelas Affendi.
“ Kalau begitu susahlah kalau hendak ke sana” Kata Wendy.
“ Tidak susah asalkan kita tidak berkeadaan begitu. Kalau hanya berjalan-jalan dan bersiar-siar  tidak menjadi kesalahan. Semua undang-undang itu adalah baik. Ianya bertujuan untuk mengelak berlakunya gejala sosial yang kronik dan sukar dibendung.” Jelas Affendi lagi.
“ Apa pendapat engkau tentang hal itu di sini ?” Tanya Sheryn kepada Azlan yang diam mendengar bualan mereka.
“ Di sini semuanya telah menjadi kelam kabut. Kerana kebebasan yang terlampau itu, maka terjadilah pelbagai penyakit sosial yang tidak sihat sehingga membuat sesorang itu lupa akan dirinya.” Jawab Azlan yang terasa dirinya juga sudah terjerumus ke dalam keadan seumpama itu sejak datang ke bumi Australia.
“ Kenapa engkau berkata begitu ?”
“ Kita tidak boleh lari dari realiti hidup.Tapi apa kan daya kerana akal juga kadangkala sudah tidak dapat dipergunakan dengan baik kerana pengaruh persekitaran yang membuat ianya jadi begitu. Ditambah pula dengan pegangan agama yang lemah.”  Balas Azlan.
“Adakah itu ketentuan ?” Tanya Sheryn lagi sementara Wendy dan Affendi menjadi pendengar yang setia tanpa mahu menyampuk perbualan mereka berdua.
“ Semua yang terjadi itu memang ketentuan, tetapi ia hanyalah satu ketentuan dari akal yang tidak positif malah banyak mengarahkan kepada perbuatan yang negatif.” Memang dia sudah mula menyedari kesilapannya.Tetapi dia tidak punya tempat untuk mengadu. Untuk menceritakan masalahnya kepada kawan-kawannya yang lain dia terasa malu. Jadi terpaksalah dia t memendam rasa kesal itu sendirian. Dan dia terus berada di dalam kelekaan. Selepas jawapan yang diberikan itu mereka masing-masing senyap . Televisyen ditutup dan mereka semua


tidur kerana malam semakin larut dengan hujan yang mencurah lebat menimpa bumbung caravan dan persekitaranya dengan bunyi yang kuat.
 Oleh kerana kesejukan dan hujan begitu lebat semalam. Mereka telah tertidur hingga ke jam 11.00 pagi. Setelah mandi dan menyediakan makanan mereka bertolak semula meneruskan perjalanan ke Melborne. Kali ini Wendy pula yang memandu vannya. Affendi duduk di sebelahnya. Azlan dan Sheryn menyandar di belakang bercerita sesuatu yang kurang jelas untuk didengar oleh mereka di bahagian hadapan kerana bunyi bising tayar kereta yang melimpasi jalan raya yang sedang dibaiki dengan permukaan batu kasar yang masih belum digelek dengan kemas. Selepas dua kilometer barulah keadaan kembali normal dengan permukaan jalan yang baik. Affendi sibuk mencari siaran radio Australia dengan lagu-lagunya yang sedap didengar. Lagu seperti down under yang dipopularkan oleh kumpulan Men At Work beberapa tahun lalu cukup diminatinya.
 Oleh kerana banyak lagu yang diputarkan melalui radio hari itu semuanya yang berirama sentimental, maka cepat pulalah mereka merasa mengantuk. Namun Wendy tetap segar kerana dia telah meneguk setin livita. Sejenis air yang dapat menguat dan mengembalikan stamina badan. Dari cermin pandang belakang di menjeling Sheryn yang sudak terkulai di bahu Azlan. Dia tidur semahunya. Azlan juga begitu. Sementara Affendi sesekali tersengguk-sengguk menahan dari terlena. Wendy hanya membiarkan. Dia sudah biasa dengan jalan raya yang menuju ke Melbourne. Dari pernah berulang alik seminggu sekali dari tempat mereka berhenti menginap semalam semasa menjadi kerani kewangan di situ. Enam bulan dia bekerja di situ. Dan setelah mendapat tawaran belajar di kolej dalam bidang kecantikan, dia berhenti dan berhijrah ke Adelaide sendirian. Bapanya ketika itu masih hidup and ibunya juga masih bekerja di sebuah hospital swasta di bandar Melbourne.


Tiba-tiba Wendy memberhentikan keretanya secara
mengejut. Mereka yang lain terkejut dan terjaga dari tidur. Affendi hampir-hampir terantuk dengan tempat pemegang tangan di hadapannya.
 “ Kenapa engkau tiba-tiba berhenti secara mengejut mengejut  Wendy ?” Tanya Sheryn.
 “  Tidak ada apa yang terjadi. ” Kata Wendy.
 “  Kenapa dengan polis peronda itu. Dia menuju ke arah kita. ” Tanya Sheryn untuk mengetahui jawapan sebenar dari Wendy.
 “ Tentu engkau telah memandu dengan ketika kami tertidur tadi” Kata Azlan.
 “  Taklah aku mengikut had laju yang dibenarkan dan tak lebih dari itu.” Wendy menafikan.
 “ habis ,apahal pulak mereka mengarahkan engkau berhenti ? Soal Sheryn.

  Belum pun sempat soalannya dijawab seorang polis peronda menghampiri van mereka. Wendy diarahkan keluar dan kemudian mereka semua keluar untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
 “ Selamat petang semua ” Ucap pegawai tersebut.
 “ Selamat petang ” Jawab mereka.
 “ Kamu semua nak ke mana?” Tanya pegawai itu.
“ Mahu ke Melbourne bercuti.” Wendy menjawab.
“ Masih belajar ?” Tanya pegawai itu lagi.
“ Ya, Mereka berdua masih menuntut Di Universiti of South Autralia, dan saya sudah ada perniagaan sendiri dan yang ini Sheryn, sedang menunggu pekerjaan yang sesuai.” Kata Wendy sambil memperkenalkan mereka kepada pegawai polis itu.
“ Maafkan saya kerana telah mengarahkan van kamu  supaya berhenti. Lihat di belakang sana, plat van kamu sudah hampir tertanggal. Lebih baik diikat semula sebelum meneruskan


perjalanan. Saya mohon pergi. Dan selamat jalan.” Katanya sambil ke kereta peronda dan meninggalkan mereka untuk membetulkan plat yang terkulai itu.
 Mereka mesti sampai ke Melbourne sebelum hari gelap. Wendy masih ingat jalan yang menuju ke rumah guru  kungfunya. Sudah hampir tiga tahun dia tidak bertemu dengan Ricky Chang seorang lelaki berbangsa Cina dari Hong Kong. Dia telah menetap di Adelaide sejak dua puluh tahun yang lalu dan telah berkahwin dengan seorang gadis tempatan yang juga  bekas pelajar kungfu di sekolahnya. Kerana sambutan yang agak baik di Melbourne, Ricky telah mengambil keputusan untuk berpindah kesana. Wendy adalah salah seorang pelajarnya yang cekap berkungfu dan beliau pernah memenangi beberapa pertandingan seni mempertahankan diri yang diadakan di  Adelaide Festival Theatre semasa masih lagi menuntut di kolej.

 Jam 6.00 petang , mereka sudah sampai di Melbourne. Wendy memberhentikan vannya di tepi jalan dan menalefon Ricky untuk memastikan beliau ada rumah. Setelah mendapat jawapan dari Ricky, Wendy membelokkan vannya menuju ke arah yang membawa mereka ke rumah tersebut. Sebaik sampai di perkarangan banglo Ricky Chang, Wendy segera turun lalu berpelukan dengan Ricky dan Denise isterinya. Jelas sekali keakraban mereka apabila Wendy disambut dengan begitu mesra. Azlan, Sheryn dan Affendy diperkenalkan kepada Ricky dan isteri. Dan mereka semua masuk ke ruang tamu.  Sebelum mandi dan menukar pakaian mereka ditunjukkan pula tempat untuk tidur dan berehat pada malam itu.
 Makanan berupa sphegetti pada malam itu disediakan oleh Denise dan dibantu oleh Ricky. Mereka tidak mempunyai pembantu rumah. Semenjak berkahwin mereka juga tidak dikurniakan cahaya mata. Dan kerana itulah semua pelajar-pelajarnya dianggap seperti anaknya sendiri.


 “ Besok kita akan melawat ke sekolah kungfu saya. Banyak peralatan yang boleh kamu lihat. Itu pun jika kamu mempunyai masa yang cukup sebelum ke Canberra.” Kata Ricky.
 “ Itu satu cadangan yang baik . saya suka menyaksikan aksi kungfu yang hebat  dengan gerakan yang pantas itu melalui filem-filem yang ditayangkan di pawagam dan televisyen" Ujar Affendi.
 “ Jadi bolehlah kita belajar serba sedikit dari Wendy dan menyaksikan pertunjukkannya bersama Afendi .” kata Sheryn dan mereka semua ketawa.
 “ Tetapi saya tidak pandai berkungfu .” Balas Affendi.
 “ Jangan risau dengan gurauan itu. Kita sekadar memerhatikan ketangkasan Wendy yang sudah lama tidak saya lihat.” Kata Ricky apabila melihat reaksi Affendi yang jadi serba salah dengan gurauan Sheryn.
 “Malaysia juga terkenal dengan pertunjukkan seni silat mempertahankan dirinya , begitu juga dengan Indonesia. Saya telah beberapa kali ke Sarawak untuk menyaksikan pertandingan senisilat mempertahankan diri di stadium tertutup di Bandaraya Kuching. Ia sungguh hebat. ” Sambung Ricky.
 “ Tentu Azlan dapat menunjukkan sesuatu bila ke sekolah kami  nanti.” Kata Denise sambil tersenyum.
 “ Tapi saya tidak sepantas kungfu. ” Jawab Azlan.
 “ Semua itu tidak menjadi masalah, yang penting ialah latihan yang berterusan. Tiap pergerakan, baik yang pantas atau yang perlahan  tetap mempunyai tujuannya yang tersendiri. Semua itu berkehendakkan kepada latihan. Tanpanya permainan akan menjadi kaku dan sumbang. ” Kata Ricky yang penuh dengan pengalaman.
 “ Kalau begitu lebih baik kita berehat dahulu, kamu  semua tentu sudah keletihan dengan perjalanan yang begitu jauh untuk ke sini .” Denise memberi cadangan dan mereka beredar ke bilik yang disediakan dengan empat buah katil bujang dan sebuah bilik mandi.


 Keesokan harinya, se awal jam 8.00 pagi mereka mengekori range rover berwarna hitam kepunyaan Ricky dan isterinya ke sekolah kungfu yang dimaksudkan. Bangunan kedai dua tingkat yang agak besar dan telah diubahsuai menjadi sekolah. Dewan latihannya yang terletak di tingkat bawah penuh dengan beranika peralatan gimasium yang moden. Sementara di tingkat atas pula terdapat beberapa alat kelengkapan kungfu. Antara alat-alatnya ialah pedang , parang , pisau, lembing dan beberapa patung yang diperbuat dari kayu keras untuk latihan menguatkan tangan dan kaki atau sebagainya.  Buyung-buyung dari tembikar juga banyak kelihatan mungkin untuk latihan juga. Itulah rupa bentuk peralatan yang pernah dilihat ketika menonton wayang di pawagam. Azlan memerhatikan semua itu dan mendengar penerangan satu demi satu oleh  Wendy yang sudah mahir menggunakan tiap-tiap peralatan di situ ketika  bertanding.
 “ Kamu boleh mencubanya kalau mahu. Hari ini tiada latihan kerana pelajar-pelajar masih bercuti. Jadi, kamu tidak perlu malu.Tidak ada orang yang akan melihat kecuali kita di sini. ” Kata Denise.
 Wendy sudah mula dengan gerakannya yang lincah diperhatikan oleh Ricky Chang. Walaupun dia melakukan gerakan-gerakan itu secara berseorangan, tetapi pertunjukkannya cukup mantap dan rasanya dia boleh mengalahkan tiga ke empat orang penyerang dengan dalam beberapa minit sahaja. 
 “ Azlan ! tunjukkanlah kebolehan engkau pula! ”  Pinta Sheryn seperti mencabar. Azlan tersenyum. Dia juga ada harga diri. Pantang anak Melayu dicabar begitu. Tidak Melayu hilang di dunia.  Bisik hatinya penuh semangat. Tanpa disedari dia   sudah berada di tengah-tengah gelanggang. Dia memulakan dengan tari pembuka silat. Gerakannya juga tidak kurang hebat seperti yang telah ditunjukkan oleh Wendy sebentar tadi. Dia seperti tidak mahu berhenti. Dia terasa seperti Pak Hasyim gurunya silatnya berada di situ. Tepukan dari Ricky Chang


dan yang lain-lain membuat Azlan tersedar dari permainannya. Dia berhenti dengan badan yang berpeluh-peluh.  Dia merasa bangga kerana telah tidak memalukan bangsanya di hadapan seorang guru kungfu Cina itu.
 “ Wah! baik sekali permainan kamu. Dan sekurang-kurangnya kamu telah membuktikan bahawa kamu juga seorang pesilat yang berpotensi dari Malaysia.” Kata Ricky Chang sambil menepuk-nepuk bahu kiri Azlan.
Setelah hampir sejam di situ mereka memohon untuk pergi. Ricky dan isteri membawa mereka melalui pantai Bondi yang memutih pasirnya. Kebanyakan pengunjung hanya bermain pasir dan tidak ramai yang mandi kerana cuaca yang sejuk. Sehinggalah kemudiannya mereka berhenti untuk meninjau apa yang terdapat di National Gallery. Di dalamnya terdapat banyak sekali koleksi barang-barang dari kaum peribumi Australia. Dari pakaiannya tradisi kaum hinggalah kepada peralatan perburuan seperti boomerang, sumpitan hasil kerja-kerja kraf tangan yang cantik dan berwarna-warni.
Dari jauh Azlan ternampak  sekumpulan tiga orang  pelancung sedang memerhatikan sebuah lukisan primitif di dinding. Dia menghampiri mereka berseorangan membiarkan Sheryn , Wendy, Affendi bersama-sama Ricky dan isterinya di satu yang lain. Dari perbualan mereka, Azlan penuh yakin yang mereka itu terdiri dari rakyat Indonesia.
“ Maafkan saya, Adakah kalian  dari Indonesia ?”
“ Ya, memang benar.Dan Saudara dari negara mana ?”
“ Saya Azlan, dari Malaysia.”
“ Datang ke sini sebagai pelancung atau…”
“ Saya masih menuntut di Universiti of South Australia,
Adelaide. Saya kemari bersama-sama kawan yang lain untuk memenuhi masa cuti. ”


“ Oh, begitu. Saya Kartika, juga seorang penuntut dari Flinders University pengkhususan dalam bahasa Inggeris. Kami juga sedang bercuti, saya kenalkan ini paman saya , Kustino Badjuri seorang chef di Restoran Bunga Raya milik rakyat Malaysia. Beliau telah lama berada di Adelaide. Dan yang cantik ini pula ialah  Ibu Yuyi isterinya.”  Kartika memperkenalkan. Azlan terpukau dengan kelunakan suaranya yang lembut dan manja.
“ Sudah lama berada di sini ?” Tanya Azlan .
“ Baru dua hari di sini sebelumnya telah ke Sydney. Kami datang dengan pesawat. Dan akan berangkat pulang besok petang ke Adelaide. Bagaimana pula dengan saudara Azlan.?” Soal Kartika yang cukup senang untuk dibawa berbicara.
“ Kami akan ke Canberra dan mungkin ke Sydney kalau masa dan ongkosnya mengizinkan. ” Balas Azlan terikut dengan pelat Indonesia. Dan dia terus-terusan bertanya mengenai diri gadis yang baru dikenalinya itu. Paman Kustino dan isterinya beredar memerhatikan lukisan-lukisan yang lain.
“ Di adelaide tinggal dengan siapa?” Soal Azlan.
“ Dengan paman dan isterinya.” Jawab Kartika.
“ Apa bisa saya mengunjungi mu bila pulang nanti ?” Soal Azlan Lagi.
“ Kalau saudara tidak keberatan ,saya sedia menunggu .” Balas Kartika dengan senyuman menampakkan lesung pipit di kiri dan kanan pipinya.
 Azlan terhenti  seketika kerana Sheryn memanggilnya untuk bergambar di satu sudut yang dibenarkan oleh penjaga galeri itu.
“  Saya tidak punya masa, apa dapat kiranya saudari Kartika memberikan alamat dan nombor telefonnya.?” Pinta Azlan. Dia perlu cepat kerana telah lama membiarkan Sheryn sendiri tanpa teman.
“ Sebentar ya, saya tulis .” Mohon Kartika lalu menulis alamat dan nombor telefon di atas sekeping kertas dan


memberikannya kepada Azlan.
“ Terima kasih Kartika. Nanti bila pulang saya akan menelefon mu.” Kata Azlan penuh gembira lalu pergi mendapatkan Sheryn.
“ Berjumpa dengan kenalan baru ?”
“ Ya, kenalan baru  dari Indonesia dan dia juga seorang pelajar yang sedang menghabiskan cutinya bersama-sama pakcik dan makciknya.”
“ Cantik orangnya.” Kata Sheryn memuji tetapi dengan pandangan yang agak cemburu.
Azlan pura-pura tidak mendengar cakapan Sheryn. Dia terus menarik tangan Sheryn ke sisinya untuk bergambar kenangan. Affendi yang memerhatikan gelagat mereka hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Lensa kameranya yang berjenama Yasyica FX –3 itu dihalakan ke arah mereka.
Tengahari itu mereka berpisah dengan Ricky Chang dan isterinya. Mereka ke Baw Baw National Park.Untuk sampai kesana mereka melalui persimpangan Yarra dan Moojee. Tempat perkampungan yang bersalji. Pokok-pokoknya juga disaluti oleh salji yang tebal. Kawasan ini sesuai untuk pemain-pemain ski yang baru belajar. Ianya juga merangkumi banjaran curam Mount Erica, Mount St. Phillack dan lurah Thomson serta Aberfeldy.
Pukul 4.00 petang mereka menuruni kawasan curam dan licin dengan hati-hati. Permukaan dua tayar hadapan van terpaksa dipasangkan dengan kerangka keluli khas untuk tujuan cengkaman di permukaan salji yang agak tebal dan licin itu. Alat itu disewa dengan harga sepuluh dolar sebaik sahaja mereka sampai di kaki gunung tadi.
Jam 6.00 petang, Wendy memberhentikan vannya di sebuah motel. Dia tidak mahu menyusahkan Ricky dan isterinya . Dengan bermalam di situ mereka kan lebih bebas berjalan-jalan menikmati panorama malam di Bandaraya Melbourne.


Sepuluh minit perjalanan, Wendy meletakkan vannya berhampiran dengan tempat letak kereta sebuah pasaraya yang terkenal iaitu Melbourne Central. Sebuah tempat membeli belah yang moden dengan pelaburan dari negara Jepun. Jam di komplek yang mempunyai kon itu akan berbunyi setiap jam. Ia terlatak di Corner of Swanston dan Latrobe Street. Di situ mereka hanya sempat beberapa helai baju  berlambangkan Australia. Dan seorang sehelai baju panas buatan tempatan. Selepas memakan burger mereka bersiar-siar pula  di Bourke Street. Dari situ  bangunan pusat  membelibelah Mid Town Plaza  jelas kelihatan. Memang cantik pemandangan malam di Melbourne. Lebih kurang jam 11.00 malam Wendy yang memandu van menjalari pula kawasan di sepanjang Alberts Street yang dianggap oleh penduduk tempatan sebagai syurga dunia di City of St. Kilda. Tempat itu hanyalah satu kawasan yang dipenuhi dengan pub-pub, pawagan lucah dan  sarang pelacuran. Tidak ramai yang berada di luar kerana cuaca yang sejuk. Yang ada hanyalah muda mudi yang mencari pasangan atau pelacur yang mencari pelanggan untuk dibawa ke bar-bar atau ke rumah persendirian. Puas berlegar-legar di kawasan itu, Sheryn mengajak Wendy balik ke motel. 
Sudah masuk hari ke empat. Seawal jam 8.30 pagi lagi mereka telah meneruskan perjalanan. Azlan mengambil masa satu jam untuk sampai  ke Ballarat. Sebuah pekan Cowboy yang terletak 110 kilometer dari Melbourne. Dulunya begitu terkenal dengan perlombongan emas. Tinggalan tempat itu masih dijaga dengan baik kerana ia telah digazetkan sebagai salah satu destinasi pelancungan bagi pengunjung dari dalam dan luar negara. Kemudian mereka bergerak perlahan menuju ke Canberra.  Wendy sekali memandu vannya. Lebih kurang dua jam setengah tanpa henti mereka memasukki Bandaraya Canberra atau lebih dikenali dengan panggilan Civic oleh penduduk tempatan.  Bandaraya ini agak berbeza dengan Melbourne . Ianya lebih bersih kerana menjadi nadi penggerak bagi kerajaan Australia 


Kerana itulah banyak terdapat pejabat-pejabat kerajaan, pejabat-pejabat kedutaan dan swasta di situ.
 Semasa menikmati makanan di sebuah restoran Pakistan ,mereka telah berpakat untuk tidak meneruskan perjalan ke Sydney. Walaupun ia mengambil masa lebih kurang tiga jam perjalanan sahaja lagi. Hasrat itu telah dimulakan oleh Sheryn. Dia sudah keletihan. Kewangan mereka juga sudah berkurangan.Wendy hanya mengikut kerana dia juga teringatkan salonnya yang ditinggalkan kepada adiknya Edward Ramsey. Setelah mencapai kata sepakat, Wendy terus ke tempat servis kereta memeriksa kalau-kalau ada bahagian injin vannya yang perlu diservis atau dibaiki sebelum bertolak pulang. Mereka mengisi minyak secukupnya dan Affendi memandu menggantikan Wendy yang sudah keletihan. Perjalanan pulang telah ditentukan . Petang itu mereka mesti sampai ke Melbourne sebelum malam dan meneruskan  lebih kurang dua jam perjalanan lagi sehingga sampai di mana-mana tempat yang boleh menginap.

Affendy terus memandu. Dan suara radio dikecilkan sedikit agar tidak mengganggu konsentrasinya. Cuaca yang baik mempercepatkan pemanduannya sampai di Melbourne. Kemudian terus ke Wangarata mencari motel untuk bermalam. Banyak juga nama-nama tempat di Australia menggunakan nama-nama kaum asli. Dia memberhentikan van apabila ternampak sebuah motel. Wendy segera ketempat pertanyaan dan membayar sejumlah wang kepada juruwang di kaunter Motel  yang tertulis dipintu masuknya Motel Malaysia Wangarata.
Oleh kerana masing-masing telah keletihan, mereka hanya memesan sedikit makanan dari kaunter servis untuk di- hantar kebilik mereka. Selepas makan mereka menghadap ke kaca televisyen yang menayangkan  dokumentari Visit Malaysia mengenai tempat-tempat menarik di Malaysia. Wendy  kusyuk menonton rancangan itu.


Hari ke lima. Waktu keluar dari motel telah tiba. Azlan Memandu dan Sheryn duduk di sebelahnya. Dia mengadu sakit belakang. Mungkin kerana terlalu banyak duduk. Sebelah tangan Azlan menepuk-nepuk belakang Sheryn untuk melegakan sakitnya. Sementara yang sebelah lagi memegang setering. Dia memandu perlahan takut-takut terbabas. Hanya lebih kurang enam jam sahaja lagi mereka akan sampai ke rumah.
Wendy asyik bercerita sesuatu mengenai kungfunya. Banyak topiknya terarah kesitu mungkin kerana dia masih teringat Ricky Chang dan Denise di Melbourne. Azlan dan Sheryn hanya leka dengan musik reggea yang sedang berkumandang di radio. Sampai di pekan kecil Kingston, mereka berehat dan minum-minum di Italian Café. Dua jam lagi mereka akan sampai. Sheryn seperti tidak sabar untuk pulang. Dia mahu berehat dan tidur sepuas-puasnya bila sampai di rumah nanti. Itulah kata-katanya semasa duduk di kerusi sambil meneguk jus oren. Azlan dan Affendi kalut menghisap rokok Malborow melepaskan gian. Mereka tidak merokok semasa memandu atau ketika berada di dalam van kerana Wendy dan Sheryn tidak merokok.
Jam 8.00 malam. Adelaide masih sibuk dengan penghuninya yang masi berkeliaran, berbelanja di pusat-pusat membelibelah. Cuaca sederhana sejuknya ketika Wendy menghantar Affendy di perkarangan rumahnya. Kemudian Azlan dan Sheryn di North Terrace. Dia sendiri kemudiannya terus ke salon mendapatkan Edward Ramsey adiknya.

No comments:

Post a Comment