Tuesday, October 23, 2012

 


BAB – 8. PERKHABARAN

Baki cuti Azlan masih tinggal dua hari sahaja lagi. Dan ianya akan menjadi empat hari termasuk hari Sabtu dan Ahad. Sepanjang masa itu dia hanya berkurung di dalam rumah bersama-sama Sheryn dengan menonton televisyen dan makan tidur. Tidak ada aktiviti lain yang dijalankan. Mereka berehat sepuas-puasnya.

Hari Sabtu, ketika sedang membaca sebuah majalah lama, Sheryn tiba-tiba bergegas bangun dari pembaringannya di sofa menuju ke pintu. Dia ternampak posman sedang memasukkan sekeping surat berwarna kuning ke dalam peti surat di pintu pagar rumahnya. Surat itu diambil tetapi tidak terus membukanya. Perasaannya cemas apabila mendapati di luar sampul surat itu terpampang dengan lambang dan perkataan yang tertulis Adelaide High Court, South Australia. Sambil membelek-belek surat itu dia berjalan masuk ke ruang tamu dan berbaring semula di sofa. Dia memberanikan dirinya. Dan sampul surat itu dikoyakkan dengan cermat di bahagian sisinya. Kemudian sekeping kertas yang masih berlipat dikeluarkan. Sejurus selepas itu dia menjerit dan melompat kegirangan. Azlan yang baru keluar dari bilik mandi terkejut dengan aksi Sheryn pada pagi itu. Dia tidak pernah menjerit sekuat itu sejak mereka berkenalan. Tetapi hari itu kelakuannya berbeza. Sheryn menerpa ke arah Azlan dan memeluknya. Hampir sahaja terlondeh tuala yang tidak diikat kemas itu dari pinggangnya. Azlan makin hairan sambil memegang tuala agar ianya tidak jatuh.
  “ Eh, engkau kena loteri ke ?”
  “ Aku dah berjaya Lan ! ”
  “ Berjaya apa ?”
 “ Aku telah ditawarkan sebagai pentermah bahasa di Adelaide Court.”
“ Tahniah Sheryn, dan engkau sungguh beruntung. aku turut menumpang gembira,”
“ Aku juga berterima kasih kepada engkau kerana telah banyak memberi tunjuk ajar bila diperlukan,”
“ Baiklah  untuk meraikan kejayaanmu marilah kita keluar makan pizza dan minum cuppucino di Cactus Mexican Café,” pinta Azlan.
Sheryn menelefon teksi dan mereka dibawa menuju ke pusat Bandaraya Adelaide.
“ Tentu aku akan sibuk selepas ini,”
“ Kalau tidak mahu sibuk,lebih baik engkau duduk dekat rumah dan tidur,”
  “ Bukan itu maksudku Azlan, ”
  “ Habis apa pula yang merisaukan engkau ?”
 “ Yang merisaukan aku ialah masa untuk kita bersama.Ianya akan terbatas kerana tugas yang tidak menentu waktu,.”
“ Engkau patut berterima kasih kepada mereka yang telah memilih engkau untuk menjawat jawatan itu,dan usahlah difikirkan tentang aku. Pandailah aku membawa diri nanti,”
“ Untuk bercakap memang senang. Semudah menyebut abc, tetapi aku mahu selalu bersama mu, mengerti ?”
“ Aku faham. Tapi tidakkah nanti engkau akan merasa jemu dengan ku ?”
“ Masakan begitu jadinya. Engkau seperti tidak mempercayai aku lagi,”
“ Itu bukan pokoknya ceritanya. Walau apa pun terimalah jawatan itu dulu. Kalau tidak, engkau akan menyesal,”
Perbualan mereka terhenti apabila pelayan membawa pizza dan minuman cuppucinoyang dipesan.
“ Jangan lagi difikirkan apa-apa . Kita ke mari untuk meraikan kejayaan mu,jadi kenapa kita mesti bertengkar! ” Kata Azlan sambil menjamah pizza yang masih panas di depan mereka. Sheryn menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Azlan itu.
“ Selepas makan aku nak ke AdelaideCourt, aku nak dapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai jawatan tersebut sebelum menerimanya. Engkau nak ikut?” Ajak Sheryn.
“ Engkau sahajalah yang pergi, aku pun ada urusan di kampus. Sekurang-kurangnya untuk mendapat keputusan peperiksaan yang lalu,” kata Azlan.
Semua kawan-kawannya  telah lama sampai di kampus itu. Mereka berada di hadapan pejabat pengurusan berhampiran dengan bilik Geoffe Penhall.
“ Selamat pagi Geoffe!” Kata mereka sebaik sahaja pintu bilik Geoffe dikuak keluar.
“Ya, selamat pagi semua. Emm…bagaimana dengan percutian ?”
“ Semuanya Ok! Dan berjalan lancar.  Tetapi bagaimana pula dengan keputusan peperiksaan kami?” Tanya Azlan.
“ Oh, hal itu, kamu semua jangan khuatir. Ini ada saya bawakan transkripnya. Kamu  boleh bergembira dengan keputusannya,” kata Geoffe sambil menghulurkan trankrip itu kepada mereka sehelai demi sehelai. Tidak ada daripada mereka yang gagal.

“ Itu berita yang menggembirakan. Tetapi, saya juga ada sesuatu yang perlu dibincangkan. Perkara yang mungkin akan mengejutkan semua,” katanya lagi. Serius.
“ Berita apa pula  Geoffe? ”Tanya Salmah ingin tahu.
“ Untuk mengetahuinya, kamu semua dikehendaki ke bilik kuliah nombor 3, di block - C jam 11.00 pagi ini, setengah jam dari sekarang. Kita jumpa di sana,” pinta Geoffe lalu masuk semula ke biliknya. Mereka tertanya-tanya sesama sendiri. Tetapi tidak seorang pun dapat mengagak jawapan yang pasti. Walau bagaimanapun ianya pasti terjawab bila berada di bilik kuliah yang dikatakan.
Lima minit sebelum Geoffe Penhall masuk, mereka sudah pun memenuhi kerusi di bahagian hadapan. Semua senyap dan tidak berkata apa-apa ketika Geoffe dan Dr. Norman Thomsom masuk lalu duduk di meja berhadapan dengan mereka.
“ Untuk makluman semua, baru-baru ini, iaitu dua minggu yang lepas, sedikit kesilapan telah berlaku di bahagian pengurusan kewangan kampus ini. Ianya mengenai yuran pengajian dan elaun sara hidup kamu semua. Oleh kerana yuran pengajian dan elaun untuk sara hidup kamu sama banyaknya, maka pihak kewangan di kampus ini telah membuat kesilapan dengan memasukkan semua jumlah itu ke akaun peribadi kamu di ANZ Bank. Dan setiap seorang daripada kamu telah mendapat wang sebanyak dua ribu enam ratus enam puluh empat dolar kesemuanya. Separuh dari jumlah itu sebenarnya adalah untuk dibayar kepada pihak universiti sebagai yuran pengajian dan ianya bukanlah untuk kamu semua,” ujar Dr. Norman Thomson, setiausaha akedamik di kampus itu dengan berhati-hati agar pelajar-pelajar di hadapannya faham dengan apa yang telah berlaku. Sementara Geoffe Penhall kelihatan tenang menggoyang-goyangkan kakinya memandang ke lantai carpet berwarna biru yang memenuhi kuliah itu. Masing-masing mula bercakap sesama sendiri. Suasana agak tegang dengan berita itu.
“ Tapi pihak bank di kampus ini tidak pula menghalang kami dari mengeluarkannya,” kata Zulkarnaen yang kelihatan tidak senang dengan perkhabaran itu.
“ Kami juga telah menyedarinya dari awal dan beranggapan, jumlah yang diperolehi itu adalah bayaran elaun yang telah dibuat terlebih awal dari masa yang sepatutnya,” kata Khalid.
“ Saya juga telah membuat pertanyaan dengan pengurusan bank mengenai jumlah wang yang berganda dari sebelumnya. Dan apabila pihak bank mengatakan yang semua itu adalah milik saya maka, saya juga telah mengeluarkan beberapa ratus dolar selepas itu,” Sampuk Musa.
“ Saya tahu, tetapi wang itu sebahagiannya adalah milik universiti,” balas Dr. Norman dengan meninggikan suaranya.
  “ Kalau begitu bagaimana ?” Tanya Ayu.
 “ Kamu semua kena membayar balik sebahagiannya. Iaitu jumlah yuran pengajian  yang telah dikreditkan ke dalam akaun kamu,” jelas Dr. Norman menjawab pertanyaan Ayu.
“ Kami telah menggunakannya, bagaimana nak bayar?” Kata Affendi dengan nada marah.
“ Itu bukan urusan saya. Tetapi urusan kamu untuk menyelesaikannya,” tegas Dr. Norman lagi.
“ Saya tak mahu bayar,” Sampuk Zulkarnaen dengan suara yang lebih aggresif. Dia bangun dari kerusinya dan keluar dari bilik kuliah itu dengan menghempaskan daun pintu dan aksinya itu telah mengejutkan semua orang.
“ Kalau tidak bayar, kamu akan pulang dengan dengan tangan kosong keputusan akhir kamu akan digantung,” ujarnya lagi . 
“ Kami juga tidak mahu bayar,” kata Rizal dan Musa. Mereka juga bangun dan keluar mengekori Zulkarnaen dari belakang.

Dr.Norman Thomson memerhatikan semua itu dengan perasaan yang marah.Dia sudah hilang sabar dengan anak- anak Melayu itu. Tiba-tiba dia menghentak meja dan terus keluar.
“ Saya faham dengan situasi kamu semua. Kita semua  tidak bersalah.Ini semua hanyalah satu kesilapan yang tidak disengajakan. Apa yang kami mahu hanyalah kerjasama dari kamu agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik,” jelas Geoffe Penhall.
“ Tapi Geoffe, wang yang dimaksudkan itu telah digunakan, jadi bagaimanalah kami semua nak menjelaskannya sekali gus?” kata Affendy.
“ Kamu fikirkanlah satu cara yang terbaik dan kita akan berbincang lagi nanti” ujarnya lalu meninggalkan mereka untuk meneruskan perbincangan sesame sendiri.
Kebanyakan dari mereka tidak bersetuju untuk membayar balik wang yang dimaksudkan itu. Pelajar-pelajar perempuan sahaja yang bersedia untuk membayar balik wang tersebut. Mereka tidak sanggup untuk menanggung risiko. Mereka tidak mahu pulang Ke Malaysia dengan tangan kosong. Walau bagaimanapun mereka telah mengarahkan Khalid untuk menghubungi Pegawai Hal-ehwal Pelajar di Kuala Lumpur sebelum berbincang semula dengan Geoffe Penhall. Keputusan muktamad hanya akan diberi selepas mendapatkan pandangan dari Kuala Lumpur.
Selang beberapa hari, berita tentang perkara yang terjadi itu telah menjadi berita yang paling hangat di kampus itu. Pelajar-pelajar Malaysia Bertambah  Kaya, Pelajar-pelajar Australia Menjadi Papa. Itu adalah salah satu dari perkataan yang ditulis pada dinding berhadapan dengan pejabat pentadbiran universiti itu. Selain dari itu tempat-tempat lain seperti tandas dan kafeteria juga dicontengkan dengan pelbagai kata-kata lucah untuk mengejek dan menyakitkan hati mereka. 
Seminggu selepas itu mereka sekali lagi dikehendaki untuk berada di bilik kuliah nombor 3 di blok-C bagi meneruskan perbincangan yang telah tergendala sebelumnya.
Mereka agak terperanjat apabila mendapati Encik Nik Rahman dari Kuala Lumpur tersebul di muka pintu diiringi oleh Geoffe Penhall. Sebelum ini dia tidak pernah menyatakan hasratnya untuk datang semasa berbincang dengan Khalid, tetapi setelah diarahkan oleh pihak yang lebih tinggi maka dia terpaksa juga berangkat ke Adelaide untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dr.Norman Thomson tidak bersama di sesi perbincangan itu.
“ Saya telah mengetahui segala-galanya dari Geoffe Penhall. Jadi kamu tidaklah perlu untuk berkata apa-apa. Walau bagaimanapun, hutang tetap hutang. Dan ianya mesti dibayar,” katanya bersahaja.
  “ Bayar? Celah Zulkarnaen.
 “ Tolong duduk dan sabar dulu. Saya belum lagi habis bercakap,” ujar Encik Nik sambil menuding jari mengarahkan Zulkarnaen supaya duduk.
“ Kamu semua dikehendaki membayar balik wang tersebut selepas kembali ke Malaysia nanti melalui potongan gaji bulanan. Sementara itu pihak ibu pejabat akan mendahulukan pembayaran balik semua jumlah itu kepada pihak universiti. Puas hati Zul? ” tanya Encik Nik Rahman dengan matanya tertumpu kepada Zulkarnaen.
“ Kalau macam tu baguslah,” sahut Zulkarnaen dengan gembira.
  “ Setuju semua? Soalnya lagi.
 “Setuju sebulat suara,” laung mereka beramai-ramai.
“ Sekarang  tibalah masanya untuk menanda tangani perjanjian,”ujar Encik Nik sambil menghulurkan surat perjanjian bagi tujuan pembayaran balik wang seperti yang dimaksudkan.
“ Baiklah,sekarang semuanya sudah selesai dan untuk makluman kamu semua, saya masih mempunyai masa selama tiga hari sebelum berangkat pulang. Jadi saya berharap akan ada di antara kamu yang secara sukarela untuk membawa saya bersiar-siar di Bandaraya Adelaide nanti. Ada yang sanggup? Tanya Encik Nik memandang keliling.
“ Itu tak jadi masalah. Kitakan ada ramai pemandu pelancong di sini. Neng, Salmah,Maimunah dan Ayu tentu mereka sanggup. Lagipun dia orang masih banyak wang yang belum digunakan, “ kata Affendi dengan ketawa.
  “ Boleh Neng? tanya  Musa serius.
 “ Aku boleh saja. Itu pun kalau Encik Nik setuju? balas Neng dengan senyuman yang meleret.
“ Sebelum itu aku akan membawa Encik Nik makan di rumah kami dahulu dan selepas itu bolehlah kamu orang menjemputnya pula.

No comments:

Post a Comment