Sheryn sudah tiga hari tiada di rumah.Dia seorang yang sibuk
sekarang.Tugasnya banyak diluar.Kadang-kadang dia terpaksa berada
di dua tempat dalam satu masa. Kalau pulang dari tugas luar dia sudah
keletihan. Mereka tidak berpeluang untuk berbual seperti sebelumnya.
Apa yang dikhuatiri oleh Sheryn sebelum menerima jawatan itu sudah
benar-benar berlaku. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menerima
hakikat itu. Perasaan cemburu juga sudah mula berputik di dalam hati
Azlan apabila Sheryn kerap kali dihantar pulang oleh seorang jejaka
sebaya dengannya. Justin pernah diperkenalkan kepada Azlan sebelum
ini. Dia adalah rakan setugas Sheryn. Sheryn juga sudah bertambah
mesra dengan Justin. Dia selalu datang untuk berbual-bual di rumah
apabila Azlan tiada. Sheryn pernah memberitahu Azlan bahawa
hubungannya dengan Justin hanyalah sekadar hubungan rakan setugas
dan tidak lebih daripada itu. Malah semua aktiviti di luar yang kerap
mereka hadiri berkaitan dengan tugas juga. Perubahan itu semakin
ketara, tetapi Sheryn tetap mempertahankan alasannya apabila ditanya.
Keadaan itu menyebabkan Azlan berasa seperti tidak dipedulikan lagi.
Dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana tidak punya ikatan yang
membolehkan dia bersuara dengan lebih tegas. Dia mengambil jalan
untuk mendiamkan diri walaupun perasaannya terganggu. Waktu-waktu
bersendirian dia banyak memikirkan tentang keadaan dirinya. Dia sudah
seperti seorang pemikir. Keadaan telah mengajarnya. Dan dia mulai
sedar akan kesilapan yang telah berlaku. Sesuatu mesti dilakukan .Dia
tidak boleh berterusan begitu. Dia mesti kembali kepada sarung dirinya
yang asal .Dia mahu berada di dalamnya. Keadaan yang ditempuhi
sekarang bolehlah diibaratkan seperti seorang yang telah merantau jauh
tanpa tujuan dan hidup pula dalam kesengsaraan yang ditempahnya
sendiri.
Walaupun rumahnya untuk pulang telah nampak dengan jelas
tetapi untuk memasukinya, didapati kunci pintunya pula telah hilang.
Untuk berada di dalamnya semula kunci itu mesti dicari. Di manakah
kunci itu?. Kepada siapakah harus ditanya? Setakat ini tiada siapa yang
boleh membantunya, kerana semua itu adalah sesuatu yang berlaku dari
dalam dirinya. Punca kepada apa yang telah terjadi mesti dicari.
Kelemahan yang ada juga perlu di atasi. Kalau dahulu, perjalanan
hidupnya terbabas disebabkan oleh keadaan persekitaran, jadi adalah
ebih baik jika dia menggunakan keadaan dan persekitaran yang ada
sekarang untuk mencorak semula warna dirinya seperti sebelum itu.
Dari pagi hinggalah ke tengah hari dia berkurung di dalam
biliknya. Dia hanya keluar dari bilik itu apabila terasa lapar dan
memakan buah-buahan yang terdapat di dalam peti sejuk.
Ketika melayani fikirannya yang berserabut itu, dia teringatkan
seseorang. Wajah lembut dan manja itu seakan-akan tersenyum pula
kepadanya. Dia bingkas bangun. Dompet duit dikeluarkan dari poket
seluarnya. Dia menarik sekeping kertas kecil yang tertulis alamat dan
nombor telefon gadis itu. Mereka telah bertemu secara kebetulan
semasa mengadakan lawatan di National Gallery, Melbourne. Waktu itu
dia sedang memerhatikan lukisan-lukisan primitif yang terlekat di
dinding ruang pameran. Dia baru teringatkan janjinya yang belum
tertunai. Janji untuk bertemu dengan gadis itu bila telah kembali ke
Adelaide. Tetapi kesibukan membuatkan dia kerap kali terlupa. Dia
bergerak ke meja telefon di ruang tamu. Nombor ( 08 ) 82317790
ditekan. Dia mengharapkan sesuatu.
“ Hello, selamat pagi? ”
“ Ya , selamat pagi. Mahu berbicara dengan siapa ?
“ Apa bisa saya berbicara dengan Kartika,”
“ Sebentar ya,”
“ Hello, Kartika di sini,”
“ Maafkan saya kerana menggangu,”
“ Enggak mengapa,”
“ Saya Azlan, err…. kita pernah bertemu di Melbourne dua bulan
yang lalu. Apa masih ingat pada saya?”
“ Oh ya ! pelajar dari Malaysia. Saya masih ingat, Azlan kan ?
yang berambut afro gitu, katanya mahu ketemu, kok baru sekarang
menelefon?”
“ Sebenarnya saya terlalu sibuk. Tetapi hari ini saya punya
banyak waktu yang terluang. Dan kalau bisa, saya ingin bertemu dengan
kamu di Festival Theatre jam 2.00 nanti,”
“ Saya juga tidak ke mana-mana, tetapi untuk keluar, saya harus
mendapatkan keizinan daripada Paman Kustino dan ibu Yuyi terlebih
dahulu. Kalau begitu sebentar ya saya bertanyakan kepada mereka,”kata
Kartika. Dia berlari untuk mendapatkan keizinan daripada pamannya
yang ketika itu berada bersama ibu Yuyi di muka pintu ruang tamu dan
sedang memakai kasut untuk ke tempat kerja di Restoran Bunga Raya.
“ Hello Azlan! Saya sudah mendapatkan permisi daripada
mereka tetapi saya mesti pulang sebelum hari malam, bisa enggak ?”
“ Kalau begitu, bisa saja. Jangan lupa ya!” Pesan Azlan.
Dari South Road, Kartika menaiki bas ke Festival Theatre.
Perjalanan itu mengambil masa sekitar dua puluh minit. Dia turun
sebaik sahaja sampai di perhentian yang pertama. Azlan ketika itu sudah
pun tercegat tidak jauh dari situ menunggu dengan senyuman yang
menguntum. Dia memerhatikan lenggok gadis yang sedang menuju ke
arahnya. Kartika memakai seluar jean berwarna biru dengan baju putih
dibaluti oleh jaket kulit berwarna coklat. Kulitnya yang putih memang
sesuai dengan pakaian sebegitu. Cuaca petang itu menjangkau 15 darjah
Selsius. Azlan sekali lagi terpukau dengan senyum manis Kartika yang
sentiasa terukir di bibirnya. Senyuman yang membuatkan aku tidak
dapat melelapkan mata. Bisik hati kecilnya.
“ Ya Azlan ! Apa khabar,” sapa Kartika sambil menghulurkan
tangannya. Mereka bersalaman. Lalu duduk di sebuah kerusi berukirkan
bunga daripada keluli tidak jauh dari situ. Burung-burung merpati
berterbangan sebaik sahaja mereka merapati tempat itu.
Tempat itu memang sesuai bagi mereka yang baru berkenalan.
Suasananya tenang. Terdapat banyak spesis burung yang berterbangan
dan turun melata di atas rumput yang menghijau. Pokok-pokok di
sekitarnya sudah tidak mempunyai daun lagi. Gugur mengikut
musimnya sementara ranting-rantingnya masih segar dan akan
bergoyangan dengan singgahan burung-burung kecil yang hinggap di
atasnya silih berganti. Di hadapan mereka kelihatan sebuah kapal kecil
sedang belayar dengan tenang membawa penumpang dan pelancong-
pelancong meredah dan menyusuri dan menikmati keindahan yang
terdapat di sepanjang Sungai Torren itu. Mereka memerhatikan semua
itu tanpa bicara.
Sehinggalah Azlan memulakan perbualan.
“ Terlebih dahulu izinkanlah saya untuk menggunakan perkataan
aku semasa berbicara dengan mu. Kerana perkataan itu sudah sebati
dengan diriku sejak dari kecil lagi, ”
“ Aku juga gemar dan senang sekali membahasakan diriku, dengan
perkataan aku atau Ika.”
“ Kalau begitu mudahlah jadinya, tetapi engkau hari ini
kelihatannya lebih banyak tersenyum dari berbicara, kenapa?”
“ Entahlah, aku sendiri tidak tahu apa yang hendak dibicarakan,”
“ Bicarakan apa-apa sahaja!”
“ Bicara tentang apa ya?”
“Tentang dirimu, keluargamu atau ……pacarnya!”
“ Kok sampai ke pacar-pacaran, mana bisa aku kemari kalau
sudah berpacaran ! Terus terang, aku belum mempunyai pacar.
Mungkin kerana
aku tidak secantik gadis Australia makanya aku tidak diminati atau
kerana tidak banyak keluar dengan teman-teman sekuliah. ” Kartika
mula menunjukkan keramahannya.
“ Kalau begitu, mulai dari hari ini aku akan menemanimu ke
mana saja yang engkau mahu,”
“ Nanti apa pula kata cewekmu,”
“ Cewek?”
“ Ya, cewek yang bersamamu di Melbourne tempuh hari,”
“ Oh itu, dia hanya sekadar kawan biasa dan sekarang ini begitu
sibuk dengan tugasnya di Sydney. Entah kapan pulangnya aku sendiri
tidak tahu. Walau apapun aku kira tentu tidak enak bercerita tentang hal
orang lain sedangkan kita ke mari untuk mengenali antara satu sama
lain, bukan kah begitu?”
“ Benar juga ya, dan kalau begitu engkau sajalah yang
mulakannya,”
“ Itupun sekiranya engkau tidak keberatan,”
“ Aku sedia mendengar apa sahaja yang engkau ingin katakan,”
“ Baiklah, untuk pengetahuanmu, tujuh bulan lagi aku akan
pulang.
Pulang dengan kejayaan hendaknya. Banyak sekali perkara baru yang
telah dan akan aku perolehi di sini. Namun aku juga telah banyak
mengalami kerugian dan kehilangan. Suatu kehilangan yang tidak
mampu aku dapatkan kembali tanpa sokongan dari pihak yang lain,”
Azlan
terhenti sambil menghisap rokok. Dan dia menghulurkan sebiji gula-
gula pepper mint kepada Kartika. Dia kemudiannya menyambung
semula kata-katanya.
“Sehingga kini aku tidak punya tempat untuk mengadu dan ia
adalah sesuatu perkara yang rumit. Kerumitan itu sedang mengganggu
fikiranku. Apa yang aku alami ketika ini bolehlah diibaratkan seperti
seorang yang sedang belayar di lautan yang bergelora dengan tiang
layarnya yang patah. Ianya akan karam pada bila-bila masa tanpa
pertolongan daripada anak-anak kapal yang lain,” Kata Azlan. Kartika
diam dan tidak berkata apa-apa kerana dia cuba untuk memahami
maksud kata-kata anak muda yang baru dikenalinya itu. Dia juga sudah
tertawan dengan gaya dan cara anak muda itu berbicara.Sungguh
menyenangkan.
“ Terus terang aku katakan pada mu, bahawa aku perlukan
bantuan dan sokongan moral untuk meneruskan hari-hari yang akan
mendatang. Aku memerlukan bantuan dari segi rohani. Sejak aku
kemari, keimananku tidak ampuh lagi. Aku sudah jauh daripada
mengingati-Dia.
Aku juga telah mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang Islam.
Keimanku kian longgar. Sudah goyah. Namun aku sedang berusaha
untuk meneguhkannya semula,” ujar Azlan dengan nada yang
bertambah sayu. Dan dari saat itu dia tidak lagi dapat untuk menatap
muka Kartika.
Dia malu dengan dirinya. Keinsafan telah mula mengintai di celah hati
nalurinya. Kartika hanya bungkam. Dia sudah memahami malah turut
merasa simpati dengan apa yang telah didengarkan kepadanya. Tetapi
mengapa kah dia yang dipilih untuk mendengar segala keluhan itu?
Mengapa dia?
“ Ika, sudikah engkau untuk membantu ku? Aku tidak perlukan
duit ringgit atau harta yang banyak tetapi aku cuma perlukan sesuatu
yang berbentuk rohani. Aku perlukan bimbingan dari mu. Tanpa
bantuanmu,aku kira kapalku akan tenggelam. Setakat ini engkaulah
sandarannya. Aku sendiri tidak tahu kenapa engkau yang aku pilih
untuk menyatakan semua ini. Yang pasti, ada sesuatu yang boleh ku
harapkan daripada mu,” Azlan tunduk. Dan mengangkat kepalanya
memandang Kartika dengan penuh harapan.
“ Aku faham dan cukup mengerti. Aku juga bersimpati
terhadapmu. Tetapi engkau juga harus tahu bahawa kita sebagai
manusia tidak bisa lari dari melakukan dosa. Kebaikan ada di mana-
mana. Yang buruk juga akan banyak kita ketemui. Kita yang mencorak
kehidupan ini.
Akal yang diberikan Allah adalah sempurna. Cuma kita yang tidak tahu
menggunakannya. Aku sendiri tidaklah seperti yang engkau sangkakan.
Didikan agamaku juga tidaklah sehebat mana. Cuma aku tidak pernah
mengabaikan pesanan daripada kedua orang tua ku. Aku sentiasa patuh.
Pengalaman hidup mereka sungguh banyak. Banyak perkara dan tragedi
yang telah mereka harungi. Jadi jika ada pesanan dari mereka tentu
ianya sesuatu yang baik untuk dijadikan panduan. Orang tuaku pernah
berpesan. Dan aku amat patuh kepada pesanan itu,” Kartika pula yang
terhenti. Dia juga teringatkan orang tuanya di kampung. Azlan yang
tidak sabar terus sahaja bertanya.
“ Apakah pesanan mereka?”
“ Jangan tinggalkan solat. Kerana solat itu ibadah dan ia
merupakan tiang agama. Tanpa tiang atau asas yang baik, sebuah rumah
itu akan runtuh, reput ditelan waktu. Itulah yang selalu ditekankan oleh
kedua orang tuaku daripada kecil lagi.” ujar Kartika penuh kelembutan.
Dia juga seorang yang pandai mengungkap kata-kata. Malah ungkapan
yang terbit dari mulutnya itu telah mula memberi kesan yang mendalam
di dalam benak Azlan.
“ Kata-katamu memang benar. Aku adalah rumah yang engkau
maksudkan itu. Rumah yang tiangnya sudah lemah. Sudah hampir
mencium bumi,” kata Azlan dengan nada kesal.Raut wajahnya
menampakkan segalanya.
“ Pokoknya, terletak pada kita,dan dalam soal ini ianya adalah
beban yang mesti engkau tanggung. Engkau tidak bisa lari daripadanya.
Oleh kerana engkau yang merebahkan dan adalah lebih baik jika engkau
pula yang menegakkannya semula. Perlu juga diingat bahawa Ika tidak
bisa menjadi Azlan dan begitulah sebaliknya. Orang seperti aku hanya
dapat membantu dari luar tetapi tidak dapat menembusinya ke dalam.
Kerana ia adalah kerja yang bersangkutan dengan hati naluri yang tulus
dan bukannya dari hati sanubari yang condong ke arah kejahatan,” kata
Kartika lagi sambil membetulkan jaket coklatnya.
“ Bagaimana pula dengan dosa-dosa aku yang banyak?”
“ Lupakah engkau bahawa Allah itu Maha Pengasih dan
Penyayang? Lupakah engkau? Azlan, hampirilah kepada-Nya walaupun
dengan segunung dosa pasti-Dia akan mengampunkan hambanya yang
bertaubat asalkan tidak menyekutui-Nya.”
“ Terima kasih Ika. Kerana kata-katamu itu telah menyedarkan aku
kembali. Engkau telah menemukan aku dengan kunci yang selama ini
telah hilang,” balas Azlan.
“ Tentu engkau berasa lega dengan luahan tadi,kan?”
“ Ya, aku dapat merasakannya,”
“Kalau begitu, usahlah berlengah untuk membuat kebaikan.
Sekembali nanti tegakkanlah tiang itu semula, insyaallah engkau akan
mendapat ketenangan. Janganlah ada perasaan ragu terhadap Allah,”
pinta Kartika. Dia sesuai untuk menjadi seorang pembimbing. Kerana
seorang pembimbing adalah seorang pendengar yang baik. Ciri-ciri itu
ada padanya.
Kartika membelek-belek jam Seiko di tangan kirinya. Sudah
pukul 4.00 petang. Dia tidak terasa betapa pantasnya masa berlalu.
Azlan mengajak Kartika makan di Eros Quzeri Café di Rundle Street
sebelum menghantarnya pulang dengan teksi.
Sampai di rumah, keadaan masih sepi. Tiada tanda-tanda Sheryn
sudah pulang. Kebiasaanya bunyi muzik akan kedengaran dari ruang
tamu. Azlan bergegas ke bilik mandi. Dia mengambil wuduk.Dia mahu
sembahyang kerana waktu asar masih panjang. Sejadah yang sudah
terlipat beberapa lama di dalam beg pakaiannya itu dibuka dan dia
mengangkat takbir.
Allahu akhbar !!
Selepas memberi salam Azlan menangis sendirian.Dia meratapi
keadaan dirinya. Dia menyesal dan memohon keampunan daripada
Ilahi.
Dia bermunajat sebanyak-banyaknya. Dia sudah mula merasakan
sesuatu yang baru. Hatinya makin diterangi cahaya kesedaran. Tetapi
masih ada
yang perlu dihindarinya. Sesuatu yang sukar untuk dia membuat
keputusan. Apa sekalipun Sheryn perlu dijauhi. Dialah salah satu
penyebab kepada semua ini.Bagaimana untuk menghidarinya? Apa
yang mesti dilakukan? tanya hati kecilnya. Azlan bergelut dengan
pelbagai persoalan.Bermacam-macam bisikan yang menerpa di
fikirannya. Sheryn tidak bersalah…..! yang bersalah ialah engkau…!
Azlan beberapa kali tersentak daripada menungannya sementara
menanti waktu maghrib. Dia sedar yang dia tidak menggunakan akal
dengan sepenuhnya. Dia seorang hidonis. Lalai dan terpesona dengan
kenikmatan dunia yang tidak kekal.
Semua persoalan telah bercampur baur.Dia keletihan.Dia tidak sanggup
menjawab pertanyaan dari dalam dirinya sendiri. Sekalipun begitu dia
sudah bertekad untuk berubah.
Malam itu dia membuka surah Yasin yang tersimpan di dalam
beg yang terletak di atas almari. Bacaannya tersangkut-sangkut. Namun
diteruskan juga. Selesai pembacaan itu perasaannya menjadi lega dan
fikirannya kembali tenang. Ketenangan yang selama ini dicari baru
sedikit diperolehi. Pemilihannya tepat. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi
yang telah menemukannya dengan Kartika. Kalau tidak dengan izin-
Nya tentu mereka tidak akan bertemu. Tentu pula dia akan terus-terusan
diselubungi oleh dosa dan kemaksiatan.Sedarlah dia bahawa sesuatu
yang terjadi itu adalah kerana pujukan syaitan. Kerana kealpaan dan
kelalaian itulah dia telah diperangkap dan terperangkap.
* * *
Malam itu sekali lagi Sheryn dihantar pulang oleh Justin. Apabila
mendapati Azlan masih belum pulang, dia telah menjemput Justin
masuk.
Mereka berbual-bual di ruang tamu dan tak cukup di situ melarat pula
ke bilik Sheryn kemudian pintunya ditutup rapat.
Setelah setengah jam mereka berada di dalam, pintu rumah itu
diketuk beberapa kali dari luar. Sheryn terhenti daripada bualannya. Dia
membuka pintu biliknya dan berlari-lari anak ke ruang tamu . Belum
sempat pintu dibuka Azlan sudah tercegat di situ. Dia tidak senyum
seperti selalu. Mukanya bersahaja. Sheryn panik dengan lagak Azlan
yang tidak seperti dulu. Azlan terus menuju ke biliknya. Sempat pula
dia menjeling ke arah pintu bilik Sheryn yang sedang ternganga. Dia
tidak memperdulikannya walaupun ada kelibat seseorang di dalamnya.
Dia tahu siapa yang berada di dalam bilik itu. Kereta di luar pagar
adalah kereta milik Justin. Tentu lah dia yang berada di situ.
“ Ke mana engkau telah pergi Azlan ? Sudah lima hari engkau
tidak pulang. Engkau buat aku risau,” kata Sheryn sambil mengekori
Azlan dari belakang.
“Aku tidak jauh, cuma berada di rumah kawan,”
“ Kenapa mesti ke rumah lain sedangkan rumah ini adalah
tempat tinggal kita?”
“ Saya runsing dan kesunyian,” Azlan memberi alasan sambil
memasukkan buku-bukunya ke dalam sebuah kotak yang masih kosong.
Sheryn hilang seketika. Dia menghantar Justin ke muka pintu. Justine
tidak mahu mendengar bualan mereka yang semakin panas. Dia
memohon diri untuk pulang.
“ Engkau telah berubah Azlan,”
“ Dan engkau juga begitu,”
“ Aku tidak faham, apa maksudmu.?”
“ Maksudku kita berdua sama-sama telah berubah,”
“Adakah ianya kerana Justin?”
“ Tidak. Dia tidak termasuk dalam apa yang kita persoalkan
sekarang?
“ Kalau begitu kenapa? Adakah aku telah menyakiti hatimu?
Cakaplah Azlan apa yang sebenarnya telah berlaku,” Sheryn meminta
penjelasan.
“ Bukan engkau yang telah menyakiti hatiku. Dan selama aku di
sini, selama mendiami rumah ini engkau juga tidak pernah melakukan
kesalahan kepada ku. Malah engkau cukup baik. Aku berterima kasih di
atas semua itu tetapi, ketahuilah…,” Azlan berhenti menarik nafas
panjang.
“ Ketahuilah apa Azlan?”
“ Ketahuilah bahawa selama ini akulah yang bersalah. Aku telah
membohongi engkau dan telah membohongi diriku sendiri.Aku telah
lupa siapa diriku yang sebenar, Aku juga telah melakukan sesuatu yang
tidak sepatutnya kepada dirimu. Aku memang tidak berguna Sheryn!”
“Aku masih keliru dan tidak faham dengan semua ini,” Sheryn
menghempaskan punggungnya di tepi katil Azlan.
“ Memang engkau tidak akan faham. Sebab engkau bukannya
aku. Sedang aku sendiri sukar untuk memahami diriku selama ini,”
balas Azlan sambil menekan-nekan kepalanya. Sheryn memerhatikan
Azlan dengan seribu persoalan. Dia tidak pernah bersikap sedemikian
rupa. Dulu dia seorang yang periang. Dan dia tidak pernah meninggikan
suara bila mereka bertengkar. Tetapi tidak pada hari itu. Dia juga sudah
menjadi bingung.
“ Bawa bertenang Azlan. Ceritakanlah kepadaku apa sebenarnya
yang mengganggu fikiran mu ketika ini,”pinta Sheryn.
“ Terus terang aku katakan bahawa kita sudah tidak boleh hidup
bersama lagi. Kita mesti putuskan hubungan ini. Hubungan yang tidak
sah, ” kata Azlan serius memandang kepada Sheryn.
“ Semudah itu, Azlan ? bentak Sheryn.
“ Ya, semudah itu,” balas Azaln pendek
“ Bukankah selama ini kita saling cinta mencintai?
“ Cinta kita hanyalah bersifat sementara. Palsu dan dipengaruhi
oleh nafsu semata-mata,”
“ Tapi!”
“ Tiada tapinya Sheryn,”
“ Aku tidak sangka engkau sanggup melakukan semua ini
terhadapku,”
“ Ketahuilah Sheryn, selama ini aku tidak pernah membenci mu.
Cuma satu pintaku, dan jawablah pertanyaan ini dengan seikhlasnya,”
“ Katakanlah,”
“ Jika benar engkau mencintaiku, sudikah engkau memeluk
Islam,” tanya Azlan.
“ Perlukah aku berbuat begitu untuk membuktikan cintaku
kepadamu?”
“ Ya,”
“ Tidak cukupkah dengan apa yang kita miliki dan kecapi selama ini? ”
“ Nikmat yang tidak halal maksud mu?”
“ Baru sekarang engkau mempertikaikannya. Kenapa sebelum ini
engkau tidak pernah menerangkan kepada aku semua itu? Tidak juga
mengajar aku tentang Islam? Kenapa? Pembohong!” berdesing telinga
Azlan mendengar tengkingan Sheryn.
“ Aku dapat mengagak siapa yang telah meracuni fikiranmu.
Tentu gadis Indonesia itu,kan?”
“ Hal ini tidak ada kena mengena dengan dia. Dan jangan kaitkan
dia dalam hal ini,”
“ Sejak engkau bertemu dengannya, aku sudah dapat merasakan
bahawa hubungan kita akan renggang suatu hari nanti,”
“ Telah aku katakan, bahawa dia tidak tahu apa-apa. Jangan
babitkan dia lagi,”
Sheryn terdiam. Mata birunya sudah digenangi air mata.”
“Maafkan aku Sheryn kerana telah menyusahkan engkau. Walau
bagaimanapun aku tetap akan menerimamu sekiranya engkau sudi
untuk memeluk Islam. Jika tidak, aku tidak ada pilihan, aku terpaksa
meninggalkanmu. Dan kita tidak akan hidup bersama lagi. Fikirkanlah
semasak-masaknya sebelum engkau memberikan jawapan. Aku akan
kembali lagi ke sini seminggu dari sekarang,” kata Azlan sambil keluar
ke ruang tamu untuk menelefon teksi. Sebahagian daripada pakaian dan
beg-begnya telah dibawa bersama. Sheryn ditinggalkan sendirian. Dia
bersyukur kerana telah dapat meluahkan apa yang terbuku di hatinya
selama ini. Itulah kemelut yang sukar untuk di atasi. Tetapi malam itu
dia telah berjaya melakukannya.
Teksi terus membawa Azlan menuju ke Glenelg seperti yang
diarahkan. Azlan ke rumah sewa yang baharu diduduki oleh Khalid dan
Affendi.
“ Suka tak suka aku mesti tinggal dekat sini,” Kata Azlan sebaik
sahaja sampai di muka pintu rumah itu. Khalid dan Affendi agak
terkejut dengan apa yang disaksikan oleh mereka ketika itu. Azlan
kelihatan sugul. Pakaiannya juga sudah tidak kemas. Kalau dulu semua
mesti disisip ke dalam tapi malam itu dia kelihatan seperti tidak terurus.
“ Apa hal ni Lan, malam-malam begini dengan beg dan kotak-
kotak ni?” Tanya Khalid.
“ Aku nak tinggal dengan kau orang. Kalau tak ada bilik, dekat
dapur pun aku tak kisah.”
“ Rilekslah dulu, apa kena dengan kau ni! Engkau bergaduh
dengan Sheryn ke?” Tanya Affendi pula.
“ Bukan bergaduh, tapi aku tak mahu tinggal dekat sana lagi.
Aku tak mahu menambahkan dosa,” katanya lagi. Mukanya muram.
Mendengar kata-kata itu fahamlah mereka bahawa Azlan sudah sedar
akan kesilapannya. Dan sudah mahu kembali ke jalan yang diredhai
Allah. Khalid mengangkat beg-beg dan kotak-kotak Azlan ke bilik
belakang.
“ Ini bilik engkau Lan, tak payahlah nak duduk dekat dapur pula.
Engkau berehatlah dulu dan kalau lapar ambillah makanan di bawah
tudung atas meja tu,” kata Khalid.
“Bagaimana pula dengan Sheryn Lan,” tanya Affendi .
“ Seminggu lagi aku akan kembali ke sana dan bertanyakan sama
ada dia sudah bersedia atau tidak untuk memeluk Islam,”
“ Agak-agak engkau dia bersetuju tak?”
“ Entahlah aku sendiri tidak pasti. Biarlah takdir saja yang
menentukan semua itu. Aku tidak punya kuasa apa-apa ke atasnya,”
kata Azlan yang sudah terlentang di katil.
* * * * * *
Hari yang dinantikan oleh Azlan sudah tiba. Keputusan mesti
diketahuinya dengan segera. Petang itu dia ke rumah Sheryn. Berkali-
kali dia mengetuk pintu. Sheryn keluar membuka pintu.
“ Masuklah Azlan,”
“ Terima kasih Sheryn. Aku tidak boleh lama di sini.Kedatangan
aku cuma untuk mendengar jawapan dari mulut mu,”
“ Beginilah Azlan,. masa tujuh hari yang engkau berikan
sebenarnya tidak mencukupi. Aku perlukan lebih banyak waktu untuk
memikirkannya. Ia adalah sesuatu yang tak pernah diduga olehku
selama ini. Aku tidak mampu untuk membuat satu keputusan yang
drastik, kerana ia juga akan melibatkan masa depanku. Aku perlu
berhati-hati, ”
“ Tak apalah Sheryn. Aku mengerti situasimu. Apa pun aku
sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kerana
sudi menjadi teman yang selalu membantuku di saat aku memerlukan.
Jasa mu akan tetap aku kenang. Harap engkau dapat memaafkan aku. Ini
kunci rumahmu, dan apabila bil-bil berkaitan dengan rumah ini sampai
di akhir bulan, hubungilah aku di rumah Affendi. Aku akan
menjelaskannya nanti.”
“ Aku pun memohon kemaafan daripada engkau. Sesungguhnya
aku senang berada di sampingmu tetapi apakan daya, moga engkau juga
tidak membenciku Azlan,”Sheryn lantas memeluk Azlan buat kali yang
terakhir sebelum membiarkannya melangkah keluar untuk menaiki teksi
yang sedang menunggu. Azlan tidak kesal dengan tindakannya itu.Dan
dia juga tidak menyimpan perasaan marahnya terhadap Sheryn. Semua
yang berlaku sudah disuratkan dan mempunyai hikmah di sebaliknya.



No comments:
Post a Comment