Tuesday, October 23, 2012
Bab 02 - Kenduri
BAB – 2. KENDURI
Riuh sekampung Azlan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Semua orang kampung seperti tidak percaya dan tidak sama sekali menyangka bahawa anak muda yang selalu melepak di tepi jalan bila malam menjelang dengan gitar tongnya akan begitu pula untung nasibnya. Ianya sesuatu yang mengejutkan. Lebih-lebih lagi kawan-kawannya sendiri iaitu Yahya dan Idrus. Sejak tamat dari latihan kemahirannya di utara semenanjung, Azlan hanya tinggal di kampung membantu kerja bapanya di kebun durian dan rambutan. Kadang-kadang dia juga
pergi ke sawah untuk memotong padi bila tiba musim menuai. Hampir enam bulan dia tidak pernah berusaha untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan yang berkaitan dengan latihan kemahiran yang telah dipelajarinya. Dia memang meminati bidang binaan namun dia juga tidak sanggup membuat kerja-kerja berat seperti membancuh konkrit , atau pun mengangkat batu bata di tengah-tengah terik matahari. Dia pernah ditawarkan untuk bekerja di Saudi Arabia oleh egensi pekerjaan selepas tamat latihan.
Tetapi dia menolak kerana bantahan dari ibunya. Apa yang diinginkan ialah bekerja sebagai penyelia tapak binaan. Keinginan ada tetapi usaha pula tidak dilakukan . Maka jadilah dia seperti budak-budak kampung yang lain .Tidak ada pekerjaan tetap. Waktu malamnya hanya dihabiskan dengan berhibur sesama mereka tanpa memikirkan halatuju untuk membina masa hadapan.
Membimbit gitar bersama kawan-kawanya adalah merupakan kerja rutin baginya. Dia seperti tidak kisah dengan keadaannya pada masa itu. Walaupun begitu Azlan tidak lupa sembahyang. Surau Assyakirin yang berdekatan dengan rumahnya tidak pernah dibiarkan kosong tanpa jemaah. Jika sekiranya bilal Shafie lambat datang , dialah yang akan mengazankan . Kelunakan suaranya memang diketahui ramai. Pendek kata Azlan ialah seorang yang serba boleh. Cuma sedikit kenakalannya sahaja yang tidak disenangi. Dia dan kawan-kawan selalu dimarahi oleh abang-abang kepada gadis-gadis kampung itu yang adik mereka diusik ketika kesekolah dan sebagainya.
Mainan gitar tong berjenama kapok itu kadangkala membuatkan jiran-jiran yang sedang berehat di rumah marah-marah kerana terlalu bising hingga ke larut malam. Ada kalanya dia seolah-olah mempunyai dua karektor yang berbeza . Sebagai
seorang yang warak di siangnya dan seorang yang nakal bila siang berganti malam.
Yahya dan Idrus adalah kawan karibnya dan mereka juga masih menganggur tetapi sudah pun menghadiri temuduga untuk ke maktab perguruan. Peluang untuk berjaya adalah cerah kerana kedua-dua mereka mendapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan sijil tinggi persekolahan yang baru lepas. Menyedari perkara itu dia seperti kecewa dengan dirinya sendiri. Kenapa begitu dan kenapa begini adalah soalan yang kerapkali tergetak di hatinya. Anak-anak gadis kampung seperti Rosnah dan Yati semua nya telah ke maktab perguruan Ulu Kinta , Ipoh. Dan dua orang kawan rapatnya di kampung itu mungkin pula akan berangkat meninggalkannya pada bila-bila masa.
Sampai bila aku akan jadi begini…..sampai bila ? Bisik hatinya. Apabila soalan itu menerjah tiba-tiba. Fikirannya jadi berkecamuk kerana belum menemui jawapan yang akan menyenangkan hatinya.
“ Assalamualaikum !”
Azlan yang sedang mengelamun tersedar dari lamunan.
“ Waalaikumusalam ! jemput naik !” balas Azlan, tersenyum di muka pintu menyambut Pak Lah, Pak Ngah, Pak Anjang dan lain-lain jemaah dari surau berdekatan naik ke anjung rumah. Satu persatu tangan mereka dijabat. Senyumnya terus meleret apabila Yahaya dan Idrus merapatinya dengan ucapan tahniah.
Anjung rumah yang luas itu sudah dipenuhi. Di dapur juga kelihatan penuh sesak dengan kaum wanita . Hilai tawa Mak Ngah Esah, Mak Long Nab tukang masak dan kanak – kanak yang berkejaran di perkarangan rumah cukup meriuhkan suasana malam pada malam itu.
“ Assalamualaikum ! ” Hj. Nordin memberi salam.
“ walaikumusalam ! Jawab sekelian hadirin menyambut kedatangan Tuan Hj. Nordin ke atas rumah. Azlan turut sama bersalaman dengan guru yang mengajarnya Quran hingga khatam semasa dia berumur tiga belas tahun. Hampir satu kampung telah berguru dengannya. Dialah satu-satunya guru Quran di kampung itu. Mempunyai susuk tubuh yang tinggi , berkulit cerah dan hidungnya yang mancung menampakkan gayanya seperti seorang yang berketurunan Arab. Memang dia dilahir di Mekah tujuh puluh lima tahun yang lalu. Bapanya membawanya pulang ke tanah Melayu pada masa itu kerana ibunya yang bebangsa Arab telah meninggal dunia. Ilmu yang diperolehi dari bapanyalah yang diperturunkan kepada orang-orang kampung dari dulu hingga ke hari ini.
“ Baiklah ! kita mulakan ” kata Hj. Nordin sambil mengalih pandangan kepada bapa Azlan yang bersila rapat di sebelah kanannya.
“ Silakan Pak Su !” Balas bapa Azlan kepada Haji Nordin dengan panggilan biasa untuknya di kampung itu.
“ Al-fatihah ! ” Hj. Nordin memulakan bacaan dengan diikuti oleh hadirin.
Azlan yang duduk berhampiran tangga rumah dua tingkat itu sempat juga menjeling di bahagian dapur. Kaum – kaum wanita kalut mencedok gulai, untuk dihidangkan kepada kaum bapa nanti. Bau gulai ikan talang kering menyusuk lubang hidungnya. Selesai sahaja doa selamat diaminkan oleh hadirin , Azlan ,Yahaya dan Idrus sudah bersedia dari anak tangga pertama mengangkat talam hidangan satu persatu ke atas disambut pula oleh abangnya yang berdua. Abdul Ghafar abangnya yang sulung ialah seorang guru sekolah di Batu Pahat sementara abang keduanya Ahmad Omar adalah seorang Pegawai di Jabatan Pertanian Ipoh. Azlan juga mempunyai dua orang lagi adik beradik lelaki Abdul Aziz dan Aminuddin yang masih bersekolah di tingkatan satu dan tiga.
Dia tidak mempunyai kakak atau adik perempuan, maka tak hairanlah semasa kecil-kecil lagi mereka semua bersikap buas dan nakal.
Setakat ini bapanya boleh berbangga dengan kejayaan anak-anaknya. Tambah-tambah lagi Azlan yang agak degil itu berjaya pula dipilih oleh Mara untuk belajar di luar negeri. Hati bapa mana yang tidak gembira melihat kejayaan anak-anak mereka.
Lewat jam sebelas, urusan membasuh dan mengemas sibuk pula dijalankan oleh kakak-kakak iparnya di dapur dengan bantuan Aziz and Aminuddin. Ianya selesai hampir jam dua belas malam. Ibunya yang kelihatan penat ketika itu hanya duduk memerhatikan sambil menghisap Cerut Cap Teko dimulutnya. Sementara abang-abang Azlan masih lagi bersembang dengan bapanya di anjung rumah. Banyak yang mereka bualkan. Itulah masa yang ada kerana besok petang mereka akan pulang ke tempat kerja masing-masing.
Bagi Azlan , kesempatan berada di kampung sebelum berangkat pergi tidak mahu dilepaskan. Walaupun sudah lewat malam namun dia dan kawan-kawannya sudah berjalan mundar mandir menuju ke simpang Kampung Selamat. Itulah tempat mereka selalu melepak dan berbual-bual. Kerana sudah larut malam maka jarang sekali terdapat kenderaan yang akan melalui tempat itu. Jadi, disitulah juga mereka akan berbaring sambil menyanyikan lagu-lagu kegemaran anak muda masa itu dan bergurau senda.
“ Untunglah kau Lan..! sekurang-kurangnya dapat juga engkau melihat kanggaroo dan berkawan dengan cewek-cewek bermata biru di sana…! Idrus memecahkan suasana sepi ketika itu. Gitar sudah tidak perlu lagi di malam itu. Yang perlu hanyalah perbualan buat kali terakhir sebelum mereka berpisah.
“ Itu biasalah….! bila kita kita berada di tempat yang baru dan asing ! Sampuk Yahaya pula.
“ Untung aku mungkin hanya pada nasib. Engkau orang tentu tahu setakat mana pencapaian aku dalam akademik. Kelulusan aku taklah setinggi mana kalau nak dibandingkan dengan apa yang kau orang miliki.” Ujar Azlan merendah diri.
“ Habis segala kemahiran yang kau perolehi tu tak baik , tak bagus ….? ” Soal Idrus.
Azlan menonyoh-nonyoh kelopak matanya yang terasa berat dan gatal-gatal sambil menyalakan sebatang rokok. Dia tidak terus menjawab soalan yang mencabar dari kawannya itu. Kotak rokok Dunhill berwarna merah dihulurkan kepada mereka. Yahaya menyambar rokok yang diberikan kepadanya dengan rakus sambil menerus perbualan.
“ Betul tu !aku setuju dengan engkau Ros. Ooi… Lan…! Engkau ingat semua orang ada kemahiran seperti apa yang engkau ada ? engkau mesti ingat kawan ! bukan semua pelajar-pelajar di universiti tu pintar-pintar, mereka tu cuma pandai le-bih sikit sahaja daripada kita ni…! dan bukan semua daripada mereka mempunyai peluang ke luar negeri macam kau ni ! mereka tu tak ada kemahiran dalam bidang yang kau ada sekarang ni !” Tegas Yahaya. Lagaknya seperti seorang pensyarah . Dia memang petah berbicara dan telah beberapa kali menang dalam pertanding bahas di peringkat sekolah-sekolah Daerah Krian. Jadi tak hairanlah kalau dia juga mempunyai sifat aggresif dalam memberikan hujah dan pendapatnya. Tak rugilah kalau dia menjadi seorang pendidik nanti. Kata Azlan dalam hati.
“ Engkau tau ? ” Yahya mengajukan soalan dan tangannya serentak pula menepuk bahu Azlan yang diam seperti orang bisu. Tersentak Azlan ketika itu kerana banyak perkara yang bermain di fikirannya.
“ Tahu apa ? Tanya Azlan ingin tahu.
“ Dia orang yang di universiti tu banyak cakap saja. Buat kerja belum tentu lagi mereka boleh ….! kalau dari segi tiori kita
memang kalah, tetapi dalam perkara yang memerlukan praktikal… orang – orang macam engkaulah yang lebih baik dan ada potensi. ” Dia terhenti mungkin terlupa ayat yang akan diucapkan selanjutnya.
“ Apa benda yang selalu orang cakap tu Ya ? ” Dia mengalih pandangannya kepada Idrus seperti meminta bantuan.
“ Cakap tak serupa bikin ! ” Sambut Idrus sedikit ketawa memerhatikan Yahaya yang sedang menggaru-garu kepalanya mencari ayat.
“ Haa ….! Itu lah yang aku nak sebut tadi ! ” Kata Yahaya.
Azlan mengangguk-anggukkan kepalanya sambil memejamkan kedua-dua biji matanya. Dia menyangkut dagunya di celah dua lututnya sementara kedua belah tangannya memeluk di kedua kakinya. Mulutnya dicebekkan ke arah Idrus. Memang benar seperti yang di katakan oleh kedua kawannya itu.Dia teringat kepada salah seorang pelajar sekuliahnya dulu
Walaupun beliau telah memiliki diploma dari salah sebuah pusat pengajian tinggi pada ketika itu, dia tidak terus bekerja malah sanggup pula meneruskan pelajarannya di dalam bidang kemahiran. Dan bila ditanya dia menyatakan bahawa ilmu yang diperolehi hanya cukup untuk menjadikannya seorang bos yang boleh mengarah pekerja-pekerja bawahannya tetapi tidak boleh melakukan kerja itu bila terdapat masalah di mana-mana. Lebih-lebih lagi di dalam bidang pembinaan yang kian berkembang dari masa ke semasa. Tiori sahaja tentu tidak cukup . Seseorang itu kalau mahu berjaya dalam bidangnya mestilah menggabungkan kedua-duanya. Tiori boleh diibaratkan sebagai air yang mengalir tanpa tebing yang kukuh di kiri dan kanannya. Air akan menyerap, meresap dan memasukki arah – arah dengan tidak ketentuan dan akan hilang begitu sahaja di perut bumi tanpa dua tebing yang menentukan arah alirannya.
“ Engkau tu Lan ! patut bersyukur dengan apa yang engkau dapat sekarang. Balik nanti, kerja buat kau sudah tersedia …apalagi kau nak haa…! Tambah Idrus seakan mahu menyedarkan Azlan.
“ Nanti baru dia tahu siapa engkau Lan . Azlan yang ku tinggalkan telah pulang dengan gadis bermata biru . Berpimpin tangan penuh gembira di lapangan terbang.” Yahaya seolah-olah cuba menghiburkan hati kawannya itu dengan memberikan gambaran-gambaran yang indah. Dia berlagak seperti seorang pelakun. Walupun dia menyedari bahawa Azlan kawannya itu belum pun habis menjelajah segenap pelosok negeri tumpah darahnya , Negeri Perak. Namun cakap-cakap nya tidak secara langsung telah menyingkap helai demi helai sejarah silam kawannya itu. Yahaya memang pandai mencari soalan ataupun membuat kenyataan yang berbentuk provokasi.
“ Kita ni siapa, dia kan orang pandai-pandai, cantik, molek dan ada kelas ! dah lah tu banyak pula peminatnya! bakal cikgu pulak tu ! ” Ujar Azlan dengan nada perlahan mungkin menahan kesayuan di hatinya.
Dia seperti faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Yahaya. Melihat begitu, Idrus cepat-cepat mencelah sambil menumbuk perlahan bahu Yahaya.
“ Apalah kau ni Ya! kawan kita ni baru nak melupakan kisah sedih kau pulak mengungkit-ngungkit cerita lamanya !”
“ Maafkan aku Lan, aku pun terasa marah dan geram juga dengan perempuan yang berlagak ni….. betapa mudahnya dia mempermainkan kata-katanya. Kalau dulu sayangnya kepada engkau berkajang-kajang panjangnya, lepas tu bila sahaja bertemu lelaki lain…. senang ! saja dia melupakan engkau. Aku sebenarnya turut simpati dengan apa yang sedang kau alami. Bukan mudah nak melupakan orang yang pernah kita cintai. ” Balas Yahaya menunjukkan rasa simpatinya.
“ Sesungguhnya apa yang engkau cakap tu memang ada kebenarannya.Aku Tak menafikan langsung. Malah telah aku cuba dan akan terus mencuba untuk melupakannya. Aku anggap cerita lama tu hanya igauan di siang hari oleh anak muda yang melalui zaman remajanya. Ianya hanya cinta monyet. Cinta yang tidak kekal lama seperti kebanyakan orang berkata. Itu sahaja.” Ulas Azlan cuba menenangkan hatinya..
“ Aku berikan engkau satu contoh yang senang. Kita ambil sahaja batang bemban di belakang rumah engkau tu Lan , walaupun dipotong dikerat lapan sekalipun ia pasti akan tumbuh semula, inikan pulak putus kasih !” Idrus mendapat ilham bagi meredakan lagi gelodak jiwa kawannya.
“ Cinta kepada manusia hanya boleh diandaikan seperti kita memakan sebiji papaya. Habis dimakan bijinya dibuang. Kemudian biji tersebut akan tumbuh lagi. Dan tumbuhnya tidak semestinya untuk orang yang sama. Buahnya mungkin pula untuk orang yang lain.” Yahaya pula berfalasafah dan kemudiannya menyambung lagi.
“ Dan janganlah biarkan kita kecewa hanya kerana tidak dicintai lagi oleh perempuan yang kita sukai. Rasullullah sendiri tidak suka kepada umatnya yang berputus asa. Inilah masanya
untuk engkau bangun dengan semangat baru, tunjukkan kepada dia bahawa tanpanya engkau juga boleh berjaya boleh hidup.” Tegas Yahaya penuh dengan motivasi.
“ Dekat sana tu, lagi ramai yang cantik-cantik. Aku pasti dengan kebolehan engkau , sudah pasti akan ada gadis-gadis genit yang datang menghimpit .Engkau ni bukannya tak kacak! mmn ! macam mendiang Bob Marley ! lebih-lebih lagi kalau memetik gitar .” Idrus berkata sambil bergurau.
“ Janganlah samakan aku dengan mendiang tu pulak !” Balas Azlan . Mereka semua tertawa terbahak-bahak.
Salakan anjing di hadapan kedai Ah kong yang tidak jauh dari situ sayup-sayup kedengaran. Kadang-kadang boleh meremangkan bulu tengkok. Namun mereka masih di situ.
Cuma rokoknya sahaja yang semakin berkurangan. Rokok percuma lebihan dari kenduri tadi.
Perbualan mereka pada malam itu bolehlah dikatakan seperti perbualan orang-orang bijak pandai. Penuh dengan emosi , bersemangat, kaya dengan falsafah dan motivasi. Selama ini mereka jarang sekali berbicara sedemikian rupa. Malam itu malam yang penuh makna. Malam yang mula menampakkan kematangan anak-anak muda yang sedang memburu masa depan mereka. Hari-hari yang akan mereka tempuhi masih jauh. Apa-apa pun boleh terjadi. Banyak yang telah berjaya dan tak kurang pula yang sengsara di dalam menghadapi hidup yang penuh dengan seribu satu macam wadah duniawi.
Jarum jam tangan jenis citizen kepunyaan Azlan menunjukan pukul 2.00 pagi. Embun sudah lama menitik. Mulut masing-masing sudah mula terkuap-kuap. Dingin malam kian terasa membaluti tubuh. Mereka sudah mula mengantuk. Dalam kekontangan dan ketiadaan bicara di ketika itu mereka bingkas bangun lalu menapak pulang dipayungi bintang-bintang yang bergemerlapan di langit.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


BAB 03 HINGGA 12 AKAN MENYUSUL KEMUDIAN...
ReplyDelete