Tuesday, October 23, 2012

BAB 10 KASIH BERPUTIK LAGI


 
 
           BAB – 10.    KASIH BERPUTIK LAGI
 
           Orang sudah ramai mengunjungi Bandaraya Adelaide pagi itu. Jalan-
jalan utama untuk ke pusat bandar itu telah ditutup buat sementara waktu 
dari jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Walau bagaimanapun terdapat
pula jalan-jalan lencongan untuk sampai ke sana. Azlan sudah berada di
situ menanti kedatangan Kartika. Sejak mereka bertemu, dia tidak pernah
mungkir dengan janjinya. Azlan sudah tidak senang duduk. Matanya
tercari-cari kelibat Kartika. Orang semakin ramai berbaris di kiri dan kanan
jalan, sedangkan bayangan Kartika belum lagi kelihatan. Dia bertambah
resah dan gelisah.
         
            “ Hai Azlan!”
         
 “ Aduh!  engkau buat aku risau,”
“ Apa yang nak dirisaukan, aku sudah sampai?”
“ Engkau sudah terlewat empat puluh lima minit. Tentu lah aku
         
             panik,”
“ Maafkan aku Azlan, semua ini tidak disengajakan. Jalan ditutup
kepada kenderaan. Jadi terpaksalah aku berjalan kaki untuk ke sini. Capik
aku jadinya,” kata Kartika.
“ Kalau begitu bagaimana kita hendak menyaksikan  pertunjukan
            kereta berhias yang akan bermula sebentar lagi?”
“  Entahlah aku benar-benar kepenatan,”
“ Aku ada satu cadangan, apa kata kita ke Sungai Torren sahaja. Di
sana engkau bisa duduk dan merehatkan kaki mu yang sudah kepenatan
itu. Mahu enggak?”
            “ Baiklah, aku menurut saja apa katamu,”
Walaupun tidak dapat melihat perarakan dari jarak yang  dekat
namun mereka dapat juga menyaksikan sebahagian daripada peserta
pasukan kereta berhias itu kerana setiap pasukan yang bertanding akan
menghabiskan pertunjukkan mereka di tebing Sungai Torren. Kapal yang
mereka naiki berlayar perlahan-lahan menyusuri sungai itu. Tambang
untuk menaikinya tidaklah mahal kerana mereka menggunakan kad
pelajar. Azlan dan Kartika asyik menyaksikan burung-burung yang
berterbangan. Mereka bebas ke sana dan ke mari tanpa gangguan. Bunga-
bunga daisi kuning yang ditanam dengan pokok-pokok renek di sepanjang
tebing sungai itu menyedapkan lagi mata memandang. Sesekali itik liar di
permukaan sungai itu berkejar-kejaran secara  berpasang-pasangan .
Itulah pemandangan alam yang dijadikan oleh pencipta-Nya untuk
dinikmati oleh penghuninya.
“Aku begitu terpesona dengan permandangan di sini,”
“Aku juga begitu, tetapi semua itu akan berakhir juga. Semua yang
kita saksikan dan nikmati sekarang hanyalah bersifat sementara, sampai
masanya ia akan hilang,”
Kata Kartika sambil menarik nafas panjang. Azlan diam. Dia
tertanya-tanya  di dalam hati. Dari nada suara Kartika yang lembut itu dia
dapat mengagak bahawa masih ada sesuatu yang belum disuarakannya,
dan masih disimpan.
“ Teruskanlah dengan apa yang engkau ingin katakan,”
“ Lan, aku  tidak pernah menjangka untuk dipertemukan
denganmu,  tetapi ianya telah terjadi. Tentu engkau sendiri pernah
memikirkannya  bukan?”
“ Ya, aku pernah memikirkannya,”
“ Yang hidup pasti akan mati. Pertemuan akan berakhir dengan
perpisahan dan yang gembira itu selalunya dikaitkan dengan kedukaan,”
Kartika makin berseni dengan bahasanya. Azlan  tidah terus bertanya. Dia
mahu Kartika menghabiskan apa yang tersirat di hatinya terlebih dahulu
sebelum bertanya.
“ Tidak ada manusia yang mahu hidup merana. Rata-rata daripada
mereka  mengimpikan kebahagiaan. Namun apa yang diharapkan tidak
semestinya kita perolehi. Kita berhendak tetapi Dia pula yang menjadi
penentunya. Apa sekalipun kita sekadar boleh berdoa moga sesuatu yang
kita impikan itu akan terlaksana juga satu hari nanti,” ujarnya lagi.
“ Katakanlah dengan terus terang biar aku mengerti,”
“ Azlan, cuma tinggal sebulan sahaja lagi untuk kita terus begini,
ini kerana selepas itu aku akan berangkat pulang  meninggalkan kenangan
indah bersamamu,”
“Kenapa baru sekarang engkau memberitahuku semua ini Ika?”
“ Kerana aku sendiri tidak berdaya untuk melakukannya di saat
engkau memerlukan aku di sisimu. Aku yakin, kini semuanya sudah
selesai dan engkau sendiri sudah kembali ke sarung hidupmu. Dan bagi
ku inilah saat yang paling cocok untuk aku memberitahumu.”
“  Tapi Ika, aku masih memerlukanmu di sini,”
“ Aku mengerti. Tapi apa yang dapat aku lakukan? Aku terpaksa
pulang. Pengajian ku akan berakhir, aku tidak bisa melengahkannya. Aku
juga seperti engkau terpaksa akur dengan pemberi biaya,”
“ Tentu engkau gembira dengan semua itu,”
“ Ya, aku amat gembira untuk pulang menemui orang tuaku yang
semakin tua, adik-adik yang kian membesar dan juga kampung halaman
yang telah lama aku tinggalkan. Tetapi aku juga amat terharu untuk
meninggalkan segala keindahan, segala kenangan ketika bersama dengan
seseorang yang mula menapak di ruang hatiku,”
“ Ika, jika engkau telah pulang, maka jadilah aku seorang
penunggu yang sepi. Aku akan keseorangan. Namun sebelum terlewat
aku mahu engkau berjanji kepadaku. Mahukah engkau Ika?”
“ Katakan apa mahu mu Azlan,”
“ Mahukah engkau berjanji akan menungguku setelah kembali
nanti? Aku tidak mahu kehilanganmu kerana engkau adalah segala-
galanya bagiku sekarang. Janganlah putuskan sesuatu ikatan yang telah
kita jalinkan bersama.Dan kalau bisa mahu saja aku berada dekat dengan
mu buat selamanya,”
“ Kalau sekadar itu kemahuanmu aku bisa berjanji akan setia
menunggu, tetapi harus pula diingat bawa perencana dan penentu adalah
dua perkara yang berdeza. Kita cuma berharap dan kuasa yang mutlak
adalah daripada-Nya. Dan aku juga berdoa agar kita tidak menjadi
manusia yang akan dimurkai oleh Allah kerana mungkir janji,”
“ Senang sekali aku mendengar kata-katamu itu. Dan engkau pasti
ku jelang sekembali nanti,” kata Azlan menggenggam erat jari jemari
Kartika yang lembut itu. Mereka berpimpin tangan menuruni tangga jeti
dan berjalan pula melimpasi Rundle Mall. Di situ terdapat pula beberapa
orang pemain gitar jalanan yang dikerumuni oleh orang ramai yang
berminat untuk menyaksikan pertunjukkan mereka sambil menghulurkan
syiling atau memasukkannya ke dalam topi yang terletak di hadapan
mereka.
 
Azlan mengajak Kartika untuk ke Harris Shopping Center. Ada
            sesuatu yang ingin dibelikan untuk Kartika.
“ Ini untukmu  Ika, mari aku sarungkan  ini dijarimu,”
“ Aku tidak mengharapkan ini semua Azlan,”
“ Anggaplah ini sebagai satu pemberian dan tanda kenangan
           daripada orang yang akan engkau tinggalkan,”
Jurujual yang bertugas di situ tersenyum mendengar kata-kata
Azlan sambil memandang ke arah Kartika yang tersipu malu. Cincin emas
yang dipasangkan dengan sebutir opal disarungkan ke jari manis Kartika.
“ Terima kasih Azlan, ”
“ Itu tidak penting bagiku. Ia hanyalah satu pemberian yang kecil
jika mahu dibandingkan dengan apa yang telah engkau berikan kepadaku
selama ini. Erti kehidupan sebenar tidak ternilai dengan harta,” kata
Azlan.
Seharian mereka menjelajahi pusat bandar itu. Selepas makan
Azlan menghantar Kartika ke perhentian bas yang berdekatan. Kemudian
dia menyeberangi jalan menaiki bas yang lain untuk pulang  ke rumahnya
di Glenelg.
Malam itu, Azlan tidak keluar dari rumah walaupun diajak oleh
Affendi dan Khalid. Dia lebih suka berada di kamarnya. Tidak ada apa
lagi yang akan dibuatnya. Semua tugasan yang diberikan oleh Di Shearer,
Paul Malone dan Brian Astill telah sempurna ditaip. Besok dia akan
menghantarnya. Lepas itu dia hanya perlu mengikuti satu sahaja lagi sesi
perjumpaan. Dia dan kawan-kawannya dikehendaki berjumpa dengan
Rita Harris untuk mendapatkan maklumat mengenai latihan di luar
kampus yang bakal mereka ikuti sebelum menamatkan pengajian. Latihan
itu adalah sesuatu yang perlu diikuti bagi menentukan tahap ketrampilan
mereka selama ini. Dari khabar-khabar yang tidak pasti, mereka di
kehendaki mengajar di kolej-kolej komuniti yang bertaburan di
Adelaide mengikut bidang masing-masing. Semua itu tidak merunsingkan
Azlan.  Kerana dia telah banyak mengadakan lawatan ke kolej-kolej
komuniti sebelum ini. Tahap pembelajaran mereka tidaklah setinggi
mana. Apa yang pernah dipelajari di Malaysia tidak banyak berbeza
dengan apa yang akan ditempuhinya. Cuma yang menariknya ialah
penggunaan peralatan bantuan mengajar mereka yang lebih  sempurna
dan terkini. Teknik-teknik mengajar juga amat baik untuk dicontohi dan
dipraktikkan.
   
Azlan kemudiannya melentang di atas katil sambil meletakkan  tangan
kanannya di atas dahi kemudian memejamkan matanya.
Petang itu dia dikejutkan dengan berita yang sama sekali tidak
diduganya. Paman Kustino dengan muka yang sedih datang
memberitahunya bahawa Kartika telah tewas,dia telah meninggal dunia
setelah  pesawat Garuda yang  dinaikinya terhempas dengan tiba-tiba
kerana cuaca yang buruk di Kalimantan Barat. Cuaca yang berjerebu
dengan sistem kawalan yang tidak berfungsi ketika itu adalah punca awal
yang diketahui sehingga menyebabkan tragedi itu berlaku. Azlan lemah
mendengar berita itu. Dia tidak berdaya untuk berkata apa-apa. Paman
Kustino segera mententeramkan Azlan. Dia faham perasaan anak muda
itu.
“ Setiap yang hidup pasti akan mati. Kita tidak dapat
mengelakkannya walaupun sesaat. Bersabarlah Azlan. Doakanlah agar
rohnya berada bersama-sama mereka yang kasihi Allah,”
“ Tapi dia berjanji untuk menungguku di sana, dia tidak akan
           mungkir janji,”
“ Tetapi dia sendiri tidak tahu bila ajalnya akan tiba sehinggalah
           kejadian itu,”
“ Relakanlah dia pergi…..,”
“ Tidak! tidak mungkin ! Paman berdusta denganku. Paman
berbohong, Kartika masih hidup, kami sudah berjanji untuk hidup
bersama, mana mungkin semua itu terjadi? Aku tidak percaya!” Azlan
menangisi nasibnya. Orang yang dikasihi dan disayangi itu dikhabarkan
telah tiada. Dia meraung sepuas-puasnya.
“  Lan….. Lan…… apa kena dengan kau ni ?”
“  Kartika di mana ?”
“  Di rumah dialah, ”
“  Di rumah dia ?”
“  Ia, kau tu bermimpi,”
“  Astagfirullahalazim ! ”
“ Itulah, kalau tidur tak basuh kaki,” kata Affendi.
Dahi Azlan berpeluh-peluh semasa Affendi menggerakkannya.
Jam ditangannya baru pukul 9.00 malam. Dia bangun ke ruang tengah dan
mengangkat gagang telefon.
“ Hello! Kartika ada, ”
“ Ada, Azlan kah ini ?”
“ Ya, Bu,”
“ Haa ! ini dia sudah datang, ”
          
           “Hello Ika ! apa khabar?”
“ Baik saja,”
“Aku tidak dapat tidur mengenangimu Ika”
“ Kok sampai begitu sekali,”
“ Benar, aku tidak bohong,”
“ Engkau mahu tidur ya ?”
“ Ia, tetapi enggak bisa berbuat demikian.
Aku alami mimpi yang menakutkan dan tidak mempunyai jawapannya,”
         
           “ Mimpikan mainan tidur,?”
         
           “ Ia membuatkan aku tidak tenteram,”
“ Kalau begitu engkau pergi mandi dan bersihkan badanmu
           sebersih-bersihnya, kemudian kerjakan solat!”
“ Apa benar itu petuanya,”
“ Memang benar ! Insyaallah,”
“ Baiklah, nanti aku cuba,”
“ Jumpa lagi nanti ya, daa !!”
    
Azlan terbongkok-bongkok mencari surat kepunyaannya di dalam
peti surat khas untuk pelajar-pelajar Malaysia yang terletak di bahagian
luar pejabat pentadbiran di kampus itu. Sekeping surat berwarna biru
dengan setem Negeri perak menarik perhatiannya. Dari tulisannya sahaja
dia sudah dapat mengagak bahawa surat yang dipegangnya itu adalah dari
seseorang yang dikenalinya beberapa tahun dahulu. Dia sekadar
membelek-belekkannya tetapi tidak berkeinginan untuk membukanya di
situ kerana masa untuk bertemu dengan Rita Harris makin hampir. Surat
itu diselitkan di celah helaian kertas sebuah buku yang dibimbitnya.
“ Saya berharap kamu semua akan bergembira dan lebih komited
dengan persekitaran pembelajaran yang baru di komuniti kolej nanti.
Kumpulkanlah seberapa banyak pengalaman yang mungkin. Di sana
kamu semua akan dikawal selia oleh pensyarah-pensyarah yang
berpengalaman luas dalam sistem pendidikan vokasional. Dan pihak
universiti akan sentiasa mengadakan lawatan ke sana bagi mendapatkan
maklumat dan perkembangan mengenai kamu semua. Adalah
dinasihatkan agar tidak ada di antara kamu yang  ponteng semasa kamu
diletakkan di bawah tanggungjawab kolej yang berkenaan,” pesan Rita
bersungguh-sungguh.
                     
                      “ Bagaimana jika sakit?” tanya Zulkarnaen.
“ Kalau sakit jumpa doktor,” balas Rita. Suasana di kuliah 
menjadi riuh rendah dengan ketawa mereka. Rita hanya tersenyum
memandang.
“ Memang itu prosedurnya. Tunjukkan surat pengesahan sakit dari
doktor dan kamu tidak akan dikenakan apa-apa tindakan yang akan
menyebabkan kamu tidak lulus,” sambungnya lagi.
“ Bagaimana pula dengan subjek elektif,” tanya Maimunah kurang
          
           faham.
“ Itu adalah pilihan kamu sendiri. Apa yang penting biarlah subjek
yang dipilih itu berkaitan dengan bidang yang kamu ceburi. Tidak
perlulah nak menambah sesuatu subjek yang tidak berkaitan. Kerana
tindakkan itu akan menyebabkan kamu kepenatan dan tidak cukup waktu
untuk menghabiskan semuanya di saat-saat akhir,” terang Rita lagi.
Maklumat dan tempat untuk menjalankan latihan itu telah
diperolehi. Azlan di kehendaki melaporkan  diri kepada Jims Brown di
Gilles Plains Comunity College bersama-sama Affendi. Tempat yang
dimaksudkan itu tidak beberapa jauh dari rumah sewaan mereka.
Perjalanan ke sana hanya mengambil masa setengah jam dengan menaiki
bas. Azlan telah siap merancang perjalanannya  walaupun masa untuk
melaporkan diri di tempat itu masih tinggal beberapa hari lagi. Rita Harris
masih melayani soalan-soalan daripada Neng dan Ayu. Setelah
mendapatkan kebenaran dari Rita, dia, Affendi dan Khalid meninggalkan
bilik itu menuju ke pusat bandar dan kemudiannya menukar bas Bee
Liner untuk pulang ke Glenelg. Azlan terus ke tempat duduk yang kosong
di bahagian belakang. Surat yang diselitkan di celah buku yang
dibawanya tadi dikeluarkan. Bahagian tepinya  dikoyakkan dengan hati-
hati sebelum isi kandungan dibaca.
Siti Astella @ Nadia Samsuri
Perak Darul Ridzuan.
Azlan yang diingati, semoga engkau berada  dalam kesejahteraan
ketika menatap surat yang tidak diundang ini. Maafkanlah aku. Terlebih
dahulu aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana
kau sudi mengirim sekeping poskad tanpa alamat satu masa dulu ketika
engkau telahpun berada di kejauhan. Walaupun ianya telah ditulis
dengan beberapa patah perkataan sahaja  namun aku gembira kerana
sekurang-kurangnya aku tahu di mana engkau telah menghilangkan diri
selama ini. Maafkan aku kerana telah mendapatkan alamat tanpa
keizinanmu daripada Idrus ketika aku bertemu dengannya tempoh hari.
Azlan, telah lama kita tidak berbicara begini. Dan adakalanya aku
juga terasa seperti kehilangan sesuatu dari ruang hidupku. Puas aku
mencari sesuatu yang telah tiada itu. Malah sehingga kini aku masih
dalam pencarian yang tidak pasti dan penuh dengan kesamaran pula.
Aku tidak pernah menyalahkan dirimu atas apa yang telah terjadi di
antara kita.  Puncanya adalah dari aku sendiri. Akulah penyebab utama
hatimu terluka.
Walaupun engkau tidak pernah menyatakannya secara terus terang tetapi
aku amat memahami dan dapat merasainya.

Azlan, aku gembira   dengan  kejayaan yang telah engkau kecapi
kini.  Sebenarnya,   engkaulah yang telah melangkah lebih jauh 
meninggalkanku. Dan alangkah baiknya jika semua kegembiraan itu
dapat kita kongsikan bersama kembali. Namun harapan itu rasanya
terlalu samar untuk aku menafsirkannya. Aku pernah berubah hati, dan
tentulah tidak menghairankan jika engkau juga telah berubah kerana
keadaan. Aku tahu bahawa engkau amat membenci diriku. Maafkanlah
aku Azlan. Aku juga adalah sebahagian daripada manusia yang tidak
dapat mengelak daripada melakukan kesilapan. Kadang-kadang tanpa
disedari kita telah mengambil sesuatu keputusan yang akan membuatkan
kita menyesal  di akhirnya.

Perkara yang berlalu itu adalah lebih baik jika sekiranya
disimpankan sahaja di dalam khazanah ingatan. Hikmahnya adalah
untuk kita fikirkan bersama. Ia telah banyak mengajar aku akan erti
sebuah  kehidupan yang sepi.
Aku kesal. Dan kerana kekesalan itulah aku menghubungimu. Aku
juga berharap untuk menebus kembali segala kesalahanku terhadapmu
selama ini. Dan sememangnya akulah yang bersalah. Aku tahu bahawa
hatimu telah terguris. Dan perkara-perkara yang sebegini terlalu sensitif
buatmu. Aku tahu kerana kita  telah pernah mengenali hati masing-
masing. Apa pun aku hanya berserah. Itu pun jika kemaafan itu masih
ada.
Akhir kata, maafkanlah aku Azlan walaupun hanya sekelumit yang
tinggal. Janganlah biarkan aku menanggung dosa kerana telah menyakiti
hatimu yang dulu.

Siti Astela @ Nadia Samsuri.

No comments:

Post a Comment