Tuesday, October 23, 2012

BAB 04 DARI NIOKA KE PENINGTON HOSTEL DAN WEST BEACH

 
 
BAB – 4.  DARI NIOKA KE PENINGTON HOSTEL DAN WEST BEACH. 

Sudah tiga hari mereka bermalam di Penington Hostel. Apa juga urusan, baik dari segi makan minum dan penginapan di situ hanya perlu dirujukkan kepada Encik Paul Arakiasamy. Beliau adalah seorang penyelia yang bertanggungjawab akan hal-hal kebajikan penghuni di hostel tersebut. Layanan dan tutur katanya lemah lembut dan begitu murah dengan senyuman. Dari warna kulitnya yang agak gelap dapat dirasakan bahawa dia bukanlah berasal dari Australia. Dan setelah ditanya mengenai asal usulnya baharulah diketahui bahawa dia adalah orang Malaysia berketurunan India dan tinggal di Bentung Pahang 23 tahun yang lalu. Semasa mengikut kapal dagang ke Adelaide dia bertekad untuk terus tinggal sahaja di bandar itu. Dia berkerja dan belajar sehinggalah bertemu dengan isterinya sekarang lalu berkahwin dua tahun kemudian. Mereka telah dikurniakan dengan dua orang anak yang masih lagi menuntut di Amerika. Dia juga selalu pulang menziarahi saudara maranya yang masih tinggal di kampung dua tiga tahun sekali sambil melancung. Isterinya Lolita juga seoerang yang peramah  dan beliau seorang ketua di bahagian pentadbiran hostel tersebut.
“ Memandangkan kamu semua adalah anak-anak orang Melayu Malaysia , jadi saya cukup faham dengan makanan yang anda harapkan di sini. Ada yang boleh dimakan dan ada yang tidak.Untuk makluman, di sini tidak ada makanan yang halal. Daging ayam, kambing dan lembu semuanya tidak disembelih secara orang Islam .Yang boleh saya rasa hanyalah roti dan buah-buahan. Saya minta maaf kerana ini adalah kes pertama pihak kami di sini menerima kumpulan yang terdiri dari yang beragama Islam.” Terang Encik Paul.
“ Sebenarnya saya hairan mengapa penghuni disini ada yang tua-tua serta terdapat juga yang mempunyai anak yang ramai.dan kurang pula yang muda-muda sebaya kami. ? ’’ tanya Rizal ingin tahu.
“ Sebenarnya di sini bukanlah hostel pelajar. Tetapi merupakan tempat tumpangan sementara bagi pendatang-pendatang tanpa izin yang akan dihantar pulang ke negara asal mereka sedikit masa lagi.” Jelas Encik Paul lagi.
“ Habis kenapa pulak kami di tempatkan di sini ? ” Soalan Maimunah tidak puas hati. Yang lain hanya mendiamkan diri . Mungkin sedang memikirkan sesuatu.
“  Sebenarnya pihak universiti ada sedikit masalah dengan penempatan kamu semua yang di buat di saat-saat akhir. Hostel masih dipenuhi oleh pelajar-pelajar yang belum pulang dan akan kosong mungkin di awal tahun depan. Oleh kerana itu  pihak universiti terpaksa menumpangkan anda di sini buat sementara waktu. ” Tegas Encik Paul lagi seperti serba salah.
“ Kalau begitu berapa lama lagi kami harus berada di tempat yang tak sesuai bagi kami semua… ?” Tanya Helmi dengan nada yang agak kasar.
 “  Oh…! Itu saya tak dapat nak pastikan. Ia terpulanglah kepada pihak pengurusan universiti  untuk menanganinya. Saya langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menentukannya.” Balas Encik Paul lagi sambil mengangkat kedua bahunya.
 ‘ Encik Paul tentu faham yang kami tidak boleh dan tidak sesuai sama-sekali tinggal di sini dengan lebih lama. Faktur permakanan dan persekitarannya tidak seperti yang dijanjikan oleh wakil mereka ketika bertemu dengan kita orang di Kuala Lumpur dulu… ” Ujar  Khalid dengan  serius.
 “ Ya saya cukup mengerti . Memang tempat ini tidak sesuai untuk pelajar seperti kamu semua. Seperti yang telah saya katakan tadi ia hanyalah buat sementara. ” Ulang Encik Paul lagi dengan rasa simpati.
 “ Susahlah kalau macam ni ! ” Tambah Affendi. Musa , Neng , Zubaidah dan Maimunah ,berpandangan sesama sendiri.
 “ Nak buang air, nak mandi pun susah, lainlah dia orang yang memang teruk tu ! ” Ayu bersungut sendirian. Suasana di dewan maklumat itu sunyi seketika. Semua bungkam.
 Perasaan mereka sudah mula membara. Darah muda mereka sudah mula mendidih dengan apa yang telah diterangkan oleh Encik Paul. Semalam tidak seorang pun dari mereka yang makan di dewan hostel. Kebanyakan mereka membeli snek dan buah-buahan sahaja dari deli atau kedai kecil di luar pagar. Paling  menyusahkan ialah ketika hendak mandi dan buang air besar. Bagi yang lelaki mungkin tdak banyak masalah. Tetapi bagi yang perempuan ianya amat menyukarkan. Apa tidaknya, mereka terpaksa mandi dan buang air di ruang yang tidak bertutup tak berpintu langsung. Budaya seperti itu tidak pernah ada di Malaysia. Namun ia terdapat pula di hostel tersebut. Semuanya terpaksa dikongsi beramai-ramai. Perlarian yang berbilang bangsa itu kelihatan serius dan kasar. Ada di antaranya dari Bangladesh, Jerman, Iran dan Vietnam serta negeri Cina.
 “ Err ! beginilah Encik Paul, saya dan rakan-rakan  berharap agar  Encik Paul  dapat menghubungi pihak universiti
atau Geoffe Penhall, kami mahukan penjelasan dan mahu berbincang dengan mereka kalau boleh hari ini juga. ” Jelas Khalid seperti menagih simpati.

 “ Baiklah. Saya akan bantu kamu semua. Saya akan hubungi mereka segera”. Balas Encik Paul. Dia terus beredar meninggalkan Azlan dan rakan-rakannya dengan satu pengharapan.

 Selang beberapa minit Encik Paul datang semula. Dari raut wajahnya yang girang dapat diagak bahawa dia membawa berita  gembira.
“ Pihak universiti telah memberi jaminan bahawa perkara ini akan selesai menjelang besok. Dan untuk itu mereka juga bersetuju untuk berjumpa dengan anda semua petang ini jam 2.00. Diharap kamu tidak kemana-mana nanti ”  Ujar Encik Paul lalu meminta diri untuk ke pejabatnya semula.
  
 Pada tengah hari itu mereka hanya makan roti dan buah-buahan sahaja sementara menanti kedatangan Geoff Penhall. Tepat jam 2.00 petang seperti yang dijanjikan Geoff dan dua orang wanita dari universiti datang menemui mereka.

“ Terlebih dahulu pihak kami memohon berbanyak maaf dengan apa yang sedang berlaku. Terdapat sedikit masalah teknikal berkenaan penempatan anda semua. Saya kira Encik Paul sudah pun memaklumkannya. Kami juga telah berusaha sebaik mungkin dan hasilnya setakat ini kami telah mendapat dua tempat penginapan di holiday flat  berdekatan dengan pantai di West Beach dan sebuah banglo berhampiran dengan kampus.” Jelas Geoff Penhall.
“  Bagaimana dengan sewaannya  ?” Tanya Khalid.
“ Kadar sewa di flat tadi ialah sebanyak dua puluh dua dolar seminggu termasuk kelengkapan memasak dengan bilik-
biliknya  yang agak luas dan selesa untuk kamu semua. Saya mencadangkan agar pelajar-pelajar perempuan tinggal sahaja berhampiran dengan kampus  dan sewanya sebanyak tiga puluh lima dolar seminggu. Saya kira itu sudah cukup baik.” Ujar Geoff lagi.
Dengan penjelasan tadi, baharulah masing-masing menampakkan muka yang gembira.
“ Jika kamu setuju besok kita akan segera berpindah ke sana.
“ Baiklah kami setuju .” Semua menjawab lega. Hanya satu malam sahaja lagi masalah mereka akan selesai. Dan dapatlah mereka menumpukan kepada kuliah yang akan dimulakan dua hari lagi.
 * * * * 
“ Hari-hari yang berlalu , sebenarnya adalah merupakan suatu perjalanan pengalaman yang penuh dengan perngertian bagi orang-orang yang mahu mengerti dan pandai menilai. Alam ini terlalu luas. Penghuni-penghuninya terdiri dari pelbagai golongan. Dan ianya dikelilingi dan dipengaruhi pula oleh keadaan. Semua ini telah dan akan kamu tempuhi dari hari ke hari. Kotak memori yang telah terkumpul dengan banyak maklumat akan hanya dapat dipergunakan apabila kamu semua mengetahui cara dan kaedahnya. Untuk tujuan itu pihak kami akan memberikan kepada kamu semua anak kunci yang paling berharga untuk membuka kotak tersebut. Di dalamnya terdapat pelbagai cara dan ianya mestilah dipraktikkan sebaik mungkin untuk mereka yang memerlukan nanti .”  Dr. Roger Harris diam seketika sambil menyelak-nyelak beberapa kertas nota penerangan di hadapannya kemudian menyambung.
 “  Kamu semua akan menjadi seorang pendidik. Dan sebagai orang yang akan mendidik , kamu harus peka dengan
keadaan sekeliling. Cuaca semalam tidak selalunya akan sama dengan hari ini atau esok. Ia berubah-berubah mengikut pusingannya yang tersendiri. Kita tidak dapat menahan hujan dari turun dengan lebatnya. Tetapi orang yang bijak akan mencari jalan bagaimana untuk mengelak dirinya dari basah terkena air hujan. Untuk menjadi seorang yang bijak tidaklah sukar….yang perlu hanyalah berusaha, mempunyai inisiatif, berinovatif serta komited dengan apa juga  bentuk pencernaan di bidang-bidang tertentu. Professi kamu  nanti  akan secara langsung melibatkan aktiviti-aktiviti memberi panduan,membantu individu untuk terus berkembang dari keadaan yang tidak baik kepada tahap yang lebih bagus dan dari yang bagus beralih pula kepada pecapaian yang cemerlang. Ini semua penting untuk dipupuk agar perubahan dapat terjadi dengan seimbang dari aspek fizikal mahupun mental. Kamu adalah sepuluh orang yang dikehendaki….tetapi bukan oleh pihak polis ” Ucapannya terhenti sejenak kerana ada yang tertawa ketika itu.
 “ Kamu diperlukan oleh anak-anak bangsa , Mara dan negara anda. Untuk menjayakannya perubahan perlu ada. Anda adalah orang yang bertuah dari kelompok yang ramai kerana terpilih untuk kemari. Terpulanglah kepada anda untuk merebut peluang yang ada. Walaupun pihak universiti dibayar oleh Mara, ketahuilah bahawa apa sahaja yang akan diperolehi disini bukan semata didasarkan kepada wang ringgit. Ilmu yang boleh dimanfaat tidak harus disamanilaikan dengan wang yang banyak. Pihak universiti akan mencurahkan sebanyak mungkin pengetahuan dengan adanya pensyarah-pensyarah yang berpengalaman di dalam arus pendidikan semasa di dalam era globalisasi tanpa sempadan ini. Ilmu tidak akan habis ditelan waktu. Ia dibaratkan seperti air dilautan. Semakin ditimba semakin membuak airnya. Apa yang terjadi sebenarnya ialah keadaan pasang dan surutnya.” Ulas Dr. Roger Harris menamatkan kuliah sesi pertamanya.

 

Masa satu jam banyak dihabiskan pula dengan perbincangan dan penerangan mengenai subjek-subjek yang perlu diambil di tahun satu dan yang perlu disempurnakan di tahun akhir nanti.
 “ Mangapakah subjek yang dinyatakan tadi mengambil masa yang begitu lama ….dan tidak bolehkah ia dipendekkan ?” Soal Ayu kepada Di Shearer ingin tahu.
 “ Kalau mahu dipendekkan …makanya , terlalu sedikit pula yang dapat kami berikan dan terhad pula ilmu yang akan anda dapati. Sepatutnya masa yang diperlukan untuk mencukupkan jam kredit anda lebih lama dari itu. Oleh kerana faktur masa yang terhad maka  pihak universiti telah mengubahsuaikannya mengikut  klien kami iaitu Mara. Kamu terpaksa mengikuti kehendak pembiaya dan kami juga tidak ada pilihan lain. Apa pun semuanya akan berjalan seperti yang dirancangkan nanti .” Jelasnya dan disambung oleh Brian Astill lelaki berkepala botak macam pelakun Yul Brainer dilayar perak.
 “ Untuk makluman , anda semua tidak akan dikurung setiap hari di bilik kuliah. Kamu bebas bergerak. Cuma jadual yang disediakan perlu dipatuhi sepenuhnya. Akan terdapat berbagai pengalaman semasa anda menjalani praktikal  diluar seperti di  pejabat-pejabat kerajaan umpamanya jabatan kerjaraya , sekolah-sekolah komuniti dan kompeni-kompeni yang berkaitan dengan bidang anda. Semua itu pasti akan menyeronokan …percayalah.” Katanya.
 “ Jika kamu mempunyai soalan  jangan malu untuk bertanya. Masalah anda adalah masalah kami juga. Ianya harus dikongsikan bersama supaya dapat diselesaikan dengan baik. .”
 “ Saya sebenarnya tidak bermasalah.Tapi sekadar ingin mendapatkan tip atau tunjuk ajar bagaimana untuk memikat gadis-gadis cantik di kampus ini…” Affendi menyakat Brian Astill. Semua yang berada di situ ketawa suka.
 “ Dari apa yang saya lihat , kamu memang bercakap
 

benar. Kamu seorang yang jujur. Kamu tidak ada masalah. Cara kamu membuat pertanyaan sudah cukup memikat. Jadi , saya yakin dalam jangka masa yang terdekat ini kamu akan punya ramai peminat. Tipnya ada pada kamu. Jangan malu untuk bergaul .”  Jawab Brian Astill. Pakar dalam subjek strategi pembelajaran.
 Kuliah yang mereka hadiri pada hari itu berakhir pada jam 4.00 petang. Azlan, Affendy dan Khalid beredar meninggalkan blok demi blok bangunan kampus. Kebanyakan dinding  bangunannya dibina dari batu bata merah daripada  pelbagai jenis dan jenama. Kedudukanya yang berhampiran dengan Sungai Torren itu menambahkan lagi kecantikan persekitarannya. Kampus ini memang sesuai sekali untuk dijadikan tempat belajar.
Sungai ini adalah di antara sungai yang dipilih untuk latihan-latihan sukan seperti berkayak dan sukan air ketika musim panas. Bunga–bunga liar berwarna kekuningan  yang memenuhi lanskap ciptajadi dan semulajadi di situ  bertompok-tompok seperti longgokan emas.
Ketenangan di situ dapat pula dirasakan apabila sebahagian dari daun-daun pokok willow terjuntai longlai mencicah di atas permukaan air yang mengalir.  Sesekali burung-burung menerkam menjunam ke air untuk menangkap ikan yang bergerak bebas. Selain itu terdapat juga pelajar yang asyik bemadu kasih tanpa memperdulikan orang  di sekeliling yang lalu lalang. Itu adalah panorama biasa di kampus seperti itu. Tidak ada pantang larang . Mereka bebas berbuat sesuka hati asalkan tidak keterlaluan.
 Bas Bee Line merayap berat di jalan raya mengikut kelajuan yang telah ditetapkan. Antara satu perhentian dengan satu perhentian yang lain perjalan mestilah diambil dala
 

anggaran masa lima ke sepuluh minit sahaja. Sekiranya bas sampai lebih awal , pemandunya akan menunggu sehingga waktu yang tercatat di jadual yang dilekat berhampiran dengan perhentian bas itu atau berpandukan pada  jadual yang disediakan untuk penumpang-penumpang yang boleh di dapati secara percuma di pejabat pengangkutan berkenaan. Itulah  satu sistem pengangkutan awam yang agak baik pernah mereka temui setakat ini yang melibatkan  pengangkutan awam lain seperti tram di bahagian timur Adelaide menuju pantai Glenelg. Penumpang dari golongan pelajar yang menunjukkan kad pelajar yang diperolehi dari universiti, kolej dan sebagainya  akan mendapat diskaun enam puluh peratus untuk kemudahan perjalanan yang meliputi seluruh bandar Adelaide. Tetapi ianya tidak melibatkan teksi-teksi bermeter yang mudah untuk dihubungi kerana ianya begitu banyak memenuhi jalanrayanya.
 Di penghujung perhentian nombor 27 B pusat Bandar Adelaide, mereka bertiga melangkah turun menuju ke Central Market . Di situlah tempat yang mudah untuk mendapatkan keperluan dapur dengan harga yang murah. Azlan membelek-belek peta jalan untuk mencari sebuah kedai barang yang menjual beras , ikan masin, Kicap Cap Aminah dari Malaysia seperti yang diceritakan oleh pelajar tahun akhir tajaan Kementerian Pendidikan pengkhususan dalam bahasa Inggeris.
 Kedai yang mempunyai tanda perniagaan The Asian Store dijumpai tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Mereka menjelajahi di segenap penjuru kedai dan membeli sebanyak mungkin barangan yang diperlukan .  Selesai sahaja urusan tersebut sebuah teksi membawa mereka pulang dengan bayaran bermeter sepuluh  dolar ke West Beach.
 Malam itu ialah tugas Affendy untuk memasak dibantu oleh Khalid. Dia memang pandai memasak. Semasa sama-sama belajar dulu dialah tukang masak nombor satu di rumah
 

sewaannya di Jalan Keretapi Sungai Petani Kedah. Azlan hanya untuk tugas-tugas mengemas di ruang makan dan bilik tidur serta membasuh pinggan apabila selesai makan. Masakan Affendy malam itu cukup sedap. Mereka makan macam tidak pernah menjamah nasi setahun lagaknya.
“  Engkau memang pandai masaklah Affendi…!.” Azlan memuji.
 “   Mestilah….. .” Balas Affendi bangga dipuji kawannya.
 “ Mamak Pinanglah katakana….!.” Celah Khalid bergurau.
 “ Haa… ! itu sudah perkara sensitive… sudah lebih ni…!.” Ujar Affendi seakan-akan marah dengan jelingan matanya yang membeliak.
 “ Alahh !! sejak menyeberang laut dan dapat kenalan baru ni , nak bergurau sikit pun dah tak boleh….!.”  Azlan memperli.
“ Oii…! Itu dah ke lain pulak…!” Balas Affendi yang mengerti maksud kata-kata itu.
 “ Aku kenal secara kebetulan saja semasa di perpustakaan. Dia ingat aku ni dari Pakistan. Sembang punya sembang aku …..aku dapati dia masih solo jadi aku ajaklah dia minum di kefeteria… salah ke ? lagi pun dia sekuliah dengan Ilias”  Terang Affendi  lagi.
 “ Dah kaki betina.. ada sajalah ceritanya tu…itulah inilah ….bukan baru kenal….!!.” Balas Khalid . 
 “ Eh ! engkau tu pun apa kurangnya….. dua-dua  sekali…..! di Rundle café petang tu…!” Affendi membalas.
 “ Itu cuma minuman perkenalan …tak apa-apa…! Jawab Khalid.
 “ Cukup-cukup…!.nanti jadi bunga tahi pula…. .” Celah Azlan meredakan gurau mereka yang kian panas.

 Suasana senyap apabila Azlan mencapai gitar tongnya yang baru dibeli dengan harga enam puluh dolar di Super Market Harris  berjenama Lark minggu lalu. Affendi sudah sedia dengan
 

penyikat rambut untuk digores mengikut rentak lagu latin. Mereka memainkan perlahan sahaja untuk tidak menggangu jiran di sebelah. Mereka terus berlagu. Besok hari Sabtu,tiada kuliah yang perlu dihadiri.
“ Haa…! Apa kata kita ronda-ronda-ronda besok ?” Tanya Khalid.
 “   Ronda ke mana?” Tanya Azlan kembali.
 “ Tak payah pergi jauh-jauh…dekat pantai tu kan bagus…! Boleh juga kita menjamu mata..!” Ujar Affendy memberi cadangan.
 “   Ya tak ya la….” Celah Azlan menyetujui.
 “ Kita boleh ajak Musa ,Helmi dan Rizal sekali, kemudian kita main takraw di situ. Biar dia orang hairan sikit. “ Sambungnya lagi.
 “  Tak sejuk ke ?” Tanya Khalid.
 “ Sejuk apa dah nak masuk musim panas dah ni…!” Balas Azlan.
 “ Kalau begitu ,tak payah nak rancang ke mana-mana lagi. Besok kita ke pantai saja.”  Affendi memberi kata putus.
 Malam kian melabuhkan tirainya. Suasana agak sepi di luar. Yang kedengaran hanyalah desiran ombak dan angin yang bertiup. Flat sewaan  mereka dengan pantai hanya lebih kurang lima ratus meter sahaja untuk sampai. Apa–apa aktiviti dapat juga dilihat dengan hanya menyelak tirai di tingkap. Affendy dan Khalid sudah masuk bilik kerana sudah mengantuk. Sementara Azlan ke biliknya. Dia tidak terus tidur tetapi entah kenapa tiba-
tiba dia teringatkan kampungnya. Tirai putih di jendela berhadapan dengannya ditarik ke sisi. Cahaya bulan yang mengambang banyak membawa erti kepadanya. Di saat –saat begitulah dia , Idrus dan Yahaya akan berkumpul dengan pelbagai cerita anak muda yang menyeronokan . Wajah demi wajah tertayang di hadapannya termasuklah wajah ibu dan bapa yang dikasihi, Haji Nordin ,Mak Ngah, Mak Lang malah wajah yang tidak mahu dikenang lagi pun turut berbaris seperti kawat cam di hadapannya. Wajah Siti Astella seperti tersenyum. Dia asyik melayani ingatan silamnya. Kenangan itu datang semula.
Surat pertamanya kepada Siti Astela dikirimkan melalui Asri jiran sebelah rumahnya.  Rumah kedai sederet dua tingkat.                                                                      
Selang empat hari lamanya baharulah surat itu berbalas. Sejak dari hari itu, Asri lah penghubung kasih antara mereka.                                                                                             
 Perhubungan itu rupanya, tidak kekal lama apabila Siti Astela telah ke Maktab Perguruan Tanjung Malim. Hanya dua tiga pucuk surat sahaja yang dikirimkannya sejak mereka berjauhan. Itu pun isi kandungannya hambar seakan tiada lagi kemesraan. Azlan bertambah kecewa apabila Asri memaklumkan kepadanya bahawa pada waktu cuti semester yang lalu Siti Astella ada  membawa pulang seorang kawan lelaki dan hampir dua minggu kawannya itu tinggal dikamoung  bersama sepupunya yang tinggal di hujung rumah sederet itu. Mereka kelihatan begitu intim ke sana ke mari . Ibu bapanya juga seperti tidak pernah melarang. Azlan yang berasa hampa di ketika itu lalu menulis sepucuk surat yang berbunyi :

……………………..
Moga engkau berada di kondisi yang bahagia dan aku seperti hari-hari yang pernah engkau tahu…. berada dalam keadaan sihat juga. Rasanya tiada apa lagi yang penting untuk aku ucapkan melain sekadar bertanyakan khabar.
 Sejak kita bercerai-cerai pandangan dan ketika engkau sudah jauh dari ku, jarang sekali suratmu dapat kutatap. Aku begitu merinduinya.
Namun keadaan telah berubah. Aku dapat merasakan bahawa perhubungan  kita sudah kian jauh. Mungkin sudah tidak dapat
 

didekatkan lagi. Engkau bergerak tanpa menoleh ke belakang sedang aku tidak bisa melangkah walaupun setapak ke hadapan. Apa pun ketahuilah, bahawa aku juga sedang berusaha ke arah hidup yang cemerlang, cuma masa dan ketikanya bukanlah urusan ku sendiri. Aku hanya berserah kepadaNya.
Kita tidak dapat mengubah masa. Masa terus bergerak dan tak akan kembali. Dan tidak salah jika aku katakan bahawa engkau juga telah tidak seperti dulu. Maaf…! aku  seperti menuduhmu dengan tuduhan yang bukan-bukan. Namun, perkhabaran yang aku perolehi sudah cukup untuk meletakkan di mana dan siapa aku sebenarnya.

Akhir kata, ketahuilah bahawa aku masih menyayangi mu seperti dulu.
Azlan.
 
Tanpa disedari tangannya menarik semula tirai putih di jendela dan tertutuplah  keindahan cahaya bulan di langit sekali gus melupakan secalit kenangan sedihnya buat seketika  di malam itu.

No comments:

Post a Comment